بسم الله الرحمن الرحيم
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن
نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ
Assalamualaikum w.b.t
Salam sejahtera
Salam apresiasi
Salam hormat buat semua warga Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.
Yang dihormati, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Prof Dr. Zaidatun Tasir, 
Yang Dihormati Timb. Dekan Akademik, Prof Madya Dr. Azlina Kosnin,
Timbalan Pendaftar En Khairull Azmi Ishak
Pengerusi sekolah dan Akademi,
Penolong-penolong dekan, timbalan-timbalan pengerusi sekolah
Pengarah-pengarah program
Penolong-penolong pendaftar,
Tetamu-tetamu jemputan
Pemenang-pemenang dan Penerima anugerah.
Para Professor, Professor Madya, rakan-rakan pensyarah serta seluruh warga Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.
Izinkan saya untuk memulakan ucapan saya dengan beberapa rangkap pantun – memenuhi tema Melayu Klasik
Mudik sungai berakit-rakit
Rakit bersama si Awang Budiman
Baju Melayu berkain songket
Warisan bangsa zaman berzaman
Sopan Santun Anak Melayu
Senyum Terukir Bila Disapa
Sungguh Anggun Berbaju Melayu
Di hari Majlis penuh Bermakna
Mencari timba si anak dara
Di bawah sarang burung tempua
Majlis apresiasi membuka tirainya
Menghargai bakti budi dan jasa
Burung Merpati Burung Tempua
Anak layang mencari haluan
Majlis dinanti sudah pun tiba
merai cemerlang buat kenangan
 
Alhamdullillah, marilah kita sama-sama memanjatkan sepenuh rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia serta keizinanNya, fakulti berjaya pada hari ni mengadakan majlis Apresiasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) – MAFSSH secara bersemuka sepenuhnya sejak kali terakhir diadakan pada tahun 2019.
Fakulti merasakan bahawa penganjuran Majlis Apresiasi ini perlu diadakan bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan yang dicapai oleh para pensyarah dan juga staf sokongan sepanjang tahun 2021. Fakulti amat menghargai, jasa dan sumbangan yang diberikan oleh semua pihak. Dalam masa yang sama, fakulti turut berbangga dengan pencapaian kecemerlangan yang diperoleh oleh rakan-rakan akademik dan bukan akademik bagi memastikan pencapaian kecemerlangan dapat diteruskan.
Rakan-rakan pensyarah yang dihormati Allah,  
Sekalung penghargaan dan jutaan tahniah  kepada penerima anugerah majlis apresiasi pada tahun ini. Seramai 215 orang penerima APC peringkat fakulti telah disenaraikan dalam Majlis ini disamping anugerah-anugerah kecemerlangan  yang meliputi anugerah dalam akademik, penyelidikan, penerbitan, Khidmat Masyarakat, Perkhidmatan, Sukan, Seni dan Kreativiti, dan juga Kualiti. 
Penerima dan pemenang anugerah yang terpilih adalah dalam kalangan mereka yang cemerlang dalam perkhidmatan dan bidang masing-masing bagi tahun 2021 serta turut diberi penghargaan adalah mereka yang memberikan komitmen dan sumbangan yang tinggi kepada fakulti serta sekolah/ akademi masing-masing.  Bagi menghargai sumbangan staf, fakulti turut menyediakan sijil kepada mereka yang tercalon dan disenaraikan sebagai finalis.
Untuk makluman semua, panel yang dilantik sangat berhati-hati dalam mencalonkan nama-nama finalis dan pemilihan pemenang. Proses yang cermat dilakukan bagi memastikan semangat sinergi dan penghargaan kepada mereka yang cemerlang dapat diseimbangkan dan diadili sewajarnya. Sebagai pengerusi jawatankuasa panel penilai,  kami sangat menghargai usaha gigih dan ketelitian para panel bagi memastikan calon yang dipilih menepati kriteria yang sewajarnya. Tidak mudah memilih mereka yang cemerlang dalam kalangan mereka yang terbilang di fakulti ini.  Berikan tepukan kepada semua panel dan ahli mereka yang berusaha keras menilai setiap pencalonan yang diterima.
Para hadirin sekalian.
Sebagaimana maklum, Majlis ini bertujuan untuk meraikan staf FSSH yang cemerlang dalam perkhidmatan pada tahun 2021. Dengan adanya majlis ini,  ia dapat menggalakkan staf untuk terus bekerja dengan baik dan sekali gus meningkatkan produktiviti dan kecemerlangan fakulti serta UTM.
Kita semua sedar, bagi sebuah  institusi akademik, kejayaan dan kecemerlangan kita banyak disokong dan dibantu oleh semua staf  sama ada staf akademik mahupun staf pengurusan. Kitalah ialah tulang belakang utama dalam institusi ini.  Kerjasama dan persefahaman semua mampu membawa fakulti ini ke tahap yang lebih baik lagi.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Majlis ini pastinya tidak akan berjaya tanpa adanya komitmen dan kerjasama daripada semua pihak. Justeru itu, pihak jawatankuasa ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada dalam kalangan staf akademik fakulti yang memberikan komitmen penuh sebagai Panel Anugerah serta barisan Pengurusan, Profesional dan Pelaksana yang memberikan kerjasama yang tidak terhingga bagi memastikan program ini berjaya diadakan. Terima kasih juga kepada semua penyumbang yang turut memberikan komitmen dalam menjayakan Majlis Apresiasi 2022 ini.
Sebagai akhirnya, selaku pengerusi jawatankuasa penganjur Majlis Apresiasi FSSH, bagi pihak urusetia, kami memohon ampun dan maaf atas segala kesulitan dan kekurangan dalam menjayakan majlis ini.  Semoga warga FSSH terus berada dalam lindungan Allah S.W.T dan diberikan kesihatan yang baik dalam memastikan fakulti ini terus cemerlang pada tahun-tahun akan datang.
Akhir kata, semoga majlis ini berjalan dengan lancar dan selamat menjamu selera nantinya.
Segala yang baik datang daripada Allah S.W.T dan yang kurang itu datang daripada kelemahan saya sendiri.
Sebagai penutup, terimalah dua rangkap pantun daripada saya,  
Garam ada kicap pun ada
Sayang lada terlupa beli
Ucapan ada jamuan pun ada
Anugerah pelbagai sedia menanti
Terbang tinggi si burung helang
Berkicau kenari sambil berterbangan
Insan cemerlang negara terbilang
Anugerah diberi tanda kecemerlangan.
Sekian, sekali lagi mohon kemaafan dan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis pada hari ini.
 
Wabillahi taufik wal hidayah, Wassalamualaikum wbkth.