WANITA dan makanan sememangnya berpisah tiada, pantang dengar ada menu atau tempat makan baharu, pasti mahu mencubanya.
Gaya hidup wanita di negara ini juga unik, jika berada dalam tekanan atau mood kurang gembira contohnya, makan antara terapinya.
Selain itu, jika meraikan sesuatu pun pasti disertakan dengan jamuan atau makan-makan bersama yang tersayang.
Tidak hairanlah jika†Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Mobirditi 2019 yang dikeluarkan Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati empat daripada 10 orang atau kira-kira lapan juta orang dewasa di negara ini mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.
Malah apa yang mengejutkan, 45 peratus wanita mempunyai tahap kolesterol yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu sebanyak 32 peratus.
Lebih mencuri perhatian, seorang daripada empat (daripada mereka) tidak sedar mempunyai kadar kolesterol yang tinggi.
Doktor Kesihatan Pekerjaan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Nurul ‘Afiah Mohd Isa berkata, apa yang membimbangkan ialah†golongan yang berumur antara 40 hingga 59 tahun paling ramai tidak mengetahui mereka mempunyai tahap kolesterol tinggi.
Kata Dr Nurul ‘Afiah, kolesterol adalah sejenis lemak yang mempunyai fungsi tertentu dalam tubuh manusia dan datang daripada dua sumber iaitu penghasilan dari tubuh serta dari sumber luar iaitu bahan makanan.
Menurutnya, kolesterol berfungsi untuk menghasilkan sesetengah hormon yang diperlukan manusia termasuk hormon seks, dinding sel untuk tisu dalam badan manusia, vitamin D dan cecair hempedu yang diperlukan untuk proses pencernaan.
“Secara amnya kolesterol terbahagi kepada dua jenis iaitu LDL (low-density lipoprotein) dan HDL (high density lipoprotein).
“Bahan lipoprotein ini adalah penting untuk membolehkan kolesterol diserap dalam darah.
“LDL juga dikenali sebagai ‘kolesterol jahat’ kerana jumlah yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan pembentukan plak-plak lemak tebal di dinding salur darah dan seterusnya mengakibatkan sumbatan pada aliran darah” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut Dr Nurul ‘Afiah berkata, HDL juga dikenali sebagai ‘kolesterol baik’ kerana ia berfungsi untuk mengangkut semua lebihan kolesterol dari bahagian badan yang lain ke organ hati sebelum dinyah dari badan.
Kata beliau, kadar normal kolesterol adalah; LDL ? 2.6mmol/l HDL Lelaki > 1.0mmol/l Wanita > 1.2mmol/l
Katanya, tahap kolesterol tidak bergantung secara eksklusif pada faktor usia sebaliknya bergantung kepada keturunan, faktor berat badan, gaya pemakanan dan kadar aktiviti fizikal.
“Bacaan kolesterol sama ada normal atau tidak, boleh diketahui melalui ujian darah.
“Bila dan berapa kerap ujian darah yang perlu dibuat adalah bergantung kepada faktor umur, penyakit yang dihidapi dan juga faktor keluarga (genetik).
Bagi individu berumur 30 tahun yang tidak mempunyai masalah kesihatan lain adalah digalakkan untuk mula melakukan saringan kesihatan termasuk kadar kolesterol dalam darah,” katanya.
Dalam pada itu, bagi individu yang berisiko (contohnya mengalami masalah obesiti,
darah tinggi atau faktor keluarga yang berisiko untuk masalah kardiovaskular), adalah digalakkan untuk menjalani saringan kesihatan seawal 18 tahun.
Ini kerana kadar kolesterol yang tidak normal boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok kerana pemendapan plak lemak yang tebal di dinding salur darah.
“Kesan†itu tidak tertakluk kepada semua tanpa mengira jantina,” katanya.
Dr Nurul ‘Afiah berkata, rawatan untuk kolesterol yang tidak normal dibahagikan kepada dua jenis iaitu konservatif (tanpa ubat) dan Farmakologi (dengan ubat).
Jelas beliau, untuk rawatan tanpa ubat, individu yang terbabit akan diberi nasihat untuk mengubah gaya hidup secara sihat dan berperingkat.
Katanya, konsep rawatan itu sesuai untuk individu yang mempunyai kadar kolesterol LDL yang tidak begitu tinggi,†tidak mempunyai latar belakang penyakit sampingan dan mampu untuk komited dalam menjalani perubahan gaya hidup lebih sihat.
“Konsep rawatan ini bertujuan untuk individu terbabit mengamalkan pemakanan yang sihat, mengawal berat badan supaya kekal dalam indeks badan massa (BMI) yang normal, melakukan aktiviti fizikal kardio secara berterusan dan berhenti menghisap rokok.
“Individu yang dikenal pasti akan dirujuk kepada pakar dietetik untuk nasihat pemakanan yang sesuai dengan keperluan badan mereka,” katanya.
Selain itu, kaedah farmakologi pula adalah untuk golongan individu yang mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit komplikasi kardiovaskular selain dari kolesterol LDL sendiri yang tinggi.
Beliau berkata, individu terbabit akan diberikan ubat pada kadar dos tertentu bergantung pada faktor risiko dan kadar kolesterol mereka.
“Mereka harus mengambil ubat secara konsisten dan melakukan rawatan susulan di klinik untuk doktor melakukan pengawasan dan memberi khidmat nasihat yang bersesuaian.
“Ia termasuk pemeriksaan darah secara berkala dan mengubah dos ubat jika perlu,” katanya yang mengakui mengambil ubat-ubatan moden lebih berkesan untuk menurunkan paras kolestrol dengan lebih cepat berbanding menjaga makan semata-mata.
Tambah Dr Nurul ‘Afiah lagi, individu yang menjalani rawatan ubat-ubatan tetap perlu berusaha mengubah gaya hidup ke arah lebih sihat kerana ubat diberi akan menghalang pembentukan kolesterol dari dalam badan sahaja.
Kolesterol yang datang dari sumber makanan (sumber luar) masih bergantung kepada faktor pemakanan individu terbabit dan tidak dikawal oleh ubat-ubatan.
“Justeru, adalah penting untuk umum mengetahui, selagi tiada perubahan gaya hidup yang sihat terutamanya mengamalkan pemakanan sihat, adalah sukar bagi doktor menurunkan atau memberhentikan dos ubat kerana sebab berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Dr Nurul ‘Afiah berkata, senaman adalah salah satu langkah penting dan digalakkan untuk mencegah komplikasi penyakit kardiovaskular kepada individu yang mempunyai kadar LDL tinggi.
Ini kerana, senaman tidak mempunyai kesan langsung kepada kadar LDL sebaliknya meningkatkan kadar kolesterol baik iaitu HDL.
“HDL diketahui berfungsi untuk mengangkut lebihan lemak pada organ ke hati sebelum dikeluarkan dari badan.
“Jadi, dengan senaman, ia juga berfungsi sebagai impak sinergistik dalam mengurangkan berat badan dan secara tidak langsung mengurangkan kadar risiko untuk komplikasi penyakit kardiovaskular,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, Dr Nurul ‘Afiah berkata, makanan bergoreng dan berminyak perlu dikurangkan selain menurunkan berat badan secara sihat serta konsisten.
Selain itu, aktiviti fizikal kardio juga perlu dilakukan secara konsisten dan jangan ketinggalan melakukan saringan kesihatan secara berkala untuk mengetahui status tahap kesihatan.
“Ada baiknya juga jika dapat melakukan saringan kesihatan seawal yang mungkin bagi mengetahui status tahap kesihatan selain mendapat rawatan dan khidmat runding nasihat yang betul serta bersesuaian.
“Jagalah kesihatan kerana kecantikan bermula dari kesihatan badan,” katanya.
Recent Comments