Jabatan Bendahari Prihatin: Sumbang Bantuan Untuk Misi UTM Turun Kelantan Sokong SDG2

UTM Johor Bahru, 3 Dis – Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Bendahari (KSSJB) dengan kerjasama Jawatankuasa Green Office Universiti Jabatan Bendahari telah melaksanakan inisiatif murni bagi membantu mangsa banjir di Kelantan. Aktiviti ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2: Sifar Kelaparan) dengan menyediakan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terjejas teruk.

Kutipan derma telah dilakukan dengan pantas di kalangan staf Jabatan Bendahari dan hanya dalam tempoh 2 jam, sejumlah RM1,100 berjaya dikumpulkan. Dana ini digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan seperti:

  • 10 kampit beras
  • 11 beg kopi
  • 10 beg teh
  • 20 bag gula
  • 10 helai selimut
  • 20 helai tuala

Semua barangan ini telah diserahkan kepada wakil Pusat Islam, selaku ketua misi bantuan banjir, pada hari yang sama jam 4 petang. Inisiatif ini bertujuan memastikan mangsa banjir menerima bekalan makanan dan keperluan asas dengan segera, seterusnya mengurangkan beban yang dihadapi mereka.

Aktiviti ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan warga UTM terhadap masyarakat terjejas, malah mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong usaha global untuk menghapuskan kelaparan dan memastikan kesejahteraan komuniti. Semoga langkah ini menjadi inspirasi kepada organisasi lain untuk terus menyokong matlamat pembangunan lestari serta membantu mereka yang memerlukan.

#sdg2 #greenoffice #jabatanbendahariprihatin