Ketika pulang dari pengajian PhD di Amerika Syarikat (USA) tahun 2017, pihak fakulti saya di UTM, Fakulti Pendidikan (kini Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, FEST) sedang dalam proses semakan kurikulum prasiswazah (undergraduate). Fakulti mengimpikan adanya kursus-kursus baharu yang dapat memberikan pembaharuan kepada program akademik, termasuklah Pendidikan Fizik.
Saya melihat peluang untuk memperkenalkan satu kursus baharu, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Pendidikan STEM) sebagai kursus elektif. Ini disokong pengalaman menjadi pelajar PhD dalam kursus Integrated STEM Education ketika di USA.
Saya amat faham kursus ini tidak boleh menjadi kursus wajib jabatan kerana ia kursus yang amat baharu diperkenalkan, maka berstatus “elektif” akan memberikan ruang untuk ia mula “lahir”.
Kursus ini menerapkan beberapa komponen dan ciri utama:
1. Merentas disiplin/bidang: Inkuiri Saintifik, Reka Bentuk Kejuruteraan, dan Pemodelan Matematik.
2. Aplikasi Ilmu Pendidikan – pembentukan kurikulum, pengajaran inovatif dan pentaksiran transformatif.
3. Global dan Lokal: Keperluan dunia dan keperluan negara.
4. Menyokong visi/misi universiti: UTM sebagai universiti berteraskan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan.
Menyedari pentingnya usaha pengasasan kursus baharu ini didokumentasikan, saya mengambil peluang menerbitkan penulisan mengenainya dalam satu Book Chapter tahun 2023, yang diedit bersama oleh rakan-rakan ilmuan di USA dan negara Arab/Teluk (lihat gambar).
Bukan itu saja, saya turut mengambil peluang menyampaikan sesi ilmiah dalam satu forum global anjuran National Association for Research in Science Teaching (NARST) di USA tahun 2022 (lihat gambar) mengenai pengasasan kursus ini.
Sebenarnya penting kita menulis atau bercakap apa kita buat, dalam medium yang sesuai seperti buku, jurnal atau platform forum. Ini mendorong kita dapat berkongsi pengalaman dan ilmu kita kepada warga dunia.
Berbalik kepada kursus Pendidikan STEM ini, ketika mula mengasaskan kursus ini, saya “berangan-angan” ingin melihat kursus ini boleh diambil oleh semua pelajar UTM tanpa mengira fakulti mana. Namun, saya belum mendapat peluang lagi sebelum ini.
Namun, berita gembira hadir ketika ini apabila Koordinator Program Pendidikan Fizik Prasiswazah memaklumkan kursus ini sudah mula ditawarkan sebagai elektif bebas peringkat universiti. Pelajar dari fakulti lain, terutamanya Kejuruteraan telah enrol dalam kursus ini pada semester ini. Terdapat juga pelajar antarabangsa yang enrol bersama.
Perkembangan ini amat memberangsangkan, angan-angan saya pada 5 tahun lepas kini jadi kenyataan. Alhamdulillah!
Kenapa pelajar fakulti lain berminat? Apa saya lihat ialah ciri kursus ini MERENTAS DISIPLIN. Pelajar Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (selain bidang Pendidikan) boleh membawa ilmu bidang mereka ke dalam kursus ini.
Kursus ini amat meraikan ilmu yang mereka ada, kerana kursus ini memang amat tekankan nilai STEM yang inklusif, tidak kira dari bidang Pendidikan atau selainnya.
Jika kursus ini terus mendapat sambutan, tentulah banyak inovasi perlu dijalankan sekaligus mentransformasikan ia sebagai kursus strategik di peringkat universiti.
Potensi lain kursus ini ialah:
1. Pelajar bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan boleh menjadikan kursus ini untuk memahami asas menjadi pendidik, apatah lagi jika mahu menjadi seorang pensyarah universiti atau mana-mana institusi pendidikan. Dedahan tentang pembentukan kurikulum, pengajaran inovatif dan pentaksiran transformatif adalah asas penting untuk mereka menjadi seorang pensyarah yang kompeten.
2. Kursus ini akan mengalami transformasi kandungan disebabkan oleh keterlibatan pelajar antarabangsa. Dengan sendirinya, pengajar kursus mesti berpemikiran global dan mengajar dalam bahasa Inggeris.
Kursus ini sedang dalam transformasi penilaian, dengan menggantikan Final Exam dengan Tugasan Akademik, berfungsi sebagai pentaksiran transformatif. Kursus ini juga akan mendapat pertambahan kredit, daripada 2 menjadi 3 kredit.
Insya Allah, dengan sokongan fakulti dan universiti, saya percaya kursus ini terus relevan untuk keperluan fakulti dan universiti. Pengalaman berkhidmat di Pejabat Naib Canselor UTM dari 2022 hingga kini membolehkan kerja-kerja yang saya lakukan diselarikan dengan NARATIF UNIVERSITI – UTM sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia berteraskan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan.











