Krisis Qatar dan negara-negara Arab berlarutan sejak 3 hari lalu dan masih belum menemui jalan penyelesaian.
Jika berlarutan lebih panjang dan dengan sekatan ekonomi dalam pelbagai sektor strategik, ia sudah pasti memberi kesan kepada ekonomi negara tersebut dan rantau Timur Tengah. Qatar merupakan negara pengeksport LNG terbesar dunia dengan Jepun merupakan pengimport terbesar LNG daripada negara tersebut.
Semenanjung kecil di Teluk Arab dengan jumlah populasi 2.2 juta ini mempunyai dasar yang agak berbeza dan sering bercanggah dengan Negara Arab lain. Ini bukan kali pertama Qatar di”hukum” oleh negara-negara jirannya dan krisis kali ini berpunca daripada pelbagai dimensi dan faktor.
Walaupun ramai yang mengaitkannya dengan sikap lunak Qatar terhadap Ikhwan Muslimin dan Hamas di Palestin serta peranan Al-Jazeera dalam melaporkan Arab Spring, Qatar sebenarnya telah dihukum pada tahun 2014 oleh negara-negara jirannya, Saudi dan Bahrain, dalam isu tersebut. Krisis Qatar dan dua negara tersebut berpanjangan selama 8 bulan.
Kali ini juga dengan alasan yang sama tetapi dengan tuduhan yang lebih berat. Qatar dituduh menyokong dan mendanai kegiatan kumpulan Islamis serta keganasan dan dalam masa yang sama bersifat agak lunak dengan Iran. Media barat dan al-Jazeera sendiri menyifatkan faktor sikap lunak dengan Iran merupakan antara yang penyumbang terbesar dalam krisis kali ini. Antara tuduhan Saudi adalah sokongan Qatar terhadap perjuangan Houthi, kumpulan shia yang disokong Iran, di Yaman.
Qatar adalah sebuah negara Majoriti Sunni Muslim tetapi menyokong Iran? Krisis yang berlaku bukanlah disebabkan oleh isu sectranian, tetapi adalah power struggle antara Saudi-Iran disamping pengaruh US. Polisi Qatar yang agak lunak dengan Iran mengundang kemarahan Arab Saudi dan menjadi punca kepada krisis kali ini.
Bloomberg dan Aljazeera menyebut Iran dan Qatar mempunyai kepentingan bersama dalam eksplorasi Gas di perairan teluk (the world’s largest field) dengan Qatar mempunyai kepentingan di utara semenanjung (North Field) dan South Pars di sebelah Iran (untuk rekod Petronas juga terlibat dalam usaha eksplorasi di South Pars ini). Mungkin ini adalah antara sebab mengapa Qatar perlu mengekalkan hubungan baik dengan Iran.
Mampukah krisis ini diselesaikan secara damai? Turki dan Kuwait sedia menjadi orang tengah, malahan US mula menyibuk untuk campur tangan.
Fauzi Hussin