KOTA ISKANDAR, 2 Jan. – Usaha memperkasa penyelidikan gunaan dan pengurusan hutan lestari terus diperkukuh apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) menganjurkan Mesyuarat Living Lab UTM–JPNJ yang berlangsung di Bilik Gerakan Perhutanan, Kota Iskandar. Mesyuarat Tahunan ini telah dilaksanakan secara konsisten sejak lima tahun lalu, sejajar dengan penubuhan Living Lab, dan telah melalui beberapa perubahan dalam struktur staf dan barisan kepimpinan.

Mesyuarat ini menghimpunkan barisan Pengurusan Tertinggi dan Ketua Kluster Living Lab UTM bersama Pemangku Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Tuan Mohd Syahrir Azrin bin Salleh dan pegawai-pegawai Perhutanan Johor, sekali gus menggabungkan kepakaran akademik dan pengalaman agensi kerajaan melalui Jabatan Perhutanan dalam membangunkan inisiatif berimpak tinggi. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pengarah UTMCS, Prof Ir. Dr Mohd Fadhil Md Din, selaku penasihat Living Lab UTM-JPNJ. Dalam mesyuarat ini juga, Pengarah Living Lab UTM-JPNJ, Dr Nurul Hawani memperkenalkan barisan Ketua Kluster Living Lab UTM–JPNJ lantikan baharu, iaitu Ketua Kluster Biodiversiti, LAr. Dr. Zanariah Jasmani; Ketua Kluster Teknologi dan Aplikasi, Prof. Madya Dr. Mohamad Hafis Izran; Ketua Kluster Outreach, Dr. Norhidayah Md Yunus; serta Ketua Kluster Digitalisasi, Sr. Dr. Abdul Wahid Rasib.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Perhutanan JPNJ, Tuan Mohd Syahrir Azrin bin Salleh yang menekankan bahawa penyelidikan bersama antara jabatan kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan pemangkin utama kepada pemodenan pengurusan perhutanan negeri, khususnya melalui penggunaan teknologi geospatial, Artificial Intelligence dan analitik data.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Program Pengumpulan Benih Spesies Endangered, Rare and Threatened (ERT) sebagai usaha pemuliharaan biodiversiti dan kesinambungan sumber genetik hutan Johor. Program yang dirancang ini bakal memberikan latihan kepada peserta, khususnya pelajar daripada UTM, selari dengan agenda UTM ASCEND 2030 Pillar 2: Bakat Global, iaitu memberikan latihan informal kepada graduan UTM agar mempunyai kemahiran dan pengalaman luar dari kelas.
Turut dibincangkan ialah pelaksanaan pilot Projek Flux Tower, yang bertujuan mengukur pertukaran karbon antara ekosistem hutan dan atmosfera. Projek ini dijangka menyokong pembangunan inventori karbon hutan Johor dan menyediakan data penting bagi perancangan mitigasi perubahan iklim, khususnya di hutan simpan negeri Johor.
Selain itu, mesyuarat juga meneliti penganjuran Persidangan Living Lab UTM-JPNJ sebagai program ikonik sempena lima tahun penubuhan makmal hidup, yang bakal menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan, inovasi dan amalan terbaik antara akademia, agensi dan industri.
Kesemua inisiatif ini selari dengan Dasar Perhutanan Negara serta menyokong agenda Green Sustainability Corridor (GSC) Johor, sekali gus memperkukuh keperluan penyelidikan dan penglibatan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam mencapai aspirasi dan hasrat Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Melalui kerjasama strategik ini, Living Lab UTM–JPNJ terus berperanan sebagai jambatan antara penyelidikan akademik dan keperluan pengurusan sumber semula jadi, sejajar dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 ke arah universiti bertaraf global dan berimpak tinggi.
