Sedikit perkongsian mengenai Mesir hasil bacaan dan maklumat yang diperoleh daripada seminar di jabatan.

  1. Kejatuhan Hosni Mubarak pada April 2011, pada ketika itu dilihat sebagai berakhirnya pemerintahan tentera dan juga dianggap sebagai kemengan rakyat oleh penduduk Mesir. Kebangkitan rakyat yang didorong oleh gerakan pemuda Mesir (youth movement) telah disambut baik oleh kebanyakan penduduk Mesir ketika itu bahkan parti-parti politik serta gerakan Islam di Mesir turut serta dalam kebangkitan rakyat mesir tersebut.
  2. Walaupun terdapat kritikan yang menyebut “youth movement” ini ditaja oleh dana asing, gerakan mereka pada ketika itu jelas disokong oleh majoriti rakyat mesir dan membuahkan kejayaan. Namun, dalam masa yang sama, gerakan yang dibentuk dalam masa yang sangat singkat ini dan melibatkan pemuda yang datang daripada pelbagai latarbelakang ideologi dikritik kerana tidak mempunyai halatuju yang jelas selepas kejatuhan Mubarak pada April 2011. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menyatakan pendirian politik semasa fasa peralihan kuasa regim mubarak. Bahkan mereka juga, secara rasmi, tidak menyertai Pilihan raya umum mesir.
  3. Kesudian pihak tentera memberi laluan kepada pilihan raya umum pada tahun 2012, membolehkan FJP pimpinan Mohammad Morsi yang mewakili gerakan Ikhwan al-Muslimin memenangi pilihan raya dan dilantik menjadi presiden. Pada peringkat awal, Morsi bukanlah pilihan utama “youth movement” yang menjadi pencetus awal kebangkitan rakyat Mesir.
  4. Dakwaan menyebut kejatuhan Hosni Mubarak pada awalnya juga adalah disebabkan pihak tentera mula menyebelahi revolusi secara senyap. Tentera pada ketika itu dilihat tidak menyebelahi Hosni Mubarak dan dalam masa yang sama tidak menyebelahi rakyat. Dengan tindakan ini, membolehkan rakyat bangkit dengan mudah. Kejatuhan Hosni Mubarak adalah rencana untuk menukar regim sedia ada kepada pemerintahan yang dipilih oleh rakyat atau sekurang-kurangnya diganti regim lain. Ini kerana tentera sendiri telah muak dengan regim Hosni Mubarak yang menguasai segenap inci sumber ekonomi Mesir, lebih-lebih lagi Gamal Mubarak, anak kepada Hosni Mubarak dikatakan akan menggantikan tempat ayahnya dan mengetuai golongan elit Mesir ketika itu, sedikit sebanyak memberi kesan kepada keistimewaan yang sebelum ini dinikmati oleh pihak tentera.
  5. Kegembiraan rakyat Mesir menyambut kemenangan rakyat dan kegembiraan penyokong Ikhwan melihat FJP dan Morsi dipuncak kuasa diragut secara tiba-tiba oleh pemerintah tentera. Melalui General al-sisi, tentera sekali lagi melakukan rampasan kuasa (coup de ta). Rakyat mesir sekali lagi terpaksa melalui zaman perit pemerintahan tentera. Malahan mereka yang terlibat merencana kejatuhan tentera pada tahun 2011 menerima nasib yang sangat buruk apabila ditangkap dan dipenjarakan. Manakala yang agak bernasib baik dipantau tindakan mereka seharian dan dipaksa melapor diri kepada polis setiap hari.
  6. Setelah tiga tahun al-Sisi memerintah Mesir, beliau masih lagi belum dapat keluar daripada cengkaman regim Hosni Mubarak. Sepanjang puluhan tahun Mesir diperintah oleh Hosni Mubarak, segenap inci kepentingan ekonomi dikawal oleh kroni dan mereka yang berkepentingan dengan Hosni Mubarak.
  7. General al-Sisi bermasalah mendapat dana untuk membangunkan Mesir. Walaupun beliau berjaya mendapat dana daripada sebahagian negara Arab Teluk, seperti UAE dan Saudi, tetapi itu belum cukup meyakinkan beliau untuk membangunkan Mesir. Beliau cuba mendapatkan bantuan daripada Cina, tetapi ini masih gagal. Cina dilihat kurang berminat dengan Mesir lantaran keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.
  8. Untuk rekod, kadar pengangguran di Mesir sangat tinggi iaitu sekitar 40%. Boleh dikatakan hampir setiap graduan yang tamat pengajian di Universiti tidak memporoleh pekerjaan di Mesir. Lebih teruk lagi, kadar infalsi di Mesir meningkat sehingga 14% dan nilai matawang pound Mesir jatuh sehingga EGP 20 untuk US$ 1. Sebelum ini EGP di tambat pada EGP8 untuk US$ 1, yang menyebabkan EGP didagangkan pada EGP14 – EGP 16 di pasaran gelap.
  9. al-Sisi cuba mendapatkan dana daripada rakyat dengan membuka projek baru bagi terusan Suez, dengan memperluaskan lagi terusan Suez. Rakyat diberi peluang menyertai pembangunan terusan Suez dengan membuka peluang pelaburan kepada rakyat dan berjanji memberi pulangan yang agak lumayan, sekitar 10% setahun. Seperti skim ponzi, al-Sisi terperangkap dengan skim ini dimana beliau perlu mencari lagi dana lain untuk memberi pulangan kepada peserta yang telah melabur bagi projek tersebut sedangkan projek yang dijalankan masih belum dapat memberikan pulangan hasil.
  10. al-Sisi berhadapan dengan masalah kecairan modal yang sangat besar, walaupun aset yang dimiliki oleh tentera sangat besar dan banyak, beliau berhadapan dengan krisis kepercayaan dalam lingkungan pelabur-pelabur sama ada dalam negara mahupun pelabur luar.
  11. Sekiranya kebangkitan rakyat pada tahun 2011 antaranya didorong oleh kehendak rakyat yang mahukan keadilan sosial dikembalikan sehingga mereka berjaya menurunkan Hosni Mubarak. Pada tahun 2013, rakyat sekali lagi turun ke jalan raya menuntut Presiden ketika itu untuk memulihkan masalah kekurangan bekalan petrol, bekalan elektrik yang sering terputus serta krisis ekonomi di Mesir. Setelah hampir 4 tahun memerintah Mesir, al-Sisi pastinya tidak mampu duduk dengan tenang. Rakyat telah sedikit sebanyak mempersoal polisi-polisi ekonomi al-Sisi yang tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat malahan semakin memburukkan keadaan berbanding sebelum revolusi.
  12. Al-Sisi terpaksa memberi ruang kepada penglibatan tentera dalam kegiatan ekonomi bagi membolehkan rakyat mendapat bekalan secukupnya. Namun, dengan melibatkan secara langsung penglibatan tentera dalam dalam banyak sektor ekonomi menyebabkan sektor-sektor swasta sukar untuk bersaing. Ini membuatkan keadaan menjadi lebih sukar apabila penglibatan pihak swasta diterhadkan. Tidak mustahil masalah pengangguran akan menjadi semakin kronik.
  13. Mampukah al-sisi dan regim tentera terus bertahan? 
    1. Dengan keadaan ekonomi yang semakin sukar serta ketiadaan pelabur asing untuk melabur di Mesir, keadaan dilihat masih samar. Untuk rakyat bangkit sekali lagi, mungkin agak sukar kerana ramai antara mereka yang terlibat dengan gerakan kebangkitan rakyat telah dipenjara.
    2. Pilihan yang rakyat mesir ada ialah untuk kekal dalam kesukaran yang ada sekarang. Namun, tidak mustahil untuk rakyat mesir sekali lagi bangkit. Mungkin dalam keadaan yang lebih teruk daripada sebelum ini.
    3. Bagi al-Sisi, sekiranya beliau dapat memastikan bantuan/pinjaman IMF berjumlah USD12 billion, ini mungkin dapat menyelamatkan beliau. Tetapi, bantuan IMF tersebut bukanlah pilihan terbaik rakyat mesir, kerana ianya datang dengan pakej pemulihan ekonomi Mesir yang dijangka akan meningkatkan lagi kadar Inflasi di negara tersebut, sekaligus menyukarkan kehidupan rakyat yang sedia sukar.
    4. Sekiranya gagal, al-Sisi perlu melepaskan jawatan bagi memastikan regim tentera bertahan dan mengelakkan revolusi ke3 berlaku!
  14. Perkembangan di Mesir adalah menarik untuk diperhati kerana Mesir merupakan salah satu negara yang besar di Timur Tengah dan mempunyai kepentingan yang sangat strategik selain berada disempadan Israel dan Palestin. Sebarang perubahan yang berlaku di Mesir memberi kesan kepada negara dan Ekonomi serantau.
  15. Dengan kurangnya minat negara Cina di Mesir, membuatkan al-Sisi tidak mempunyai banyak pilihan selain untuk terus berbaik dengan negara-negara barat terutamanya US dan kuasa Eropah yang lain. Namun, perubahan angin politik barat, di US terutamanya yang kini dipimpin oleh Trump menimbulkan keraguan kemampuan al-Sisi untuk mendapatkan bantuan daripada negara tersebut.
  16. Menjelang pilihan raya umum Mesir pada tahun 2018, masa depan Mesir masih kabur dan masa depan politik al-Sisi juga masih belum pasti!

Rujukan:

http://www.economist.com/news/leaders/21703374-repression-and-incompetence-abdel-fattah-al-sisi-are-stoking-next-uprising

http://www.reuters.com/article/us-egypt-economy-discontent-insight-idUSKCN12N0D8

https://www.ft.com/content/00ea1c04-8a14-11e6-8cb7-e7ada1d123b1

Flotation necessary to tackle economic problems: Al-Sisi

http://www.newyorker.com/magazine/2017/01/02/egypts-failed-revolution

http://www.reuters.com/article/us-egypt-economy-discontent-insight-idUSKCN12N0D8

Hazem Kandil (2017). “Power and Politics in Sisi’s Egypt: The Role of the Military”, Turbulance World Seminar Series, University of Cambridge. 2 March 2017

Dr Ali Sonay (2017). “The April 6th Youth Movement in Egypt”,Turbulance World Seminar Series,  University of Cambridge. 16 March 2017.

 

 

Cambridge

27 March 2017