Fiber optic splicing – #1

Jan 16

Fiber optic. Antara infrastruktur yang digunakan dalam capaian internet. Di UTM sendiri, banyak fiber optik digunakan sebagai “uplink/downlink” dalam sistem rangkaian. Banyak kebaikan menggunakan fiber optik. Pun begitu, terdapat juga kekurangan yang sedikit sebanyak, boleh mengganggu operasi sistem rangkaian di dalam kampus.

Antaranya, apabila fiber optik putus. Paling remeh, “putus” di sini disebabkan oleh haiwan perosak seperti tikus. Entah kenapa, tikus sangat suka dengan fiber optik. Dan kerana tikus ini, kos membaikpulih fiber optik agak tinggi.

Walau bagaimanapun, UTMDigital dengan sedikit kepakaran dapat membantu menyerap kos baik pulih fiber optik se-optimum mungkin. Kami di Unit Rangkaian boleh melakukan kerja-kerja baik pulih asas bagi memperbaiki sambungan fiber optik.

Tahun 2023 ini, kami mulakan kerja-kerja baik pulih fiber optik di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM). Lebih spesifik lagi, di blok C24. Fiber optik yang menyambungkan rangkaian dari C24 ke blok E04 telah putus dan memberi kesan gangguan rangkaian di sekitar blok E01, E02, E03, E04, E05 dan E06.

Semakan awal, kami mendapati rangkaian UTMWiFi dalam status “offline” sejak jam 11 malam (lebih) pada 10 Januari 2023.

Pada pagi 11 Januari 2023, bersama-sama unit IT FKM, kami telah membuat semakan dan mencari punca. Hasil dapatan, kami berjaya menemui punca masalah iaitu, fiber optik telah putus akibat gigitan tikus.

Seterusnya, kami memaklumkan kepada unit IT FKM, tindakan paling awal dapat kami lakukan adalah pada keesokan hari (12 Januari 2023) kerana kami perlu untuk menyediakan peralatan bagi kerja-kerja penyambungan fiber optik.

Antara peralatan yang perlu disediakan adalah fiber optik “ganti” untuk dijadikan “penyambung” fiber optik yang putus. Kami perlu menyediakan peralatan dan mengumpulkan keperluan. Oleh itu, kami memerlukan sekurang-kurangnya sehari untuk tujuan berkenaan.

 

Persiapan dengan peralatan untuk kerja-kerja splicing fiber optik. Antara peralatan; splicer, tangga dan fiber splice tools

Pada pagi 12 Januari 2023, Unit Rangkaian UTMDigital bersama bantuan Jurutera UTMWiFi telah bergerak ke FKM-C24 untuk kerja-kerja baik pulih fiber optik tersebut. Ketika ini, antara halangan lain adalah, untuk mengenal pasti laluan asal fiber optik berkenaan kerana kami perlu untuk merancang kaedah baik pulih berikutan struktur pelan lantai dan lokasi fiber putus tersebut agak sulit.

Antara fiber optik lain yang digigit oleh tikus

Lokasi fiber optik yang digigit iaitu di dalam cable trunk

Antara halangan; akses masuk ke bilik pam air dan bilik mesyuarat aras 2. Ini kerana, bilik-bilik berkenaan perlu diakses masuk untuk kerja-kerja menyelak siling bagi mengenal pasti laluan sebenar fiber optik.

Kerja-kerja membuka siling bagi mengenal pasti laluan fiber optik yang asal

Selepas berteka teki tentang laluan fiber optik tersebut, akhirnya selepas 2 jam, kami menemukan penyelesaian apabila pintu bilik pam air dibuka. Dan jelas sekali, di situlah laluan terbaik untuk kerja-kerja selenggaraan fiber optik tersebut.

Di sini, antara kesukaran lain adalah, kami perlu meminimakan panjangan fiber optik untuk dipotong sebelum disambung dengan fiber optik gantian yang kami bawa. Dan kerja-kerja splicing sedikit mencabar.

Kerja-kerja splicing fiber optik hanya dapat dimulakan sekitar jam 1 petang. Ketika ini, masih ada lagi halangan lain. Kami mendapati, fiber optik asal yang putus tersebut adalah fiber optik yang sudah agak lama. Dan kerja-kerja untuk menyambungkan fiber optik asal dengan fiber optik gantian sedikit mencabar. Beberapa kali mesin splicing kami tidak dapat melakukan splicing dengan sempurna selain situasi ruang bilik tersebut yang tidak mengizinkan kami membuat sambungan di atas lantai, sebaliknya, kami menggunakan tangga dan melakukan kerja-kerja tersebut di atas tangga lipat yang kami bawa.

Kerja-kerja splicing di luar dan dalam bilik pam

. . .

Kami berhenti rehat pada jam 2 petang selepas beberapa kali percubaan sambungan fiber optik gagal di bahagian luar bilik pam. Kami selesai dengan sambungan di dalam bilik pam, tetapi mendapat cabaran baharu pula dengan sambungan fiber optik di luar bahagian bilik pam.

Pada jam lebih kurang 3 petang, kami menyambung semula kerja-kerja di luar bilik pam. Dan akhirnya, kerja-kerja sambungan fiber optik selesai pada jam lebih kurang 3.30 petang. Semakan oleh unit IT FKM dan Jurutera UTMWiFi mendapati, sambungan rangkaian telah dipulihkan. Alhamdulillah.

Pada keesokan hari, saya mendapat maklumat terbaharu. Rangkaian di blok-blok yang terjejas tempoh hari, kembali “offline” dan kami syak fiber optik yang kami sambungkan semalam putus sekali lagi akibat daripada tikus.

Pada 15 Januari 2023, unit IT FKM menghantar gambar fiber optik di blok C24 dan kami mendapati, fiber optik tersebut telah putus lagi di lokasi yang sama. Kami bercadang untuk melakukan kerja-kerja sambungan fiber optik hanya selepas pihak FKM melakukan kerja-kerja pembasmian haiwan perosak (pest control). Kerana, jika tidak dilakukan hal sedemikian, kami hanya akan seperti bomba; “firefighting”.

Selepas berbincang, pihak unit IT FKM memberi cadangan untuk menggunakan fiber optik outdoor yang mereka ada sepanjang kira-kira 10 meter.

Selepas mempertimbangkan, kami akan membuat semula sambungan pada 16 Januari 2023 menggunakan fiber optik “outdoor” milik FKM. Dengan harapan, ini adalah langkah terbaik.