13 Pengalaman Menarik Sepanjang Saya Berada di Dubai dan Abu Dhabi, United Arab Emirates (UAE)

Ketika saya menghasilkan tulisan ini, saya sedang berada dalam penerbangan balik dari Dubai ke Kuala Lumpur. Ya, saya merupakan seorang insan yang memang tidak boleh melelapkan mata dalam kapal terbang hatta penat macam mana sekalipun. Justeru saya mengambil kesempatan untuk mencatatkan sedikit pengalaman untuk dikongsikan bersama. Boleh saya katakan tujuan saya ke UAE untuk membentangkan kertas kerja persidangan kali sangat berjaya, apatah lagi pembentangan saya menerima maklumbalas yang positif daripada pengerusi serta peserta-peserta yang lain. Orang kata sambil menyelam minum air. Saya meluangkan 6 hari termasuk 2 hari persidangan di negara UAE yang juga dikenali sebagai Emirates. Berikut dikongsikan 13 fakta menarik sepanjang saya berada di sana. Suka saya ingatkan, pandangan ini adalah berdasarkan perspektif saya dan ianya mungkin tidak sama dengan pandangan orang lain. Selamat membaca!

13 pengalaman menarik sepanjang saya berada di Dubai dan Abu Dhabi, United Arab Emirates (UAE)

 

  1. Waktu di Dubai adalah 4 jam lewat berbanding di Malaysia. Saya berlepas pada pukul 10.30 pagi dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan terus ke Dubai yang mengambil masa lebih kurang 7 jam. Saya tiba di Dubai pada pukul 1.30 petang waktu Dubai sedangkan waktu sebenar di Kuala Lumpur ialah 5.30 petang. Pada pukul 5.30 petang waktu Dubai, saya sudah mengantuk walaupun ketika itu hari masih siang. Inilah yang dinamakan jetlag. Jadi, usai menunaikan solat jamak qasar isyak ke maghrib kira-kira pukul 6.20 petang, apa lagi, tutup langsir, tutup lampu, pasang aircond dan zzzzzzzzz. Rasanya adalah dalam 10 jam saya tidur dari malam, eh silap, dari petang ke pagi keesokan harinya.
  1. Sejujurnya hari saya di Dubai bermula pada hari kedua. Destinasi pertama tidak lain dan tidak bukan ialah Burj Khalifa iaitu struktur binaan manusia tertinggi di dunia. Untuk ke sana, saya menaiki metro. Lebih kurang macam sistem MRT dan monorel di Kuala Lumpur. Hujung minggu di UAE adalah hari Jumaat dan Sabtu. Kebetulan hari tersebut ialah hari Sabtu. Jadi apa lagi, bersesak-sesaklah saya menaiki metro tersebut. Sebelum ini saya pernah menaiki subway di Tokyo dan Seoul dan saya okay. Tapi di Dubai, walaupun sistem metronya tidak sekompleks sistem subway di Tokyo mahupun Seoul, entah kenapa setiap kali saya menaiki metro saya sakit kepala. Mungkin salah satu sebabnya ialah pelbagai bau-bauan yang datangnya dari umat manusia dalam metro tersebut. Mujur saya bawa panadol ke mana-mana.
  1. Saya tidak pernah melihat mana-mana tempat di dunia ini yang ‘mengumpulkan’ penduduk dari seluruh dunia di satu kawasan melainkan di Dubai. Sejujurnya saya tidak dapat membezakan antara rakyat tempatan dengan rakyat asing. Kedudukan Dubai yang strategik di tengah-tengah peta dunia menjadikannya tempat tumpuan masyarakat dari seluruh dunia. Buat pengetahuan semua, UAE mempunyai jumlah penduduk seramai 9.2 juta, di mana hanya sekitar 1.4 juta adalah warga tempatan. Baki 7.8 juta adalah ekspatriat (merujuk kepada mana-mana orang atau golongan yang hidup di negara-negara lain di mana ianya disebabkan kebolehan serta sumbangannya). Ini bermaksud lebih 80% daripada penduduk UAE terdiri daripada ekspatriat. Majoriti rakyat tempatan tidak tinggal di Dubai.
  1. Dubai turut memiliki syarikat penerbangan rasminya sendiri iaitu Emirates. Ini merupakan kali pertama saya menaiki syarikat penerbangan tersebut. Syarikat penerbangan tersebut turut memainkan peranan ‘mengumpulkan’ masyarakat dunia di Dubai tidak kiralah dalam kalangan ekspatriat mahupun pelancong. Emirates adalah syarikat penerbangan terbesar di Timur Tengah, dan mempunyai operasi penerbangan lebih 3,600 seminggu dari habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai memiliki tiga terminal yang mana Terminal 3 difokuskan hanya untuk syarikat penerbangan Emirates. Emirates menghubungkan lebih daripada 154 bandar di 81 buah negara di enam benua. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sangat terkenal sehingga terdapat siri dokumentari iaitu Ultimate Airport Dubai yang ditayangkan di saluran National Geographic. Rancangan tersebut sudah memasuki musim ketiga.
  1. Soalan favorite penduduk di Dubai kepada pelancong ialah ‘where are you from?’. Selalunya apabila saya diajukan soalan berikut, saya tidak terus menjawab, sebaliknya saya akan membalas ‘can you guess where I am from?’. Menariknya, sepanjang saya di sana, tiada seorang pun yang dapat meneka dengan tepat. Dan tambah menarik lagi, kebanyakan tekaannya ialah korea (terasa seperti pelakon Korea pulak). Tambah menarik lagi, terdapat pelancong dari Korea Selatan yang kita ketahui tidak fasih berbahasa inggeris bertanya jalan dalam bahasa korea kepada saya. Manalah saya tahu. Jadi saya jawab ‘Annyeonghaseyo’ sahaja. Tekaan lain termasuklah Jepun dan Filipina. Dan pengalaman paling kelakar ialah seorang pemandu teksi terkejut apabila mengatakan saya muslim dari Malaysia dan beliau bertanya sama ada saya originally muslim atau converted to muslim. Sabar aje lah!
  1. Selain memiliki bangunan tertinggi di dunia, Dubai turut mempunyai antara hotel termahal di dunia iaitu Burj Al Arab. Bangunan tersebut terletak agak jauh dari stesyen metro, justeru saya menaiki perkhidmatan Uber untuk ke sana. Sedihnya, pengunjung tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sekiranya tidak membuat sebarang tempahan di hotel berkenaan sama ada tempahan penginapan, mahupun makan tengahari. Jadi atas belas ihsan pemandu Uber tersebut untuk menunggu saya, saya turun sebentar dalam masa lebih kurang 2 minit semata-mata untuk mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan.
  1. Dubai mempunyai dua kawasan yang memiliki banyak pencakar langit yang menarik dan unik iaitu di kawasan Burj Khalifa dan satu lagi di kawasan Dubai Marina. Masjid juga mudah didapati di mana-mana sekitara bandar mahupun pinggir bandar. Setiap masjid yang saya lihat kesemuanya cantik dan unik. Azan turut berkumandang di pusat membeli belah dan lapangan terbang.
  1. Alang-alang sudah berada di negara UAE dan tak tahu entah bila boleh datang ke sini lagi, saya mengambil kesempatan dengan peluang yang ada untuk ke Abu Dhabi yang juga merupakan ibu negeri UAE. Saya menempah kenderaan hotel tempat saya menginap untuk ke Abu Dhabi yang perjalanannya mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Lebih kurang jaraknya dari Johor Bahru ke Tangkak. Sepanjang perjalanan dari Dubai ke Abu Dhabi yang dihubungkan melalui lebuhraya yang lurus dan selesa, saya disajikan dengan pemandangan kawasan perindustrian dan padang pasir. Teknologi tol di lebuhraya-lebuhraya di Dubai sangat moden dan terkehadapan. Tidak seperti sistem tol di Malaysia yang mempunyai pondok tol di permulaan dan pengakhiran sesuatu destinasi, sistem tol di Dubai dipanggil Salik (bermaksud “yang jelas dan bergerak”). Ia berasaskan teknologi RFID, yang mana bayaran akan ditolak secara automatik apabila kenderaan melalui pintu-pintu tol tertentu.
  1. Di Abu Dhabi, saya melawat beberapa tempat yang terkenal yang saya kenalpasti melalui pembacaan di internet. Antaranya Masjid Sheikh Zayed Grand yang merupakan masjid terbesar di UAE. Menariknya reka bentuk dan pembinaan Masjid Sheikh Zayed menggunakan kepakaran dan bahan-bahan dari banyak negara termasuk dari negara kita. Saya juga pergi ke Emirates Palace yang merupakan hotel mewah di Abu Dhabi, menikmati keindahan pemandangan pencakar langit Abu Dhabi dari Marina Mall sebelum ke Ferrari World.
  1. Perbezaan antara Dubai dan Abu Dhabi dari perspektif saya ialah; i)Dubai memiliki ramai ekspatriat, manakala saya mendapati lebih mudah menjumpai penduduk tempatan di Abu Dhabi, ii)Dubai sangat sesak dengan manusia, tetapi keadaan lebih tenang di Abu Dhabi, iii)Dubai mempunyai sistem pengangkutan metro, tetapi tiada perkhidmatan sedemikian di Abu Dhabi, iv)saya dapat melihat kawasan perumahan rakyat UAE seperti rumah teres, banglo dan sebagainya di Abu Dhabi, tetapi di Dubai saya hanya dapat melihat apartment dan kondominium, v)Abu Dhabi masih mengekalkan ciri tradisional, manakala Dubai pesat sebagai pusat perdagangan, vi)Abu Dhabi merupakan pusat pentadbiran dan kawasan utama perindustrian minyak, manakala Dubai lebih kepada pusat komersialisasi dan pelancongan, vii)Dubai mempunyai lebih banyak bangunan pencakar langit berbanding Abu Dhabi.
  1. Seperti Emirates yang merupakan syarikat penerbangan rasmi Dubai, Abu Dhabi turut memiliki syarikat penerbangannya sendiri iaitu Etihad. Berdasarkan Skytrax, Etihad merupakan satu daripada sembilan syarikat penerbangan yang bertaraf lima bintang. Dan tahukah anda, terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang berkerja sebagai juruterbang untuk syarikat penerbangan tersebut. Bangga! Manakala menurut statistik pada tahun 2010, sebanyak kira-kira enam ribu rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di UAE terutamanya di Dubai.
  1. Ketika berjalan-jalan di kotaraya Dubai, saya terpandang sebuah kereta yang macam biasa dilihat, iaitu kereta Persona. Bangga kerana di sebalik beribu-ribu kereta berjenama Lexus, Toyota, Honda dan Mercedes di atas jalan raya di kotaraya Dubai, terselit juga kereta nasional negara. Selain itu, syarikat makanan segera yang berasal dari Malaysia iaitu Marrybrown juga boleh didapati di pusat-pusat membeli-belah di sini. Bercakap mengenai makanan segera, saya kerap kali membeli makanan segera untuk menjimatkan kos. Seperti biasa, terdapat tiga saiz iaitu small, regular dan large. Betullah kata orang, orang arab ni memang suka makan dengan saiz yang besar. Pertama kali beli saiz L, ya ampun, saiznya amat besar. Seolah-olah saiz small mereka menyamai saiz large di Malaysia.
  1. Pada waktu petang, kesesakan berlaku sebanyak dua kali di Dubai dan Abu Dhabi. Pertama pada pukul 2.30 petang disebabkan kakitangan awam bekerja dari pukul 7.30 am hingga 2.30 pm (best betul jadi gomen di UAE) dan sekali lagi trafik pada pukul 5 iaitu dari staf sektor swasta yang bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

 

Comments

  1. Sensasional! Seperti otakku naik roller coaster wawasan. #IndosneioSensasiWawasan

Speak Your Mind

*