Adab dan etika seorang pensyarah dalam proses pengajaran merupakan tunjang kepada kepercayaan pelajar kepada pendidik. Disebabkan pendidik adalah contoh kepada para pelajar, nilai adab dan etika yang baik yang ditunjukkan oleh para pensyarah akan menjadi panduan pelajar dalam tindak-tanduk mereka di masa hadapan. Sewajarnya prestasi pelajaran bagi pelajar yang pensyarahnya menghayati adab dan etika cemerlang, akan meningkat. Sebagai contoh, pensyarah yang menghormati masa dalam memulangkan jawapan pereperiksaan yang telah bertanda, tepat pada waktunya, akan memberi ruang ulangkaji dan peningkatan prestasi pelajaran yang berkesan berdasarkan kesilapan dalam peperiksaan.  Penitikberatan pensyarah terhadap adab dan etika juga membantu ke arah kecemerlangan sahsiah pelajar. Misalnya, pensyarah yang berusaha menepati masa kuliah akan mendidik para pelajar akan pentingnya menepati masa dalam kehidupan. Sebaliknya adab dan etika yang buruk yang ditunjukkan oleh pensyarah akan meruntuhkan keredibiliti seorang pensyarah di mata pelajar. Bahkan, akhlak kurang baik ini dikhuatiri akan menjadi ikutan dan amalan apabila pelajar menjadi generasi pemimpin mahupun pemacu industri. Bak kata pepatah, guru kencing berdiri, murid kencing berlari

Namun, terdapat beberapa cabaran adab dan etika yang perlu ditangani oleh pensyarah. Pertamanya berkaitan komitmen pengajaran yang terjejas disebabkan tugasan-tugasan sampingan yang lain. Impaknya adalah berlakunya keculasan dalam membangunkan prestasi akademik pelajar. Ujian dan tugasan (assignment) yang sepatutnya menjadi kayu ukur untuk mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan khusus dalam kursus yang diajar telah menjadi rutin yang dipenuhi sekadar untuk melengkapkan penilaian sepanjang semester. Akhirnya, pelajar tidak mendapat maklumbalas kelemahan pada satu-satu topik dan hanya akur dengan markah yang diterima setelah penandaan kertas ujian dibuat tatkala semester hampir tamat. Solusinya adalah meletakkan prioriti penandaan sejurus selepas ujian berakhir dan menganalisa prestasi setelah itu.

Keduanya, adalah cabaran berkaitan pengajaran dan penyeliaan dalam konteks keterbukaan dan kesediaan membantu pelajar. Sekali lagi, disebabkan keutamaan membangunkan pelajar terkesamping disebabkan kekangan tugasan sampingan, bakti dan bantuan kepada pelajar tidak dapat disempurnakan sebaiknya. Seharusnya pensyarah memperuntukkan satu waktu khusus di luar kelas untuk membantu pelajar dan menangani sebarang masalah dalam berbangkit (lemah kehadiran, tidak menghantar tugasan, dsb) sewaktu kuliah. Misalnya, peruntukan waktu untuk tutorial atau ulangkaji bersama pensayarah sebelum ujian atau peruntukan waktu bagi pelajar mendapatkan bantuan menyelesaikan tugasan di pejabat pensyarah.

Sebenarnya, jika kita menghayati konsep tuntutan hak manusia di hari pengadilan, setiap daripada kita akan menyempurnakan tuntutan setiap manusia di dalam ruang lingkup kehidupan kita. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, tuntutan seorang pensyarah terhadap pelajarnya adalah kesungguhan pelajarnya dalam menuntut ilmu di kelas yang boleh diukur daripada jumlah jam belajar (student learning time SLT). Sebaliknya, tuntutan seorang pelajar terhadap gurunya pula adalah husnuttadbir (kebijaksanaan mengurus) dalam mengatur dan membuat penilaian berterusan dalam memastikan prestasi pelajar dibangunkan secara menyeluruh dari segi akademik mahupun sahsiah/kerohanian. Hal ini tidak akan tercapai dengan sempurna tanpa adab dan etika yang baik daripada pengajar itu sendiri. Wallahualam