Amalan 5S dan EKSA (Penjenamaan Semula)

Konsep Amalan 5S mula diperkenal kepada syarikat-syarikat di negara Jepun pada awal tahun 1980an. Amalan 5S ialah kaedah atau alat pengurusan yang boleh mewujudkan persekitaran di tempat kerja berkualiti yang selesa, kemas dan selamat di dalam organisasi dan menentukan kepatuhan kepada piawaian serta dapat memupuk usaha penambahbaikan yang berterusan.

Prinsip amalan 5S :-

a) Sisih (Seiri): Menyisih dan melupuskan (membuang) barang yang tidak perlu ditempat kerja

b) Susun (Seiton): Menyusun dan menyimpan barang dengan kemas, mudah diambil dan disimpan semula di tempatnya

c) Sapu (Seiso): Mencuci atau membersihkan tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk, kotoran di atas lantai, mesin, peralatan dan persekitaran tempat kerja

d) Seragam (Seiketsu): Mematuhi piawaian persekitaran berkualiti di tempat kerja bagi memastikannya bersih dan teratur sepanjang masa

e) Sentiasa Amalkan (Shitsuke): Melatih pekerja berdisiplin untuk mengamalkan sistem Amalan 5S secara berterusan supaya menjadi tabiat dan budaya kerja berkualiti dalam organisasi

Di Malaysia, konsep Amalan 5S mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1980an dan telah dipraktikkan dalam sektor swasta terutama syarikat-syarikat multi-nasional. Kini banyak agensi-agensi Perkhidmatan Awam mengamalkan Amalan 5S malah ada di kalangannya telah mendapat pengiktirafan menerusi persijilan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

EKSA pula adalah singkatan kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).Ia diterajui oleh pihak MAMPU ( Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan ia merupakan penjenamaan semula bagi Pelaksanaan Amalan 5S Sektor Awam serta bertujuan untuk meningkatkan budaya kecemerlangan organisasi yang lebih berimej korporat. Selain itu juga ianya melahirkan idea dan kreativiti dan inovasi.

Secara khususnya, penjenamaan semula ini dilaksanakan bertujuan untuk membolehkan agensi kerajaan :

a) Meningkatkan imej korporat
b) Menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Go Green
c) Menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi selaras dengan tuntutan stakeholders
d) Memperluaskan pelaksanaan di agensi-agensi kerajaan
e) Memastikan elemen pengauditan memenuhi keperluan kepelbagaian organisasi /agensi kerajaan.

Pautan sumber