Adab dan Etika Seorang Pensyarah

Adab dan etika merupakan dua elemen penting dalam profesion pensyarah universiti. Hal ini kerana kedua-dua elemen ini memberi cerminan tentang keperibadian dan profesionalisme seorang pensyarah universiti. Menurut Kamus Dewan Bahasa & Pustaka, adab ditakrifkan sebagai tingkah laku dan tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus dan kesopanan. Manakala, etika pula merujuk kepada prinsip-prinsip moral yang perlu dipatuhi. Dalam konteks ekosistem akademik, adab sebagai seorang pensyarah membawa makna sikap sopan santun dan tanggungjawab dalam berinteraksi dengan pelajar dan rakan sekerja. Etika sebagai seorang pensyarah pula melibatkan prinsip moral dan professional yang mengawal tingkah laku pensyarah dalam menjalankan tugasnya.

Adab dan etika memainkan peranan yang penting dalam profesion sebagai pensyarah universiti kerana ia membentuk asas kepada profesionalisme dan integriti dalam ekosistem akademik. Melalui adab, suasana pembelajaran yang kondusif dan harmoni dapat diwujudkan kerana adanya sikap sopan santun, hormat-menghormati dan tanggungjawab terhadap pelajar dan rakan sekerja. Sebagai seorang pensyarah, etika memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan pensyarah menjalankan tugas dengan penuh integriti, jujur dan adil. Sebagai contoh, dalam penilaian akademik dan penyampaian ilmu kepada pelajar. Melalui etika yang baik, ia dapat menjaga kebebasan akademik sambil memastikan tindakan pensyarah adalah sejajar dengan prinsip moral dan professional. Pensyarah yang beretika memberi contoh yang baik kepada pelajar dan mengukuhkan kepercayaan pelajar terharap bimbingan akademik yang diberikan.

Adab dan etika membawa pengaruh yang besar dalam ekosistem akademik terutama sekali dari aspek kepercayaan, prestasi pelajar dan kredibiliti pensyarah tersebut. Apabila seorang pensyarah mempunyai nilai integriti yang tinggi, menghormati pelajar dan berlaku adil dalam penilaian akademik, secara tidak langsung pelajar akan berasa dihargai dan bermotivasi untuk membuat yang terbaik dalam pelajaran mereka. Selain itu, prestasi pelajar juga dipengaruhi oleh interaksi mereka bersama dengan pensyarah. Pensyarah yang mempunyai nilai empati, sabar dan beretika dapat mendorong pelajar untuk mencapai potensi akademik yang lebih baik dan secara tidak langsung memberi semangat kepada pelajar yang mengalami kesukaran dalam pembelajaran. Apabila pelajar mendapat sokongan moral yang kuat dalam akademik mereka, secara tidak langsung prestasi mereka akan lebih cemerlang.

Dari sudut kredibiliti, seorang pensyarah yang mengekalkan adab dan etika dalam profesionnya akan dilihat sebagai individu yang berwibawa, boleh dipercayai dan juga dihormati oleh orang sekelilingnya. Hal ini bukan sahaja memberi impak kepada reputasi peribadi pensyarah tetapi dapat mengukuhkan budaya akademik yang positif dalam universiti.

Cabaran Adab dan Etika oleh Pensyarah dan Langkah-Langkah Untuk Mengatasinya

Terdapat beberapa cabaran dalam adab dan etika yang dihadapi oleh pensyarah universiti. Antaranya ialah cabaran dalam urusan integriti akademik, pengajaran dan penyeliaan dan hubungan professional. Huraian untuk setiap cabaran ini akan diikuti dengan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Cabaran 1: Integriti Akademik

Integriti akademik adalah aspek yang penting dalam profesion pensyarah. Namun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh seorang pensyarah iaitu plagiarism dan penggunaan sumber tanpa pengiktirafan. Pensyarah mungkin menghadapi dilemma apabila pelajar mereka terlibat dalam plagiarism sama ada secara sedar atau tidak. Plagiarisme bukan sahaja mencabuli hak cipta tetapi merosakkan integriti akademik. Pensyarah perlu menangani isu ini dengan tegas. Selain itu, tekanan untuk menerbitkan hasil penyelidikan yang berimpak tinggi mendorong seorang pensyarah untuk memanipulasi data dan hasil penyelidikan. Tindakan ini mendatangkan kemudaratan kepada reputasi pensyarah tersebut dan pihak universiti.

Langkah Pencegahan:

Bagi mengatasi permasalahan plagiarisme, pensyarah perlu menerapkan dasar yang jelas mengenai plagiarisme dalam kursus dan kesan yang bakal dihadapi oleh pelajar sekiranya mereka mencabuli hak cipta tanpa kebenaran. Pensyarah juga perlu mematuhi prosedur penyelidikan yang telus dan beretika termasuk pengesahan data dan metodologi yang digunakan. Untuk mencapai penyelidikan yang berintegriti, kumpulan penyelidik boleh saling menyemak hasil kerja ahli kumpulan dan memastikan ia mematuhi kod etika yang ditetapkan oleh institusi.

Cabaran 2: Pengajaran dan Penyeliaan

Antara masalah yang wujud dalam adalah ketidakadilan pensyarah dalam membuat penilaian untuk pelajar. Pensyarah mempunyai sifat berat sebelah yang mana mereka memberi markah yang tinggi kepada pelajar tertentu atas dasar ‘favoritism’. Hal ini boleh merosakkan integriti dan konsep keadilan dalam proses pengajaran.

Langkah Pencegahan:

Bagi mengatasi masalah ini, garis panduan penilaian yang jelas perlu disediakan. Sebagai contoh, menggunakan rubrik penilaian yang terperinci dan berkongsi kriteria penilaian dengan pelajar sebelum proses penilaian dilakukan. Ini dapat memberi pencerahan kepada semua pelajar. Selain itu, pensyarah juga boleh mewujudkan sistem di mana rakan sejawat diminta untuk menyemak dan memberi maklum balas mengenai penilaian yang dibuat. Ini dapat membantu mengekalkan objektif penilaian dan keadialan dalam menilai.

Cabaran 3: Hubungan Professional

Sebagai pensyarah, menjaga adab dan etika dalam hubungan professional adalah penting untuk membina persekitaran akademik yang sihat dan kondusif. Namun, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pensyarah dalam mengekalkan sempadan profesional yang sesuai seperti hubungan antara pelajar dan pensyarah. Hubungan yang terlalu akrab atau tidak formal antara pelajar dan pensyarah boleh menjejaskan fokus pensyarah dalam membuat penilaian kerana akan timbul isu berat sebelah atau konflik kepentingan. Pensyarah juga kadangkala menghadapi cabaran dalam menjaga hubungan yang harmoni dengan rakan sejawat kerana persaingan untuk kenaikan pangkat, pengiktirafan atau peluang penyelidikan. Ini boleh menjejaskan kerja berpasukan dan kolaborasi dalam bidang akademik.

Langkah pencegahan:

Pensyarah perlu mengekalkan komunikasi yang formal dan profesional dalam setiap urusan dengan pelajar termasuk penggunaan bahasa yang sesuai dalam emel, perbualan, media sosial dan mengehadkan perjumpaan luar waktu akademik yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan penyelidikan. Pihak universiti juga perlu menetapkan garis panduan yang jelas mengenai hubungan antara pensyarah dan pelajar untuk memastikan pensyarah cakna tentang batas profesionalisme yang perlu dijaga. Untuk mengelakkan persaingan yang tidak sihat, pensyarah digalakkan untuk membangunkan budaya bekerjsama dan menyokong antara satu dengan yang lain. Pihak pengurusan universiti perlu memastikan bahawa semua polisi institusi diikuti terutama dalam hal penilaian dan keputusan akademik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *