ادب دان ايتيكا

Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka adab bermaksud  tingkah laku serta tutur kata yang sopan manakala etika bermaksud prinsip moral pegangan seseorang individu.

Adab dan Etika bagi seorang pensyarah adalah sangat penting kerana manusia perlu dididik dengan penuh hikmah. Dalam konteks ini, mendidik dengan hikmah boleh juga dikategorikan sebagai beradab dalam mendidik. Pendekatan lembut dalam mendidik penting kerana naluri manusia akan menjauhi orang yang bertindak keras dalam menegur dan mendidik. Selain itu, pensyarah perlu memastikan diri sentiasa memegang erat etika dalam bekerja. Hal demikian kerana, pelajar bukan sahaja belajar daripada apa yang disyarahkan oleh pensyarah, tetapi pelajar juga belajar dengan melihat tindak tanduk pesyarah dalam menguruskan hal akademik dan hal penyelidikan. Oleh itu, adab dan etika adalah perkara yang mustahak bagi seorang pensyarah untuk mendapat kepercayaan pelajar dalam membimbing pelajar tersebut dalam hal akademik dan penyelidikan. Apabila pelajar yakin dengan ilmu yang diberikan oleh pensyarah tersebut barulah pelajar tersebut dapat menumpukan fokus 100 peratus dalam hal akademik dan penyelidikan sekali gus dapat meningkatkan prestasi pelajar.

Terdapat beberapa cabaran dari segi adab dan etika yang dihadapi oleh pensyarah. Salah satu daripadanya adalah cabaran dari segi favouritisme dari segi menanda kertas jawapan pelajar. Sebagai manusia, pensyarah mungkin secara tidak sengaja terdedah kepada kecenderungan semula jadi untuk bersikap lebih baik terhadap pelajar yang mereka suka atau pelajar yang mereka rasakan lebih berbakat. Menjaga objektiviti sepenuhnya dalam menanda kertas jawapan boleh menjadi satu cabaran, terutamanya apabila terdapat hubungan peribadi atau profesional dengan pelajar yang dinilai. Langkah- langkah bagi mengatasi cabaran di atas adalah dengan mengamalkan penandaan secara anonim, di mana identiti pelajar tidak diketahui oleh pensyarah semasa menanda kertas jawapan, dapat membantu mengekalkan objektiviti dan mengurangkan kecenderungan favouritisme. Selain itu, mengadakan proses semakan penandaan oleh rakan sekerja atau melalui moderasi pihak ketiga dapat memastikan penilaian yang lebih objektif dan adil.

Mengurus dana penyelidikan merupakan tanggungjawab besar yang dihadapi oleh pensyarah, terutama bagi mereka yang terlibat dalam penyelidikan akademik dan inovasi. Pengurusan dana yang berkesan bukan sahaja memastikan kelancaran projek penyelidikan, tetapi juga mencerminkan integriti dan profesionalisme pensyarah tersebut. Antara cabaran utama dari segi adab dan etika dalam pengurusan dana penyelidikan adalah ketelusan dan akauntabiliti. Pensyarah bukan sahaja perlu memastikan perolehan asset penyelidikan dibeli mengikut tatakelola yang ditetapkan malah harus memastikan aset tersebut dijaga dengan baik selagi mana aset tersebut didaftarkan di bawah nama pensyarah tersebut. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pensyarah tersebut berdapan tindakan tata tertib dari pihak universiti sekali gus memusnahkan kredibiliti pensyarah tersebut. Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi cabaran tersebut adalah dengan pendidikan dan kesedaran. Pensyarah perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan mereka tentang peraturan dan etika pengurusan dana melalui latihan dan bengkel yang dianjurkan oleh institusi atau pihak berkuasa berkaitan. Selain itu, pensyarah perlu bersikap jujur di mana pensyarah harus mengisytiharkan sebarang konflik kepentingan yang mungkin timbul dan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan konflik tersebut terhadap keputusan kewangan.