Adab dan etika sebagai pendidik

🌿 Refleksi: Pensyarah, Adab & Etika dalam Dunia Akademik

Menjadi pensyarah bukan sekadar kerja; ia adalah amanah besar. Pensyarah sering dilihat sebagai ikon dan role model. Hakikatnya, pelajar sentiasa memerhati – macam “eagle eye” – setiap tingkah laku kita. Jadi, adab dan etika bukan pilihan, tapi kewajipan.

✨ Sopan Santun dalam Komunikasi

Bila bercakap dengan pelajar, walaupun mereka lebih muda, bahasa yang kasar hanya menjauhkan. Dengan sopan santun, pelajar lebih terbuka berkongsi masalah, tak takut untuk bertanya, dan suasana kelas jadi lebih mesra. Hubungan jadi dua hala, bukan sekadar “pensyarah bercakap, pelajar dengar.”

Dengan rakan sejawat pula, tak kira senior atau junior, tutur kata berhemah membina rasa hormat. Dari situ datang peluang kolaborasi. Pensyarah tak boleh bergerak seorang diri – kolaborasi itu nadi akademia. Seperti kata pepatah, “If you want to walk fast, walk alone. If you want to walk far, walk together.”

Manakala dengan pihak pengurusan dan masyarakat, kesantunan menjadikan kita mudah didekati dan dihormati sebagai orang berilmu. Bila orang selesa dengan kita, urusan jadi lancar.

Dalam penulisan pula – sama ada email, mesej di WhatsApp/Telegram, atau media sosial – jari jemari juga perlu beradab. Elakkan singkatan pelik, jangan campur terlalu banyak bahasa, dan gunakan ayat ringkas tapi jelas. Balas mesej segera bila perlu, jangan biar tergantung. Itu juga sebahagian daripada komunikasi berkesan.


đź‘” Penampilan Diri dan Profesionalisme

Realitinya, first impression sangat penting. Pensyarah mungkin tiada uniform macam polis atau jururawat, tapi “kemas” ialah uniform kita. Bagi wanita muslim, tudung terletak elok, pakaian sopan, kain tidak berkedut. Lelaki pula, berpakaian formal, berkasut, dan berambut kemas.

Jangan pula hadir ke kuliah dengan selipar jepun dan t-shirt lusuh – imej itu langsung tidak mencerminkan profesionalisme. Macam mana industri nak percaya untuk projek berjuta kalau imej sendiri tak meyakinkan? Penampilan yang berhemah menunjukkan kita serius dengan peranan dan menyemai rasa hormat daripada pelajar, rakan, malah masyarakat.


📚 Integriti Akademik & Amanah

Kod Etika Profesional UTM dan Etika Perkhidmatan Awam Malaysia sama-sama menekankan integriti, profesionalisme, dan amanah. Bila sebut tentang integriti akademik, ia bukan benda kecil. Contohnya dalam mengajar, kalau kita janji kelas pukul 10, janganlah masuk pukul 10.30. Itu janji dengan pelajar, dan janji mesti ditepati. Kita juga kena buat kerja rumah – sediakan bahan, tanda tugasan ikut masa, dan jangan pilih kasih. Pelajar boleh nampak kalau kita berat sebelah, dan sekali kepercayaan hilang, susah nak dapat balik.

Dalam penyelidikan pula, integriti bermaksud jujur dengan apa yang kita jumpa. Tak payah reka-reka data semata-mata nak cepat publish atau nak kejar KPI. Kalau kita janji projek yang tak realistik, akhirnya diri sendiri yang tertekan. Lebih baik buat sederhana tapi telus, kerana hasil itu lebih bernilai.

Bab penerbitan pun sama. Kita semua tahu ada orang suka “bonceng gratis” – nama naik dalam artikel tapi tak buat kerja. Itu tak patut. Kalau nak jadi penulis bersama, biarlah dengan sumbangan yang jelas. Dan paling penting, jangan sesekali plagiat. Hargai usaha orang lain dengan bagi rujukan yang betul. Ilmu ini berkembang dengan amanah, bukan dengan tipu helah.

Penyeliaan pelajar pun memerlukan integriti. Kalau jadi supervisor, janganlah biarkan student tunggu berminggu-minggu tanpa feedback. Mereka perlukan bimbingan, bukan tekanan. Dan yang paling saya rasa tak wajar – bila ada pensyarah suruh student buat kerja peribadi yang tiada kaitan dengan penyelidikan, macam ambil anak atau teman shopping. Itu bukan fungsi penyeliaan. Kita ada amanah untuk bimbing mereka sampai jadi penyelidik yang matang.

Dalam pentadbiran pula, sikap amanah sangat penting. Kalau dapat jawatan, buatlah dengan adil. Dengar masalah staf, jangan pilih kasih, jangan salah guna kuasa. Kita semua pernah dengar tentang favoritism atau power harassment – benda-benda macam ini bukan saja rosakkan nama sendiri, tapi jatuhkan maruah universiti sekali.

Kalau semua nilai ini kita amalkan dengan konsisten, bukan sahaja profesion pensyarah jadi lebih dihormati, tapi ia juga selari dengan matlamat pendidikan UTM – melahirkan graduan yang berkualiti, berintegriti dan memberi manfaat kepada masyarakat.

🌍 Cabaran & Refleksi Peribadi

Cakap memang mudah, buat itu yang susah. Antara cabaran besar seorang pensyarah UTM ialah KPI 7P – terutamanya penerbitan. Bila masa terbahagi antara mengajar, menyelia, dan urusan keluarga, ramai yang akhirnya terpaksa “tumpang nama” untuk survive. Begitu juga isu work-life balance – bila masa untuk pelajar, bila masa untuk keluarga?

Saya akui, saya sendiri bergelut dengan masa. Ada hari rasa macam tak cukup 24 jam. Ada pensyarah pilih jalan pintas: skip kelas, suruh pelajar belajar sendiri. Itu tidak patut. Kita diberi amanah, dan setiap amanah akan ditanya kelak.


🌸 Kembali kepada Nilai Islam

Bagi saya, cara paling kukuh untuk memperkasakan amalan adab, etika, profesionalisme, dan amanah ialah dengan kembali kepada asas Islam. Kita ini khalifah, setiap tanggungjawab akan dipersoalkan.

Allah berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat 27:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”

Ayat ini jadi peringatan – amanah pensyarah bukan sekadar kontrak kerja, tetapi janji kepada Allah. Bila takut pada Allah, kita takkan berani seleweng. Bila sedar mati itu pasti, kita akan lebih menjaga adab, etika, dan integriti. Akhirnya, ia bukan tentang kita semata-mata, tetapi tentang ilmu yang kekal menjadi amal jariah.