DIKAU INSAN MULIA
Maaf Prof Permintaan terakhirmu tidak dapat kupenuhi – akhirnya dikau bersemadi dikaki bukit tempat “kawan-kawan” rapatmu beriadah.
“Salam. Alhamdulillah kami dah sampai malaysia ptg semalan jam 6pm. Ada apa2 msg kat saya. Jumpa lagi wassalam.” – whatsapp terakhir Prof Dr Joni kepada saya pada 6 May yang lalu. Sebaik sampai di Malaysia, beliau terus memberitahu yang beliau telah sampai ditanahair.
Itulah kali terakhir saya dapat bersua dan kami sempat berpelukan erat ketika beliau melangkah keluar daripada rumah kami. Walaupun sebelum ini agak sukar untuk kami bersua sejak aku meninggalkan Jab. Syariah dan Ekonomi 6 tahun yang lalu, peluang bertemu beliau dan berkongsi cerita di sini sungguh buat aku terharu. Kekangan masa dan komitmen tidak mengizinkan kami bersua sepanjang 6 tahun yang lalu, jika beliau hadir di UTM, aku cuba usahakan untuk berjumpa dengan beliau walaupun sekejap dan jika aku ke UM, aku akan sempatkan memanjat tingkat 5 untuk berjumpa beliau. Tetapi, kadang-kadang komitmen kerja menghalang aku untuk bersua dengannya.
Beliau sungguh mulia orangnya, sangat pemurah, bibirnya sentiasa basah dengan kata-kata nasihat bila bertemu. Sering merendah diri dan memuji orang yang bersama dengannya, seolah-olah beliau tidak punya apa walaupun empunya diri adalah seorang Profesor.
Tahun 2000 merupakan pertama kali aku berguru dengan Dr. Joni Tamkin (nama yang agak jarang didengar, tapi rupanya memberi maksud yang sangat besar – Ahl al-tamkīn bermaksud golongan yang telah sampai kepada kedudukan yang tetap dan kukuh dalam ilmu (seperti yang ditulis sahabat Mohd Hilmi Ramli).
Setiap kali kelas beliau, beliau akan sentiasa memberikan kata-kata nasihat dan motivasi, senyuman beliau tidak pernah lekang daripada pandangan. Beliau mendidikasikan hidupnya memperjuangkan perbankan Islam, sistem ekonomi Islam dan menghapuskan sistem perbankan riba. Ribuan anak didik dan cendekiawan dalam bidang ini yang telah beliau lahirkan. Kami amat terhutang budi dengan beliau.
Semangat beliau begitu utuh membangunkan bidang ilmu ini. Pengorbanannya cukup besar untuk Jabatan Syariah dan Ekonomi. Bermula hanya dengan 2-3 orang pensyarah, beliau membangunkan JSE daripada “kosong” kepada apa yang dapat dilihat pada hari ini lahirnya pemain-pemain industri yang penting dalam perbankan Islam, pensyarah, pendidik bahkan ahli-ahli perniagaan.
Beliau sangat cintakan bidang ilmu yang beliau bangunkan ini. Teringat ketika aku minta nasihat daripada beliau, antara memilih tawaran menjadi pengamal perbankan atau menyambung pengajian peringkat master sambil menjadi tutor. Beliau begitu gigih menyarankan aku untuk berjuang dalam industri. Tapi, minat aku dalam bidang akademik membulatkan tekad aku untuk berada dalam akademia.
Sejak itu beliau menjadi bos aku dan dalam masa yang sama sebagai rakan sekerja untuk beberapa tahun. Untuk tempoh itu juga beliau sempat mencurahkan ilmunya dan berkongsi pengalaman dengan aku. Sehinggalah saat aku mengambil keputusan meninggalkan jabatan, beliau sekali lagi membuat aku terharu. Kalau enta pergi, ana akan terasa kehilangan enta, tapi enta buatlah keputusan untuk masa depan anta….. Allah, Prof… waktu itu saya pergi untuk berhijrah sahaja Prof, tapi Prof pergi kali ini buat selama-selamanya meninggalkan kami. Mengalir air mataku bila teringatkan dirimu Prof..
Sangat terkejut saat menerima berita pemergiaanmu pagi semalam (19 May 2017). Harapan untuk bertemu di Malaysia sudah tidak ada lagi dan aku tidak dapat menunaikan permintaanmu untuk sama-sama berseloroh dengan rakan-rakan riadah bukit gasing. Kau pergi dahulu dan bersemadi di Kaki Bukit Gasing.
Buat sahabat-sahabat JSE, semoga semangat Prof dalam menyebarkan Ilmu sentiasa berbekas dalam jiwa kita… Prof mendidik dengan hati dan jiwanya.
Fauzi Hussin
ex-student JSE (2000 – 2004)
JSE 2004 – 2011