Tanggal 15 Disember 2020 yang lalu, tercipta satu lagi sejarah bagi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berikutan dengan wujudnya hasil sinergi 2.0 pada 1hb Julai 2019. Buat julung-julung kalinya majlis penghargaan dan pengiktirafan pencapaian staf fakulti bagi tahun 2019 telah diraikan secara Norma Baharu iaitu melalui webinar – secara langsung di Facebook FSSH sepenuhnya.

Majlis Anugerah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan bagi tahun 2020 (MAFSSH 2020) yang ringkas dan sederhana tetapi amat bermakna buat warga FSSH ini telah dirasmikan sendiri oleh Y.Bhg Prof. Dr. Zaidatun binti Tasir, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Dikesempatan majlis ini juga telah diadakan majlis pelancaran Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) bagi fakulti sebagaimana yang diperlukan oleh pihak Universiti khususnya pihak Bahagian Kualiti dan Pengurusan Sumber Manusia Universiti (QRiM).

Antara lain, di dalam ucapan perasmian Prof. Dr. Zaidatun, beliau telah merakamkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada semua warga FSSH di atas segala sumbangan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada fakulti dalam meningkatkan pencapaian fakulti dalam pelbagai bidang dan aspek sepanjang tahun 2019 sehingga fakulti mencapai pelbagai kejayaan dan pencapaian yang luar biasa. Menjadi harapan beliau, semangat dan kesungguhan serta kerjasama dan sokongan semua staf dapat diteruskan pada tahun-tahun yang mendatang.

“Semoga kejayaan rakan-rakan kita ini akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada semua staf FSSH yang lain untuk terus maju dan berjaya juga,”ujarnya.

Pada majlis MAFSSH 2020 kali ini, seramai 190 orang staf akademik dan staf Pentadbiran, Perkhidmatan dan Pengurusan (PPP) FSSH telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 FSSH atas sumbagan dan kecemerlangan mereka sepanjang tahun 2019. Selain itu, seramai 31 orang staf yang lain pula telah menerima anugerah dalam pelbagai bidang dan aspek kejayaan antaranya Anugerah Pengajaran (Kategori Pensyarah, Kategori Pensyarah Harapan, Kategori Guru Bahasa, Kategori Guru Bahasa Harapan, Kategori Future Ready Educators dan Kategori Future Ready Educators Harapan), Anugerah Penasihat Akademik, Anugerah Penyeliaan, Anugerah Penyelidikan, Anugerah Perundingan, Anugerah Penerbitan Jurnal Berimpak Tinggi, Anugerah Penerbitan Karya Asli (Kategori Karya Asli, Kategori Buku Penyelidikan, Kategori Buku Suntingan dan Kategori Karya Popular), Anugerah Keterlibatan Industri, Anugerah Khidmat Masyarakat (Kategori Staf Akademik dan Kategori Staf PPP), Anugerah Sukan Kategori Pencapaian Sukan (Kategori Kepimpinan Sukan dan Kategori Gaya Hidup Sihat) dan Anugerah Webomterik (Kategori Pensyarah, Kategori Guru Bahasa dan Kategori Staf PPP).

Salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2020, Pn. Nur Al Huda Hashim, Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di Akademi dan pemenang Anugerah Penyeliaan semasa MAFSSH 2020, Prof. Dr. Yeo Kee Jiar dari Sekolah Pendidikan turut memberi ulasan positif tentang majlis yang dijayakan ini.

“Thank you very much to the Dean and the list of FSSH administrators for having this event for this year. Rasa terhibur dan kurang tertekan,”ujar Pn. Huda.

“Tahniah atas usaha yg begitu gigih daripada Penasihat (Dekan) dan Pengarah MAFSSH (Prof. Madya Dr. Fauzi) serta barisan kuatnya. Begitu kemas dan rapi persediaannya sepanjang masa majlis berlangsung. Harap dikekalkan permuafakatan seperti ini pada tahun depan dan seterusnya. Tahniah FSSH HEART!,” ujar Prof. Yeo.

Kemeriahan MAFSSH 2020 ini juga telah diselang selikan dengan aturcara cabutan bertuah secara langsung yang melibatkan 47 buah hadiah untuk dimenangi antaranya ialah Russel Taylor Hand Blender, Russel Taylor Vacuum Cordless, Birkeshire Air Fryer, pengisar makanan, karpet idaman, selimut , beg tangan, beg komputer riba, periuk Ikea, jam tangan lelaki dan wanita, ketuhar dan pelbagai lagi hadiah

MAFSSH 2020 kali ini juga telah memperlihatkan kemampuan dan kepakaran pasukan staf PPP FSSH yang 100% merancang dan melaksanakan perjalanan majlis dari segi persiapan dan juga penggunaan teknikal dan audio visual sepanjang majlis ini berlangsung.

Alhamdullilah majlis MAFSSH 2020 dengan tema Floral dan dilaksanakan secara Norma Baharu telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang dan teratur serta mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) sepanjang majlis berlangsung. Mendidik dan Menginsan!

Disediakan oleh:
Khairull Azmi bin Ishak
Timbalan Pendaftar
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan