Jangan buang dapat wang; jom kitar semula

PROGRAM UTMKL KAMPUS LESTARI

Projek: Eh! Jangan Buang Dapat Wang; Jom Kitar Semula

Pengenalan

Program UTMKL kampus Lestari melaksanakan satu projek iaitu ‘Eh! Jangan Buang Dapat Wang; Jom Kitar Semula’, ini memberikan tumpuan untuk mengubah tabiat staf kepada kualiti kehidupan dan alam sekitar yang lestari. Ini merujuk kepada peranan yang akan dimainkan oleh staf dalam memastikan kesejahteraan hidup melalui tabiat lestari.

Persoalannya

Bagaimana tabiat lestari dapat mengurangkan sisa pepejal yang semakin meningkat?

Jawapannya adalah amalan hidup yang lestari melalui perubahan gaya hidup menggunakan pendekatan 3R dan amalan 5S.

Pejabat kita merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan aktiviti lestari. Amalan Lestari di pejabat adalah sangat penting dan paling mudah dipraktiskan. Terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk memastikan program lestari dilaksanakan serta menjadi sebahagian daripada aktiviti harian.

Amalan 3R

Reduce iaitu kurangkan barangan yang tidak boleh dikitar semula dengan meneliti bungkusan produk, sama ada ia boleh diguna semula seperti bekas kosong, botol dan bahan yang berasaskan kertas dapat mengurangkan penghasilan sisa pepejal. Pembelian produk-produk berasaskan botol kaca, dibungkus dengan bahan berasaskan kertas, pembungkusan berasaskan logam dan bateri boleh cas semula membantu kita menggunakan semula bahan-bahan ini sebelum dihantar ke tempat kitar semula. Staf juga boleh membawa beg sendiri apabila membeli belah. Cara ini dapat mengurangkan pembuangan beg plastik dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah alam sekitar.

Reuse iaitu pengunaan semula bahan-bahan pembungkusan yang dibeli adalah penting untuk mengurangkan penghasilan sisa. Pengunaan semula bekas-bekas yang telah digunakan untuk menyimpan barangan yang sama (beli paket isi semula) atau barangan rumah yang lain; pakaian lama diguna semula sebagai kain perca, alas kaki, dan alas kusyen. Menggunakan kedua-dua belah muka surat kertas cetak dan kotak-kotak terpakai untuk tujuan menyimpan juga boleh dikatakan sebagai guna semula. Menggunkan barangan elektrik, pakaian, buku, perabot, dan barangan lain yang sukar untuk dibuang tidak boleh disimpan untuk jangkamasa panjang. Jika barangan ini masih dalam keadaan yang baik, ia boleh didermakan kepada pusat komuniti dan sekolah. Sekiranya barangan tersebut tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dibuang dengan menghantarnya ke pusat kutipan kitar semula.

  1. Gunakan semula barang-barang lama, contohnya:-
    1. Guna semula kalendar dan gambar-gambar lama untuk membuat sampul surat
    2. Tayar lama boleh digunakan sebagai tempat untuk menanam tumbuhan (pastikan air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes)
  2. Gunakan semula kotak atau riben dan pembalut hadiah yang masih dalam keadaan baik untuk membalut buku atau hadiah.
  3. Gunakan bekas ais krim untuk menyimpan bahan-bahan makanan di dalam peti ais, menyimpan biskut atau tepung. Bekas ais krim juga boleh digunakan untuk menyimpan krayon dan barang-barang mainan.
  4. Botol plastik dan tin boleh diubah suai menjadi tempat meletak pensil atau untuk aktiviti kraftangan
  5. Perabot dan pakaian lama boleh disumbangkan kepada badan kebajikan yang memerlukannya.
  6. Buku dan majalah lama boleh disumbangkan kepada sekolah, perpustakaan atau di hantar ke pusat kitar semula.

Recycle iaitu kitar semula sememangnya memberikan impak kepada alam sekitar dan  ia lebih mesra alam berbanding dengan penggunaan bahan mentah secara terus. Ia boleh menjadi sumber bahan mentah untuk industri yang lain. “Sisa satu industri merupakan sumber industri lain” dimana sisa-sisa digunakan semula untuk dijadikan sumber bahan mentah. Proses yang saling bergantungan ini dapat memberikan manfaat kepada industri dalam pemeliharaan alam sekitar.

Amalan kitar semula adalah memproses semula bahan-bahan yang telah digunakan kepada bahan-bahan yang baru. Kitar semula boleh mengurangkan kos pengeluaran (tenaga dan bahan-bahan asli) dan mengurangkan kuantiti bahan-bahan yang dibazirkan daripada pembuangan.

Projek ‘Eh! Jangan Buang Dapat Wang; Jom kitar semula’ akan menjadi sebahagian daripada aktiviti kitar semula harian kita dengan mengwujudkan atau kenalpasti pusat kutipan kitar semula dan tatacara kutipan dilakukan.

Amalan 5S

Jadikan aktiviti kitar semula sebagai aktiviti pejabat dengan melaksanakan langkah-langkah 5S berikut

  1. Sisih dan asingkan bahan-bahan yang hendak dibuang mengikut kategori yang telah ditetapkan.
  2. Susun dengan meletakkan bekas yang berbeza untuk mengasingkan bahan-bahan yang hendak dibuang di tempat-tempat yang strategik seperti di dapur atau belakang rumah
  3. Sapu dengan pastikan bahan-bahan yang hendak dibuang dibersihkan terlebih dahulu.
  4. Seragamkan dengan melabelkan tong-tong atau bakul-bakul kitar semula mengikut kategori bahan yang hendak dibuang (contohi: tong coklat untuk kaca, tong oren untuk aluminum dan plastik dan tong biru untuk kertas).
  5. Yang penting adalah Sentiasa Amal dengan hantar, timbang dan tebus wang ke Pusat Kutipan Kitar Semula.

Rumusan

Wujudkan sesi latihan untuk setiap ahli staf dan tentukan siapa yang bertanggungjawab untuk kerja-kerja kitar semula. Terdapat banyak kaedah inovatif yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pembuangan sampah atau menjadikan kitar semula sebagai salah satu amalan hidup yang lestari.

Info lanjut boleh hubungi melalui email: abdmuttalib.kl@utm.my

Sumber rujukan: Buletin Pengguna Mei 2008, terbitan KPDNHEP