ETHICS

ADAB DAN ETIKA PENDIDIK

Pemegangan adab dan etika bagi profesion sebagai seorang pensyarah di universiti adalah sangat penting. Pensyarah perlu memegang kepada prisip ‘professionalism’ di mana perlu komitment sepenuhnya kepada tugasan yang diberi termasuk mengajar, menulis, menyelia pelajar dengan cekap dan berkesan. Pensyarah juga perlu mengamalkan integriti akademik dengan memegang kepada kejujuran dalam melaksanakan penyelidikan, pengajaran dan pentadbiran. Pensyarah seharusnya mengelakkan daripada ‘plagiarism’ dan mendidik pelajar tentang kepentingan etika dalam penyelidikan. Pensyarah perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan semasa dan kemahiran teknologi terkini semasa memberi pengajaran supaya relevan dengan pengetahuan dan trend semasa. Adab dan etika yang baik mendorong suasana pembelajaran yang positif, meningkatkan motivasi dan prestasi pelajar. Pelajar akan menghormati pensyarah dan cenderung untuk menunjukkan prestasi akademik and tingkah laku yang lebih baik.

Cabaran adab dan etika yang mungkin dihadapi oleh pensyarah di universiti serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran ini adalah seperti berikut:-

1. Tidak dapat dinafikan bahawa pensyarah menghadapi cabaran dan tekanan untuk mencapai ‘Key Performance Index’ (KPI) iaitu 7P yang ditetapkan oleh universiti iaitu pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan dan penerbitan, penjanaan pendapatan dan khidmat profesional. Perkara ini mungkin akan mengakibatkan pensyarah mengambil jalan pintas atau mengabaikan integriti akademik. Selain menyediakan latihan berkala mengenai adab dan etika kepada pensyarah berkenaan prinsip dan panduan asas adab dan etika, universiti perlu menyediakan satu platform komunikasi terbuka yang membolehkan pensyarah berbincang dan berkongsi pengalaman mereka. Pada pendapat saya, setiap pensyarah mempunyai kelebihan dan kelemahan sendiri, pencapai 7P tersebut perlu dikaji semula mengikut kemampuan pensyarah tersebut dan bukannya semata-mata mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Ia perlu lebih fleksible dan mengikut kemanusiaan.

2. Menyesuaikan diri dengan teknologi baru dalam pengajaran, termasuk pengenalan terhadap alat-alat, kekangan masa untuk pembelajaran, penolakan terhadap perubahan, masalah aksesibiliti untuk pelajar dan kemungkinan masalah teknikal semasa kuliah juga merupakan cabaran yang tidak dapat dinafikan bagi pensyarah dan pelajar. Untuk mengatasi cabaran ini, universiti boleh menawarkan bengkel pembangunan profesional, menggalakkan sokongan dan kerjasama rakan sebaya, serta menyediakan sesi latihan untuk pensyarah dan pelajar bagi memastikan mereka dilengkapi untuk menggunakan teknologi tersebut. Selain itu, institusi seharusnya menawarkan sokongan teknikal yang khusus semasa kuliah dan mempromosikan pelaksanaan berperingkat bagi alat-alat baru untuk memudahkan peralihan, membolehkan pensyarah meningkatkan kaedah pengajaran mereka dengan berkesan.

3. Hubungan tidak profesional boleh timbul, terutamanya dengan peningkatan pembelajaran dalam talian dan interaksi yang lebih dekat dengan pelajar. Hubungan sebegini boleh menyebabkan salah faham atau pengaburan batasan antara pensyarah dan pelajar. Oleh itu, adalah penting untuk menggalakkan saling menghormati dalam bilik kuliah dan melaksanakan dasar yang jelas mengenai interaksi pensyarah dan pelajar untuk mempromosikan suasana profesional. Selain itu, fakulti boleh melaksanakan pemantauan secara berkala meminta maklum balas daripada pelajar, pemantauan interaksi dalam talian juga dapat membantu pendidik mengenalpasti dan membetulkan sebarang isu yang mungkin timbul, memastikan suasana pembelajaran yang hormat dan berkesan.