
MUAR, 23 Okt – Sempena Karnival Hari Hutan Antarabangsa Peringkat (HHA) Negeri Johor Tahun 2025 yang telah diadakan pada 23 Oktober 2025 yang lalu di Laman Bakau Parit Kassim, Muar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Makmal Hidup UTM–JPNJ, Pusat Kelestarian Kampus (UTMCCS), ICA UTM Pagoh dan Kelab AIESEC menyertai program karnival dengan menghantar seramai 40 orang pelajar sebagai peserta dan pempamer.

Makmal Hidup UTM–JPNJ telah menjadi penganjur bersama dengan menyediakan gimik perasmian karnival di pentas utama menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) bagi penyerahan produk kopi berasaskan spesies bakau, yang muncul daripada replika akar spesies Rhizophora hasil kreativiti dan idea bersama ahli Makmal Hidup UTM-JPNJ dan staf UTM.

Pusat Kelestarian Kampus (UTMCCS) dan ICA UTM Pagoh telah menjayakan pameran dengan mempamerkan herbarium dan spesies ubi sesuai dengan tema ‘Hutan dan Makanan’ bagi menangani krisis keselamatan makanan.
Karnival yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dengan tema tahun ini ‘Hutan dan Makanan (Forests and Food)’, menekankan peranan hutan sebagai sumber makanan semula jadi. Ia turut meraikan sumbangan hutan dalam menjamin keterjaminan makanan, menyediakan sumber pendapatan kepada masyarakat, serta menyokong usaha pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.
YB Datuk Haji Mohd Fuad Haji Tukirin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, turut hadir memeriahkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, mewakili YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Selaras dengan tema sambutan HHA 2025, ‘Hutan dan Makanan (Forest and Food)’, kerajaan negeri Johor giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti penanaman pokok merangkumi kawasan lapang, kawasan terjejas bencana serta kawasan pesisir pantai.
Sambutan HHA 2025 kali ini dilaksanakan dengan konsep karnival dan menampilkan pelbagai aktiviti seperti penanaman pokok bakau, Seed to Tree, Nature Walk and Talk, Explorace Mangrove, pelbagai pameran perhutanan, pertandingan sukan rakyat, demostrasi memasak hasil hutan paya bakau dan pelbagai aktiviti lain yang menarik penyertaan sukarelawan dan peserta-peserta karnival.

Aktiviti-aktiviti yang bertemakan kepentingan pemeliharaan hutan untuk kelestarian sumber makanan sejagat ini memberi pengalaman bermakna kepada para peserta, khususnya pelajar UTM yang berpeluang memahami lebih dekat isu pemuliharaan hutan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Penganjuran program ini juga memperkukuh usaha ke arah pemeliharaan biodiversiti dan pengurusan hutan secara lestari, sejajar dengan komitmen negeri Johor untuk memperkasa agenda kelestarian serta mempromosikan hutan sebagai khazanah alam yang perlu dipelihara untuk generasi masa depan.
Oleh Nurul Hawani Idris, Suzanna Nor Azmy dan Nurzuliza Jamirsah.
