Teknologi eksploitasi data peribadi pengaruhi gaya hidup pengguna

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/09/867098/teknologi-eksploitasi-data-peribadi-pengaruhi-gaya-hidup-pengguna

‘Big brother is watching you’ ialah ungkapan popular dalam novel Nineteen Eighty-Four karya George Orwell. Ia menggambarkan bagaimana satu kelompok masyarakat berada dalam pengawasan berterusan oleh pihak berkuasa melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Orwell cuba menggambarkan sebuah negara totalitarian mengamalkan falsafah pemerintahan secara total dan mutlak. Setiap gerak-geri rakyat dipantau serta segala aktiviti ekonomi dieksploitasi bagi kepentingan pemerintah dan pihak berkuasa.

Perkara ini tidak berlaku melainkan dalam sistem pemerintahan autokrasi dan mengamalkan sistem ekonomi sosialis mahupun komunis. Pemerintah menentukan segala bentuk pengeluaran dan penggunaan sumber bagi kepentingan ekonomi pemerintah.

Tidak ada pembabitan syarikat persendirian mahupun penyertaan individu dalam pembuatan keputusan berkaitan ekonomi.

Sebenarnyan, dunia moden hari ini digambarkan cendekiawan sebagai menyamai apa diimaginasikan Orwell pada 1949. Walaupun dalam konteks berbeza, karya ulung Orwel berusia 72 tahun itu mempunyai titik persamaan terhadap pemerintahan ekstrem dan bahaya kuasa keterlaluan bagi institusi sama ada awam mahupun swasta.

Dalam konteks semasa, syarikat gergasi terutama yang memiliki penguasaan besar dalam pasaran memberi kesan dan pengaruh terhadap individu.

Syarikat teknologi gergasi atau Big Tech seperti Facebook, Amazon, Apple, Netflix dan Google secara tidak langsung mempengaruhi gaya hidup masyarakat moden, malah dari satu sudut mereka turut mengawasi pengguna.

Big Tech ini popular dengan gelaran FAANG di Bursa Saham New York (NYSE) dan mempunyai saiz modal berbayar berjumlah AS$7.1 trilion (RM29.7 trilion), iaitu lebih 20 kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Ini bermaksud, jika syarikat ini sebuah negara, nilainya bersamaan 20 kali pendapatan sesebuah negara mempunyai saiz pengeluaran seperti kita.

Walaupun dari sudut positif, syarikat ini membawa dimensi baharu dalam gaya hidup masyarakat bergantung teknologi, Internet Benda (IoTs) dan pendigitalan terpaksa merelakan pemilikan data oleh peribadi syarikat besar ini.

Data ini bukan hanya membabitkan peribadi seperti jantina, tarikh lahir, umur, status perkahwinan dan tempat tinggal, malah melangkaui kepada kelakuan (behaviour) kita seharian, cara mengakses internet, pergerakan harian serta laman web dikunjungi yang direkodkan syarikat teknologi berkenaan.

Google dan Facebook antara paling banyak memperoleh data terbabit berdasarkan jumlah pengguna tinggi dan kebergantungan kepada aplikasi mereka. Ini menjadikan segala aspek kehidupan seharian kita seolah-olah ‘diawasi’ dan ‘dikawal’ gergasi teknologi terbabit.

Persoalannya, untuk apa mereka mengawasi kita? Jika ‘Big Brother’ dalam novel Nineteen Eighty-Four bertujuan untuk mengawasi dan memerhati segala tindak tanduk masyarakat demi kepentingan institusi pemerintah, masyarakat moden hari ini diawasi melalui data peribadi bagi kepentingan Big Tech itu sendiri.

Data seharusnya menjadi hak milik peribadi dikomodifikasi bagi kepentingan pemilik modal untuk membuat keuntungan. Ironi sekali, data secara lazimnya milik pengguna menjadi barang dagangan oleh Big Tech ini. Malah, pengguna sendiri tidak mempunyai hak terhadap data mereka.

Perkara ini dikritik Shoshana Zuboff dalam bukunya, The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for a Human Future at the New Frontier of Power.

Zuboff yang juga Profesor di Universiti Harvard menggunakan terma ‘rendition’ atau penyahmilikan pengalaman manusia bagi menyamakan aktiviti komodifikasi dengan perbuatan pengekstrakan maklumat daripada data pengguna.

Walaupun undang-undang mengenai perlindungan data seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) diwujudkan, syarikat teknologi gergasi ini terlepas daripada sebarang bentuk halangan dalam mengumpul data mereka peroleh daripada pengguna.

Sebagai pengguna teknologi hari ini, aplikasi seperti Facebook, Google, Twitter dan WhatsApp tidak asing lagi. Malah, banyak lagi aplikasi dipasang pengguna gajet berdasarkan segmen pengguna berbeza.

Tidak dinafikan aplikasi ini mempunyai manfaat sangat besar kepada pengguna, malah banyak membantu urusan seharian dan memudahkan untuk membuat keputusan seperti pilihan pembelian.

Bukan aneh sekarang ini apabila pengguna ingin mendapatkan sesuatu dan melakukan carian dalam enjin pencari, dalam beberapa ketika, iklan berkaitan akan muncul dalam ‘newsfeed’ di aplikasi Facebook masing-masing.

Bahkan sudah ada beberapa usaha membangunkan satu sistem yang bukan sahaja dapat memadankan carian sudah dilakukan, malah memadankan apa sedang difikirkan dengan apa jua bentuk pengiklanan terdapat sesuatu platform.

Melalui algoritma komputer, ini tidak mustahil. Ini antara cara bagaimana teknologi dimiliki Big Tech mengoptimumkan data yang mereka ada bagi tujuan memaksimumkan keuntungan. Ini juga boleh diaplikasi syarikat teknologi lain, namun pencapaian data mereka terhad berbanding syarikat teknologi gergasi ini.

Memisahkan pengguna daripada penggunaan teknologi hari ini adalah mustahil kerana ia sudah menjadi norma kehidupan masyarakat, apatah lagi ketika pandemik ini. Ramai pengguna bergantung kepada penggunaan aplikasi ditawarkan Big Tech itu.

Hakikatnya, untuk menyatakan ekonomi digital adalah suatu berasingan dengan idealisme kapitalis, ia adalah sesuatu yang naif.

Ekonomi digital juga mempunyai susur galur kepada epistemologinya, iaitu ‘Surveillance Capitalism’ yang mengeksploitasi data bagi menjana keuntungan berlipat ganda.

Matlamat mereka antaranya adalah untuk memastikan kita sebagai pengguna terus kekal terikat (engage) dengan teknologi ini.

Pemodal besar ini pastinya tidak akan berhenti untuk melabur besar-besaran dalam teknologi baharu bagi memastikan mereka terus dapat mengawasi pengguna, sekali gus mengekstrak data dan menjadikan pengguna secara tidak sedar terus kekal sebagai pengguna setia.

Dalam hal ini, konsumerisme menjadi paradigma mereka dalam memenangi pasaran luas terbentang.

Bagi bersaing dengan syarikat teknologi gergasi ini ia adalah mustahil. Menyediakan alternatif kepada paradigma kapitalis (Counter Surveillance Capitalism) juga dilihat sukar dalam keadaan hari ini kebergantungan masyarakat sangat tinggi kepada Big Tech ini.

Justeru, bagi ‘institusi’ ingin memanfaatkan ekonomi teknologi digital perlu melihat kepentingan awam melangkaui kepentingan syarikat persendirian bagi memastikan harta kekayaan dan manusia itu tidak dieksploitasi.

Institusi kewangan, perbankan, perniagaan dan pentadbiran mengguna pakai jenama Islam seharusnya peka dengan situasi ini, sekali gus memastikan penggunaan teknologi tidak hanya memberikan keuntungan semata-mata kepada pihak tertentu serta membenarkan kekayaan berlegar dalam kalangan mereka sahaja.

Penulis adalah Profesor Madya Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

UTM Open Day