PROGRAM SOT SEKOLAH PENDIDIKAN

Pada 28 – 29 October 2023, satu program Spirit of Togetherness (SOT) Sekolah Pendidikan telah dijalankan di Teluk Gorek, Johor. Program ini bertujuan membantu pelajar – pelajar pascasiswazah yang masih dalam tempoh pengajian di peringkat ijazah sarjana (penyelidikan) dan PhD. Dalam program ini, saya merupakan salah seorang jawatankuasa dan fasilitator.Saya juga telah diberi satu slot perkongsian mengenai perjalanan PhD semasa bekerja.Saya doakan semoga pelajar – pelajar ini berjaya mengharungi liku – liku perjalanan sebagai pelajar pascasiswazah dan berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya.

SEMBANG SANTAI GENG SKGU

Pada 25 October 2023, saya telah berkesempatan berjumpa dengan geng – geng semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan Gombak Utara. Mereka merupakan “backbone” saya semasa saya mengajar di sana. Merekalah rakan – rakan yang selalu membantu ketika susah dan senang dan sentiasa memberi semangat semasa menyambung pengajian di peringkat PhD.Terus terang saya katakan, di mana ada saya di situlah ada mereka.Kenangan membeli barangan untuk jualan kelab guru memang tidak akan dilupakan. Semoga geng – geng saya ini terus sukses dalam kerjaya mereka.InsyaAllah ada rezeki, kita jumpa lagi.

PERJUMPAAN DENGAN MANTAN SV

Pada 19 October 2023, saya telah diberi kesempatan untuk berjumpa dengan mantan SV PhD iaitu Prof. Madya Dr. Siti Mistima Maat. Ketika itu, beliau hadir ke UTM sebagai salah seorang panel penilai luar bagi peperiksaan lisan calon pelajar PhD. Berkesempatan berjumpa beliau mengingatkan saya kepada proses penyelidikan di peringkat PhD. Beliau merupakan seorang guru yang tegas serta berdisplin. Jadual pengurusan penyelidikan yang dicadangkan beliau banyak membantu saya untuk menyelesaikan pengajian PhD dalam tempoh 3.5 tahun. Semoga beliau sentiasa dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan diberi keberkatan kehidupan atas asbab membimbing saya dalam pengajian PhD.

INTERNATIONAL INNOVATION COMPETITION IN EDUCATION

Pada 26 September 2023, telah berlangsungnya pertandingan International Innovation Competition in Education (IICE 2023). Pertandingan inovasi ini telah dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor (PPSMJ) dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Dalam pertandingan ini, saya telah di amanahkan tanggungjawab sebagai setiausaha program dan membantu jawatankuasa protokol dalam menyediakan senarai nama pemenang pertandingan. Alhamdulillah, pertandingan ini telah mendapat sambutan di mana seramai 120 orang peserta telah berjaya membentangkan hasil inovasi mereka. Pertandingan ini melibatkan lima kategori utama iaitu kategori IPTA/S, IPG dan Matrikulasi, Kolej Vokasional, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Alhamdulillah pertandingan berjaya dilaksanakan dengan baik dibawah kendalian Dr. Norulhuda Ismail.

PROGRAM STEM PENGERANG

Pada 24 September 2023 dan 25 September 2023, saya telah mengikuti program STEM di SMK Pengerang Utama, Pengerang, Johor. Walaupun baru sahaja selesai program BC4DCP, saya tidak menolak untuk mengikuti program ini kerana ianya merupakan salah satu program komuniti yang mempunyai kaitan dengan sumbangan saya kepada masyarakat. Dalam program ini, saya telah diberi peluang dan ruang untuk mengendalikan dua aktiviti iaitu (1) Explorasi STEM melalui reka bentuk bangunan; dan (2) Explorasi STEM melalui inovasi. Alhamdulillah, kedua – dua aktiviti ini telah mendapat sambutan daripada semua pihak dan mencapai objektif yang diingini. Akhir sekali, saya mengharapkan agar program – program ini dapat diteruskan dan memberi implikasi yang positif terutama sekali kepada semua murid sekolah rendah dan menengah.

KURSUS BC4DCP PENSYARAH BAHARU

Pada 3 September 2023 hingga 20 September 2023, saya telah mengikuti kursus BC4DCP bagi pensyarah – pensyarah baharu. Sepanjang 3 minggu ini, kami telah diberi pendedahan mengenai pelbagai modul seperti pengajaran, penyelidikan, perundingan dan sebagainya. Kursus ini juga telah memberi peluang kepada kami untuk berjumpa dengan beberapa tokoh akademik yang memberi inspirasi kepada kami untuk meneruskan perjuangan sebagai ahli akademik di UTM. Antaranya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, mantan Timbalan Naib Canselor UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Hayati Abdullah,  Prof. Dr. Astuty Amrin dan ramai lagi. Sesungguhnya, ilmu yang disampaikan oleh mereka semua akan menjadi panduan kepada kami pada masa akan datang. Terus terang saya katakan pada mulanya hati ini amat berat untuk mengikuti kursus ini kerana banyak tugas hakiki yang perlu diselesaikan. Namun begitu, demi Allah, ilmu dan networking yang diperoleh sepanjang kursus ini sangat berharga. Pengalaman berjumpa dengan pensyarah yang HEBAT dan rakan – rakan dari fakulti lain yang mempunyai pelbagai kepakaran membuat saya merasakan diri ini sangat kecil. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pn. Norliah selaku pegawai pengurusan yang menguruskan kursus ini.

PERMULAAN KERJAYA SEBAGAI SEORANG PENSYARAH

20 September 2023 merupakan suatu tarikh penting dalam perjalanan sebagai seorang pensyarah. Hari ini genaplah setahun diri ini memulakan kerjaya sebagai seorang pensyarah Pendidikan Matematik di Universiti Teknologi Malaysia. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan perjalanan selama setahun ini. Sepanjang tempoh ini, Allah telah banyak memudahkan segala urusan dengan menemukan diri ini dengan pelbagai mentor yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Antara mentor – mentor yang membimbing diri ini adalah Prof. Dr. Zaidatun Tasir, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Dr. Najua Syuhada Alhassora, Dr. Sharifah Osman, Dr. Norulhuda, Prof. Madya Dr. Hasniza dan ramai lagi.Tidak dilupakan kepada sahabat – sahabat yang banyak membantu seperti Dr. Rasidi, Dr. Afzamiman, Dr. Fahmi, Dr. Adjah Naqiah, Dr. Chuzairy, Dr. Sharifah Maryam, Dr. Fatihah, Dr. Fadzil, Dr. Roslizam dan lain – lain. Semoga Allah sentiasa memberkati kalian yang banyak membantu diri ini. Saya mengharapkan agar tahun – tahun akan datang, perjalanan diri ini sebagai seorang pendidik di institusi pengajian tinggi akan dipermudahkan terutama sekali dalam menghadapi cabaran dalam memenuhi tuntutan 7P.

PENERIMA GERAN FRGS 2023

Terima kasih Allah atas rezeki yang Engkau kurniakan pada diri ini. Sesungguhnya, ini merupakan geran akademik pertama yang diperoleh semasa menjawat jawatan sebagai seorang pensyarah. Semoga Allah mempermudahkan urusan menyelesaikan urusan penyelidikan ini dan dapatan kajian ini dapat digunakan untuk menambahbaik amalan pengajaran guru matematik di sekolah.InsyaAllah.