Category Archives: Uncategorized

KEPIMPINAN AKADEMIK DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Kepimpinan Akademik di Institusi Pengajian Tinggi merujuk kepada peranan dan tanggungjawab pemimpin akademik, pentadbir dan fakulti dalam pengurusan dan penyeliaan aktiviti akademik di dalam Institusi Pengajian Tinggi (IPT), seperti Universiti Awam, Kolej-kolej Universiti dan Institusi-institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Ia membabitkan berbagai aspek yang berkaitan dengan pendidikan dan penyelidikan di peringkat tinggi dan ia adalah penting dalam membentuk arah, kualiti dan pencapaian sesebuah IPT. Kepimpinan akademik ini adalah penting dalam membentuk dasar-dasar pendidikan, pengajaran, penyelidikan dan pengurusan di peringkat pendidikan tinggi negara.

Terdapat lapan aspek utama yang perlu dimainkan oleh seseorang yang telah dilantik sebagai pemimpin akademik. Pertama adalah dari aspek pembangunan kurikulum. Seseorang pemimpin akademik itu perlulah berperanan dalam pembangunan kurikulum yang relevan dan sesuai dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan. Mereka perlu memastikan bahawa kurikulum memenuhi matlamat pendidikan dan memenuhi keperluan kebolehpasaran pelajar. Kedua adalah aspek pengurusan prestasi pengajaran. Mereka perlulah membantu dalam penilaian prestasi pengajaran staf akademik dengan memberi dorongan dan bimbingan kepada staf untuk meningkatkan kualiti pengajaran. Aspek yang ketiga adalah dari segi inovasi dalam pendidikan. Sebagai pemimpin, mereka perlulah berusaha untuk merangsang inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, termasuk penggunaan teknologi pendidikan yang baru dan cara-cara pembelajaran yang berkesan. Aspek kualiti dan pengekalan standard adalah amat penting dalam memastikan standard kualiti pendidikan dikekalkan dan sentiasa berusaha untuk ditingkatkan dengan memainkan peranan dalam proses pensijilan dan pengiktirafan yang berkaitan dengan pendidikan. Kelima adalah aspek pemantauan dan penambahbaikan melalui pemantauan proses pembelajaran dan memberi tindakan penambahbaikan apabila perlu. Ini adalah termasuk tindakan penambahbaikan dalam pengajaran, penyusunan semula program atau pelaksanaan dasar yang baru. Sebagai pemimpin akademik juga, mereka perlu menekankan aspek pembangunan profesionalisme pendidik melalui program-program berbentuk latihan, pembangunan kendiri dan mentor-mentee. Aspek yang ketujuh adalah memastikan kurikulum yang digunapakai adalah relevan bagi memastikan bahawa kurikulum dan program-program pendidikan yang ditawarkan sejajar dengan keperluan pasaran kerja dan masyarakat serta mencipta peluang pembelajaran yang menarik dan memberi maklumat yang diperlukan kepada pelajar. Aspek yang terakhir adalah melalui pengintegrasian nilai-nilai pendidikan. Oleh itu, sebagai seorang pemimpin akademik, mereka perlulah memainkan peranan dalam mempromosikan nilai-nilai pendidikan seperti etika, kepelbagaian dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar dan staf akademik.

Dalam usaha untuk memastikan kelapan-lapan aspek yang disenaraikan di atas, seseorang pemimpin akademik itu perlulah melengkapkan dirinya dengan ciri-ciri seperti, mempunyai visi dan matlamat jelas, pemahaman mendalam tentang pendidikan dan penyelidikan, integriti dan etika, kemahiran pengurusan, kemahiran komunikasi yang berkesan, kerjasama dan hubungan luar yang kuat, keberanian untuk mengambil risiko dalam membuat keputusan, kesediaan untuk mendengar pendapat dan maklum balas dan memberi penekanan ke atas keadilan sosial dan kepelbagaian. Oleh demikian, kepimpinan akademik bagi sesebuah institusi pengajian tinggi adlah amat penting dalam memastikan prestasi dan kualiti pendidikan tinggi di negara ini serta menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara. Mereka perlulah sentiasa bertanggungjawab untuk membentuk masa depan pendidikan dan penyelidikan negara, serta memberikan sumbangan yang berterusan kepada perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia.

Mohd Fahmi Bin Adnan

Senior Lecturer,
Department of Technical and Engineering Education,
School of Education,
Faculty of Social Sciences and Humanities
Universiti Teknologi Malaysia

Email: mohdfahmi.adnan@utm.my
Office: C14-332
Phone No.: +6013-7030515