Sebagai seorang pensyarah yang tertakluk kepada kod etika profesional Universiti Teknologi Malaysia, etika perkhidmatam awam Malaysia dan matlamat pendidikan UTM, saya menyedari bahawa profesion ini bukan hanya sekadar satu kerjaya berteraskan kepakaran bidang ilmu semata. Akan tetapi, profesion ini turut merangkumi amanah besar yang berteraskan keperibadian unggul, keperadaban yang tinggi, etika dan integriti yang kukuh. Gelaran yang di pikul bukan sekadar tanggungjawab menyampaikan ilmu, namun turut merangkumi tanggungjawab membentuk nilai, sahsiah dan peribadi pelajar. Justeru, dalam perjalanan sebagai pendidik, saya merasakan kecemerlangan akademik semata tidak akan bermakna tanpa diiringi adab, integriti dan profesionalisme yang juga roh kepada profesion akademik dan penentu kebitaraan profesion pensyarah.
Dalam menelusuri kehidupan akademik di UTM, adab dan etika sama ada secara lisan dan penulisan memainkan peranan yang sangat penting. Berlandaskan kod etika professional UTM, kejujuran, keadilan, profesionalisme dan tanggungjawab sosial dalam setiap aspek tugas sebagai pensyarah sangat ditekankan. Prinsip ini juga selari dengan etika perkhidmatan awam Malaysia yang menggariskan kepentingan dedikasi, amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas demi kepentingan masyarkat dan negara. Sebagai seorang pensyarah, penghayatan terhadap prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan yang di ambil sama ada ketika aktiviti pengajaran, penyelidikan, perundingan dan urusan dengan pelajar, rakan sejawat dan pihak pengurusan perlu ditekankan dan tidak diambil remeh. Kerana dengan pengamalan prinsip-prinsip tersebut akan secara tidak langsung mendatangkan keberkatan ilmu dan seterusnya menjadi panduan yang akan memastikan setiap tindakan saya sentiasa berpaksikan nilai-nilai yang benar.
Penjagaan sikap dan hubungan sesama rakan sejawat, staf sokongan dan pihak pengurusan universiti dalam perbincangan juga sangat penting kerana perbezaan pandangan dalam pelbagai hal seperti penyelidikan, penerbitan dan pengurusan akan menimbulkan ketegangan. Namun, jika nilai-nilai adab dan sikap berfikiran terbuka terhadap pandangan orang lain diambil kira dalam perdebatan, suasana akan menjadi harmoni dan sihat untuk permikiran yang lebih rasional dan berhemah. Justeru, budaya komunikasi yang beradab dan inklusif merupakan salah satu kekuatan UTM dalam menyumbang nama sebagai institusi akademik bertaraf dunia.
Dalam masa yang sama, penjagaan penampilan diri turut menjadi cerminan profesionalisme dan adab sebagai seorang pensyarah. Cara berpakaian yang kemas dan berhemah mencerminkan jati diri, disiplin, serta tanggungjawab terhadap profesion ini. Dengan itu, saya sentiasa memastikan penampilan saya kemas dan sesuai dengan suasana akademik. Selain penampilan luaran, saya juga menerapkan rasa hormat terhadap pelajar, rakan sekerja dan pihak pengurusan. Dalam pengajaran harian, sikap positif menjadi keutamaan. Menyapa pelajar, bersikap terbuka dan sentiasa murah dengan senyuman akan mengakibatkan wujudnya suasana pembelajaran yang kondusif dan inklusif. Hal ini kerana, profesionalisme bukan hanya atas dasar sijil dan gelaran akademik, namun juga termasuk pembawaan diri seorang pensyarah dalam apa jua keadaan yang di lalui.
Dalam pelaksanaan tugas hakiki harian, integriti dan amanah adalah nilai yang saya pegang erat dalam memastikan kejujuran dan integriti dalam semua aspek termasuk, pengajaran, peneyelidikan, perundingan dan penilaian pelajar. Saya sentiasa berpegang teguh pada prinsip bahawa kebenaran ilmiah adalah satu jalan yang berliku dan tidak ada jalan pintas. Saya menolak sebarang bentuk plagiat, ketidak jujuran, manipulasi data dalam penyelidikan dan penerbitan. Penilaian pelajar semasa pengajaran perlu dilakukan secara telus dan adil tanpa mengambil kira latar belakang. Serta, penilaian sama ada tugasan atau ujian perlu dilakukan berdasarkan merit sebenar dan bukan atas pengaruh peribadi bagi memastikan integriti terus terjamin. Dari segi amanah, kesedaran kepada tanggungjawab ilmu yang diperoleh perlu diajarkan kepada pelajar untuk memastikan segala tanggungjawab yang dipikul akan menjadi satu bentuk kepercayaan yang perlu terus dijaga. Saya tidak mahu melihat rutin pengajaran dan pembelajaran sebagai sekadar rutin semata-mata, tetapi juga sebagai ibadah untuk meningkatkan keimanan dan tanggungjawab moral terhadap bangsa dan negara.
Namun, dalam perjalanan karier yang masih panjang, saya juga tidak menafikan bahawa penghayatan nilai adab, etika dan integriti profesion akademik bukanlah suatu yang mudah dan mencabar. Antara cabaran utama yang mampu mengganggu gugat prinsip-prinsip ini termasuk tekanan masa dan beban kerja yang tinggi. Dalam usaha menyeimbangkan tugasan-tugasan pengajaran, penyelidikan dan pentadbiran, kadangkala kesabaran diuji. Akibat keletihan dan hilang fokus, kemungkinan untuk berkomunikasi secara kurang berhemah akan lebih tinggi dan mengakibatkan kurangnya profesionalisme dalam urusan seharian dan kemungkinan untuk menggunakan jalan pintas yang tidak berintegriti dalam urusan seharian. Di sinilah pentingnya nilai muhasabah diri untuk kawalan diri dan memberi kesedaran bahawa walau sesibuk mana pun seorang pendidik, adab dan etika dalam interaksi harus terus dikekalkan. Selain itu, dalam persekitaran akademik yang sangat kompetitif akan sering menguji integriti kerana tekanan untuk penerbitan artikel dan mendapatkan geran penyelidikan. Justeru, kejujuran terhadap diri sendiri amatlah penting, kerana kesedaran bahawa kejayaan yang dicapai tanpa kejujuran akan hilang keberkatannya.
Cabaran lain dalam dunia pendidik ialah dalam mendidik pelajar dari pelbagai jenis latar belakang akademik dan keluarga. Sebahagian pelajar berkemungkinan menunjukkan minat dan disiplin yang kurang kerana kefahaman dan tingkat pemikiran yang berbeza yang akan mengakibatkan kesabaran sebagai pendidik diuji. Kebijaksanaan dalam menangani masalah ini sangat penting kerana setiap pelajar mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna. Keadaan ini mengajar saya untuk bijaksana dalam pendekatan yang diambil agar penyampaian bukan sekadar berteras akademik semata-mata, tetapi juga dalam mengenali potensi diri. Saya percaya pendekatan beradab dan berempati akan lebih berkesan dalam mendekati dan membimbing pelajar berbanding hukuman dan teguran negatif. Dalam erti kata lain, menjadi contoh bukan sahaja dari aspek keilmuan tetapi juga sahsiah diri.
Untuk memperkukuh amalan dan etika integriti dalam profesion ini, saya telah menggariskan beberapa langkah untuk diikuti dan dilaksanakan secara konsisten untuk memastikan kebitaraan terhadap profesion pensyarah terus terjamin. Pertama, saya akan terus melibatkan diri terhadap pembangunan profesional berterusan terutama berkait nilai integriti dan etika akademik. Kedua, pentingnya penekanan aspek refleksi kendiri secara berterusan untuk menilai kelemahan dan kekuatan diri untuk sentiasa dipantau walau dalam kesibukan rutin harian. Ketiga, perlunya kepada budaya tegur menegur dikalangan rakan sejawat atau rakan akrab, agar dapat saling mengingatkan pentingnya menjaga adab dan etika profesionalisme. Selain itu, saya juga ingin menerapkan budaya menghoramati masa, patuh pada janji dan memberi layanan sama rata pada semua pihak tanpa mengira latar belakang. Akhir sekali, saya akan menanamkan dalam diri bahawa, setiap tindakan saya sebagai pensyarah UTM adalah cerminan identiti universiti, maka setiap keputusan dan tindakan perlu diambil dengan penuh tanggungjawab. Dengan ini, besar harapan saya agar profesion pensyarah akan terus dipandang tinggi dimata masyarakat dan seterusnya memberi impak positif kepada universiti, pelajar serta masyarakat.