Kepentingan adab dan etika bagi profesion sebagai pensyarah universiti mempengaruhi ekosistem akademik, dan cabaran adab dan etika yang dihadapi oleh pensyarah universiti.
Adab dan Etika sebagai Pensyarah Universiti
Seorang pensyarah universiti perlu mempunyai adab dan etika yang tinggi kerana setiap perilaku mereka akan mempengaruhi perihal akademik bukan sahaja dari segi kepercayaan dan prestasi pelajar, tetapi juga kredibiliti pensyarah tersebut.
Kelakuan yang beretika seperti adil, amanah dan berintegriti meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi akademik, khususnya daripada pelajar. Apabila pensyarah berjaya mendapatkan kepercayaan daripada pelajar, sesi pengajaran dan pembelajaran akan berlaku dengan lebih mudah apabila pelajar akan lebih terdorong untuk mendapatkan nasihat dan melibatkan diri secara aktif di dalam kuliah. Kepercayaan membentuk suasana pengajaran yang selamat dan kondusif di mana pelajar akan berasa lebih dihargai dan dihormati.
Perilaku pensyarah yang beradab dan beretika akan memberikan kesan secara langsung terhadap prestasi pelajar, di mana pelajar akan terdorong untuk menjadikan pensyarah sebagai teladan dan menerapkan kelakuan yang baik dalam kehidupan mereka seharian. Teladan yang positif daripada pensyarah boleh meningkatkan disiplin dan pengurusan masa pelajar seterusnya meningkatkan prestasi pelajar dari segi akademik.
Kredibiliti merupakan komponen utama pembentukan identiti seorang pensyarah, dan ia berkait rapat dengan adab dan etika. Kredibiliti seorang pensyarah hanya boleh dibentuk selepas suatu tempoh masa melalui tindakan konsisten yang mencerminkan integriti, kecekapan dan rasa hormat terhadap orang lain. Selain itu, kerjaya seorang pensyarah juga akan lebih terjamin kerana pensyarah yang tidak berkredibiliti sering dikaitkan dengan kelakuan tidak beretika dan tidak beradab yang boleh merosakkan reputasi pensyarah tersebut.
Cabaran Adab dan Etika terhadap Pensyarah
Pensyarah universiti sering menghadapi cabaran berkaitan dengan adab dan etika yang boleh memberi kesan terhadap kerjaya dan interaksi antara pelajar. Antara cabaran yang dihadapi oleh pensyarah adalah apabila mereka perlu bersikap adil dalam penilaian bukan sahaja mengikut skema pemarkahan tetapi juga dengan menunjukkan belas kasihan kepada pelajar yang menghadapi masalah peribadi atau akademik. Walaupun keadilan adalah penting untuk mengekalkan standard akademik, ia boleh menjadi mencabar untuk menangani keperluan pelajar individu tanpa kelihatan berat sebelah. Seperti pepatah daripada Albert Einstein, seorang saintis yang terkemuka, “Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid”.
Oleh itu, pensyarah perlu mewujudkan dasar pemarkahan yang jelas dan konsisten yang perlu dimaklumkan kepada pelajar daripada permulaan kursus untuk memastikan penilaian yang adil. Apabila pengecualian diperlukan, seperti dalam kes pelajar yang memerlukan bantuan kesihatan atau kecemasan keluarga, pensyarah perlu mengendalikannya dengan telus dan perlu mempunyai rekod dan dokumentasi yang jelas untuk mengelakkan daripada dituduh tidak bertanggungjawab dan penyelewengan. Selain itu, pensyarah boleh menawarkan waktu pejabat yang lebih fleksibel dan sokongan tambahan agar setiap pelajar dapat dibantu mengikut situasi masing-masing.