Penulisan ini adalah berasaskan refleksi penulis terhadap kursus BC4DCP kelolaan UTMLead dan disampaikan oleh Prof. Dr. Rose Alinda Alias.
Pengenalan – Kursus Soul of Academia
Kursus Soul of Academia ini telah berlangsung pada siri pertama BC4DCP tahun 2019 di UTMLead, UTM. Penulis merupakan salah seorang daripada 35 orang peserta dan telah diberikan pendedahan secara holistik berkenaan konsep roh akademia, setiap keperluan dan kepentingannya terhadap diri, keluarga, Universiti, dan masyarakat.
Objektif Kursus:
Di dalam kursus ini, terdapat beberapa objektif utama yang digariskan seperti berikut:
- Bertujuan memupuk jiwa akademia yang lebih holistik, selari dengan peranan institusi pengajian tinggi (IPT).
- Menerangkan tentang falsafah, tujuan, dan peranan IPT dalam konteks Akademia Baharu. Membincangkan pembinaan dan pembudayaan DNA Institusi.
- Membincangkan beberapa kajian kes akan dalam meningkatkan lagi kefahaman berkaitan dengan pendekatan untuk menyuburkan jiwa akademia.
- Di akhir modul ini, adalah diharapkan peserta berupaya untuk menerapkan jiwa akademia dalam kerjaya sebagai seorang ahli akademik.
Soul of Academia
Ahli akademik atau pensyarah, secara umumnya mempunyai pemikiran yang unik dan berbeza-beza. Ini diperkukuhkan lagi oleh setiap pensyarah tersebut mempunyai bidang kepakaran (samada major atau minor) yang unik dan berlainan antara satu sama lain. Keunikan ini seterusnya menjadikan setiap personaliti atau gaya pensyarah itu berbeza, seterusnya mewujudkan suatu ekosistem yang kompleks di universiti.
Setiap perbezaan pula ditakrifkan dalam pelbagai konteks, sebagai contoh, perbezaan yang positif dan negatif. Secara umumnya, perbezaan senantiasa ditakrifkan sebagai sesuatu yang negatif di dalam sesebuah organisasi kerana cabaran terhadap organisasi itu untuk menyelaraskan titik pertemuan yang sama di antara satu sama lain. Sebagai contoh dalam konteks Malaysia, perbezaan (contohnya kaum) mewujudkan suatu paradigma yang unik dan membezakan kita daripada negara lain. Namun, takrifan perbezaan kaum dalam negara Malaysia adalah positif kerana kita mampu hidup dengan aman dan harmoni, bermula daripada kemerdekaan, sehingga kini.
Dalam konteks UTM, perbezaan bidang kepakaran pensyarah adalah perkara biasa, bahkan amat dititikberatkan untuk memastikan UTM terus berdaya saing dan memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Namun, terdapat cabaran yang dihadapi, iaitu untuk memastikan setiap pensyarah mempunyai matlamat dan halatuju yang selari dengan UTM.
Sementelah itu, dalam kursus ini, kami diperkenalkan dengan konsep DNA UTM. Sebuah konsep yang begitu besar pengertiannya bagi sesebuah organisasi yang kompleks seperti UTM. Ia adalah berkenaan bagaimana setiap ahli akademik atau pensyarah akan dilengkapi dengan pemikiran yang sama, matlamat/ hala tuju organisasi yang sama, budaya yang sama dan semangat atau roh yang sama. Konsep DNA ini amat menarik dan memberikan kesan yang mendalam terhadap penulis sendiri. Hal ini kerana, cabaran untuk membawa sesebuah organisasi ke matlamat yang sama adalah sukar. Tambahan pula, organisasi UTM adalah besar dan mempunyai struktur governance yang unik. Dengan konsep DNA UTM ini, setiap staf, terutama pensyarah akan memastikan bahawa mereka perlu memahami dan mendalami tentang falsafah, tujuan, dan peranan UTM dalam konteks Akademia Baharu.
Namun demikian, bagaimanakah pensyarah dapat memastikan mereka mempunyai DNA UTM? Ianya dapat dilakukan dengan pembudayaan DNA UTM itu sendiri, melalui cara perbuatan, percakapan, disiplin yang melambangkan kita daripada UTM dan membawa imej UTM. Untuk membawa semua ini, empat teras utama UTM perlu didalami dengan sepenuhnya iaitu Synergy, Excellence, Integrity dan Sustainability.
Selain itu, setiap pensyarah perlu melengkapkan diri dan jiwa mereka dengan lebih holistik dan menyeluruh. Kini, cabaran utama UTM adalah untuk memastikan setiap pensyarah memenuhi kriteria Key Performance Indicator (KPI) – suatu tanda aras/ pengukur untuk pencapaian seorang pensyarah dan dalam masa yang sama, pensyarah perlu mempunyai kualiti jiwa yang ikhlas (terhadap matlamat perkhidmatan untuk pengajaran) dalam diri mereka. Hal ini adalah mencabar dari beberapa sudut contohnya, sekiranya KPI pensyarah tersebut telah dicapai, adakah perlu bagi pensyarah tersebut untuk melakukan lebih dari itu?
Persoalan di atas boleh dijawab sekiranya pensyarah tersebut mempunyai soul of academia yang betul, iaitu melalui jiwa dan roh yang bertepatan dengan berpaksikan agama. KPI adalah pengukuran untuk kualiti, namun ia bukanlah terhenti di situ. Sekiranya konsep sebenar soul of academia ini difahami, seorang pensyarah akan melakukan lebih daripada sekadar KPI dan memastikan setiap kerja yang dilakukan penuh keikhlasan dan integriti. Ini adalah kerana ia melibatkan amalan kebaikan untuk kehidupan masa kini dan kehidupan selepas kematian. Bagi umat Islam, ganjaran pahala dan keredhaan daripada Allah SWT adalah lebih daripada segala-galanya.
Secara umumnya, halatuju seseorang pensyarah adalah perlu jelas dan perlu diadaptasikan dengan cara yang betul, bukanlah sekadar memenuhi KPI, bahkan ianya adalah lebih daripada itu. Selain itu, para pensyarah juga perlu melengkapi diri mereka dengan pelbagai kebolehan atau skil secara menyeluruh (holistic). Sekiranya pensyarah mempunyai kelebihan-kelebihan ini, mereka akan lebih bersedia dengan pelbagai perubahan yang baharu dan penolakan (resistance) akan dapat diminimumkan.
UTM Key Amal Indicators
Keseluruhannya di dalam kursus ini, para peserta mendapat pendedahan yang amat menyeluruh mengenai Soul of Academia, DNA UTM dan perkara-perkara penting yang perlu dimiliki serta diamalkan oleh para pensyarah. Ianya adalah seperti mana yang digambarkan di dalam rajah di atas – Pokok yang rendang memerlukan asas akar yang kukuh dan kuat. Untuk mempunyai soul yang sebenar, kedua-dua elemen tangible (pokok) dan intangible (akar) adalah perlu bagi setiap akademia atau pensyarah. Intangible, merupakan sesuatu yang tidak boleh diukur secara lahiriah, tetapi lebih kepada hubungan antara individu dan Penciptanya – serta memerlukan keikhlasan murni bagi setiap individu tersebut bagi mencapainya.
Sesungguhnya, ceramah yang disampaikan oleh Prof. Dr. Rose Alinda Alias adalah amat terkesan pada hati kami dan berjaya meninggalkan sesuatu, iaitu – keikhlasan dalam perkhidmatan itu yang akan membentuk jati diri, jiwa, semangat serta DNA kami di UTM. Tanpa perkongsian ini, kami akan masih tertanya-tanya apakah makna sebenar kami di sini – adakah hanya untuk berkhidmat atau untuk mencapai KPI? Sekali lagi, kami amat berterima kasih kepada Prof. Dr. Rose Alinda Alias di atas ceramah beliau. Kami kini mempunyai satu matlamat yang nyata dan jelas, kesediaan untuk asimilasi dan membudayakan DNA UTM, serta berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik – Ini kami lakukan bukanlah kerana ganjaran, tetapi kerana kami sayangkan UTM serta ingin melakukan yang terbaik untuk UTM!
(Dr. Mohd Khairuddin bin Ramliy, Peserta BC4DCP Siri 1, 2019.)