Misi bantuan pasca banjir yang digerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) menerusi sukarelawan dari Seksyen Pembangunan Khas Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Pagoh dan Sime Darby Property Selatan Empat (SDPS4) digerakkan ke Kampung Jawa, Lenga antara lokasi yang terjejas teruk akibat bencana banjir.
Inisiatif tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial HPTP dalam usaha membantu dan meringankan beban mangsa banjir di komuniti Pagoh.Berikutan bencana banjir yang lepas dan atas dasar keperihatinan dan kemanusiaan, Sukarelawan HPTP segera digerakkan bagi kerja-kerja sukarelawan pasca banjir dengan merujuk kepada saranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muar.
Lebih 873 orang telah ditempatkan melibatkan 35 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan sebahagian besarnya di PPS Kompleks Sukan Pagoh dan PPS Dewan Serbaguna Pagoh, PPS Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan PPS SMK Sultan Alauddin Riayat Shah. Situasi banjir di Kampung Jawa semakin pulih dan jumlah mangsa di PPS semakin menurun dan mula balik ke kediaman masing-masing untuk proses pembersihan.
Kejadian banjir di daerah Muar yang teruk khususnya di Panchor, Lenga dan Bukit Kepong kali ini berpunca daripada limpahan air Sungai Muar. JawatankuasaPengurusan Bencana Daerah Muar memaklumkan kawasan-kawasan berkenaan berdekatan dengan Sungai Muar yang paras airnya di tahap yang bahaya menyebabkan banyak kawasan kampong dilanda banjir walaupun kali ini tidak seburuk banjir pada tahun 2006. Paras air Sungai Muar terus meningkat dipercayai berpunca daripada limpahan air banjir dari Pahang dan daerah Segamat Johor. Walaupun beberapa hari yang lalu cuaca di Lenga, Panchor dan Bukit Kepong cerah dan tidak mengalami hujan lebat namun paras air Sungai Muar terus meningkat sebelum melimpah dari tebingnya.
Leave a Reply