Sebagai seorang pensyarah, adab dan etika mencerminkan sikap, tingkah laku, dan nilai yang dipegang oleh seorang pendidik. Adab dan etika merupakan aspek-aspek yang penting terutama dalam profesion sebagai pensyarah universiti. Hal ini kerana ianya boleh mempengaruhi ekosistem akademik terutama dari aspek kepercayaan dan prestasi pelajar serta kredibiliti pensyarah.
Kepercayaan Pelajar
Adab dan etika yang baik membantu membina kepercayaan antara pensyarah dan pelajar. Dengan berkelakuan adil, hormat, dan bertanggungjawab, pelajar akan menjadi lebih yakin untuk berinteraksi dan berkongsi pandangan. Seorang pensyarah yang bersikap terbuka, boleh menerima pandangan atau pendapat yang berlainan dari pelajar, telus dalam pemberian maklum balas dan penilaian, akan menggalakkan suasana yang positif dan kondusif untuk pembelajaran.
Prestasi Pelajar
Ibarat peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Pensyarah yang mempunyai etika yang profesional akan menjadi model kepada pelajar. Pensyarah yang mempunyai etika yang baik seperti menepati masa, bersungguh dalam mengajar, dan komitmen dalam penyediaan bahan pengajaran akan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mengikut contoh yang sama. Hasilnya, ini akan memberi kesan positif kepada motivasi pelajar untuk belajar dan mempertingkatkan prestasi akademik mereka.
Kredibiliti Pensyarah
Pensyarah yang mengamalkan etika profesional juga akan membina kredibiliti beliau dalam kalangan rakan sekerja, pelajar, dan institusi. Hal ini penting dalam memastikan pensyarah dilihat sebagai individu yang mempunyai integriti untuk menyampaikan ilmu dengan jujur dan bertanggungjawab. Disamping itu, kredibiliti yang tinggi juga akan menjadikan mereka lebih dihormati dalam bidang akademik sisamping memudahkan mereka untuk menyumbang kepada penyelidikan dan perkembangan ilmu.
Cabaran Adab & Etika
Antara cabaran yang mungkin dihadapi oleh pensyarah adalah berkenaan ketidakadilan dalam penilaian pelajar. Pensyarah mungkin akan menjadi berat sebelah dalam menilai prestasi pelajar, sama ada secara sedar atau tak sedar. Antara faktor yang menyebabkan isu ini adalah faktor peribadi, hubungan dengan pelajar, ataupun daripada kesilapan manusia itu sendiri yang mungkin tidak konsisten.
Isu ini dapat diatasi atau paling tidak dikurangkan dengan menggunakan rubrik penilaian yang jelas dan telus. Dengan cara ini, setiap tugasan atau peperiksaan akan mempunyai kriteria penilaian yang jelas untuk memastikan semua pelajar dinilai berdasarkan standard yang sama.
Selain itu, cabaran lain yang mungkin dihadapi adalah dari segi pengurusan waktu dan beban kerja. Bagi sesetengah penyarah, mungkin agak sukar untuk mengimbangi antara tanggungjawab mengajar, penyelidikan, dan tugasan pentadbiran. Isu ini boleh menyebabkan tekanan dan mungkin menjejaskan kualiti pengajaran dan hubungan dengan pelajar.
Utuk mengatasi isu ini, pensyarah perlu mengamalkan pengurusan masa yang berkesan supaya keseimbangan antara pengajaran, penyelidikan, dan tugas pentadbiran dapat dikekalkan tanpa mengorbankan kualiti kerja. Tambahan juga, pensyarah boleh berbincang dengan pengurusan universiti tentang beban kerja mereka, terutama untuk tugas-tugas yang boleh diserahkan kepada kakitangan sokongan.