Selama 10 tahun berada jauh dikampung (Kampung di Kemaman, Terengganu dan sekarang menetap di Johor Bahru) dan juga segala penat lelah mengharungi segala liku dan onak duri demi untuk belajar dan terus belajar dan terus belajar, akhirnya saya telah dianugerahkan oleh Allah berbagai-bagai anugerah. Pertamanya, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia industri)(2004), seterusnya Ijazah Sarjana Sains (Kimia)(2007) dan akhir sekali pada tanggal 26 hb Mac 2011, saya telah dianugerahkan Doktor Falsafah (PhD) (kimia) (2011). Semua anugerah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM dan semuanya disaksikan oleh Ma dan Ayah. Saya anggapkan konvokesyen yang saya hadiri pada sabtu lalu (26 hb Mac 2011) adalah yang terakhir (Tapi kalau ada rezeki sambung lagi tu tak tau la) kerana peringkat PhD adalah peringkat yang tertinggi dalam hireraki pelajaran. Apa yang perlu disyukuri ialah saya dapat menghabiskan semuanya pada usia muda, sebelum memasuki umur 30-an.
Dikesempatan ini dan diblog yang indah ini, saya ingin berkongsi berkenaan dengan rahsia kejayaan saya supaya pembaca sekelian dapat menuruti apa yang baik daripada rahsia kejayaan ini. Sepanjang pengajian saya terutamanya semasa menjalankan master, saya sebenarnya banyak membaca buku motivasi dan kejayaan dalam bahasa Inggeris. Dua objektif utama yang saya dapat dengan membaca buku ini, pertamanya, saya dapat menguatkan penggunaan bahasa Inggeris dan keduanya, saya dapat tingkatkan motivasi untuk menjalankan penyelidikan. Dalam buku motivasi yang saya baca, banyak dihuraikan dan ditekankan apa yang kita perlu buat untuk berjaya dengan contoh-contoh mereka yang telah pun mencapai kejayaan. Buku motivasi ini bukanlah untuk dibaca sahaja, tetapi saya cuba mempraktikkan dari semasa ke semasa. Contohnya, kebanyakan buku ini ada menyebut bahawa kita perlu menguasai minda kita, ajar minda kita supaya ia dapat mengawal kita dan bukannya faktor luaran yang mengawal kita. Untuk mencapai kejayaan, kita perlu berubah untuk menjadi yang lebih baik daripada semalam, akan tetapi musuh utama untuk kita berubah ialah diri sendiri. Jadi, saya cuba dari hari ke hari untuk mengubah diri sendiri dengan mengawal minda sendiri supaya jangan terlalu salahkan persekitaran luar atau emosi. Berkat usaha yang konsisten dalam mengawal minda, saya rasa tercungkil perubahan dari saya sendiri. Dengan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa iaitu dari yang buruk kepada yang baik dan yang baik kepada lebih baik, saya dapat merasai kehidupan saya juga bertambah baik.
Selain itu, buku motivasi dan juga buku kejayaan orang-orang yang telah berjaya yang telah saya baca juga ada menyebutkan berkenaan dengan istilah “perseverance” iaitu
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.
Istilah ini sangat betul dan terbukti berkesan. Selama 10 tahun saya belajar bersungguh-sungguh tanpa memikirkan nak enjoy, tapi akhirnya saya dapat hidup senang pada masa sekarang. Istilah inilah yang digunapakai dan dipraktikkan oleh mereka yang telah pun berjaya. Jadi, kepada sesiapa yang nak berjaya, bersakit-sakitlah dahulu dan kemudiannya kesenangan yang berganda akan datang kelak.
Selain membaca buku motivasi, rahsia kejayaan yang paling utama juga ialah saya berdoa setiap kali solat 5 waktu iaitu
“Ya Allah, berikanlah petunjuk, hidayah, kerahmatan, keberkatan, keredhaan dan kejayaan dalam projek master/PhD yang sedang dijalankan”.
Dengan berkat doa inilah saya dapat merasakan yang kejayaan saya disebabkan keberkatan yang diberikan oleh Allah. Dengan doa ini juga penyelidikan saya juga turut berkembang pada masa sekarang ini.
Itulah serba sedikit rahsia kejayaan saya, banyak lagi yang boleh saya kongsikan tapi tak cukup ruang. Saya akan cuba untuk berkongsi rahsia kejayaan dari semasa ke semasa.
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan kuasa yang ada padanya, saya dapat menghabiskan pelajaran diperingkat tertinggi iaitu Doktor Falsafah. Ucapan jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Ma dan Ayah yang bukan hanya memberikan kebebasan kepada saya untuk melanjutkan pelajaran, malah memberikan sokongan yang padu dan jitu sepanjang pengajian ini. Kejayaan ini hasil daripada berkat doa Ma dan Ayah. Tidak dilupakan kepada abang-abang (AbgYi, AbgMi, AbgDin dan Nazim) dan kakak-kakak (Kakti dan Kakyah) yang juga turut menyokong saya untuk melanjutkan pelajaran dengan memberi kebebasan dan semangat untuk terus saya menghabiskan pengajian. Kepada Isteri, Nor Suriani Bt Sani yang telah banyak memberi dorongan, semangat, tempat berkongsi masalah dan idea, menjaga anak dan keperluan, dan bermacam-macam lagi, terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada isteri tersayang. Tidak dilupakan ucapan jutaan terima kasih kepada Prof Dr Alias Mohd Yusof daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UTM yang telah menjadi penyelia utama saya semenjak daripada Projek Sarjana Muda, Master dan akhir sekali PhD. Terima kasih banyak-banyak diucapkan kepada Prof kerana telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya dalam menjalankan kerja penyelidikan. Prof bukan hanya memberikan kebebasan tetapi juga menyokong penuh apa yang saya buat sepanjang pengajian ini. Terima kasih Prof. Kepada Prof Dr Noor Aini Abdul Rashid selaku penyelia bersama semasa PhD, terima kasih kerana banyak membantu dalam kerja penyelidikan terutamanya membetulkan thesis PhD dalam keadaan baik dan menarik.
Sepanjang pengajian daripada peringkat ijazah pertama, ijazah sarjana dan Doktor Falsafah, ramai individu, kumpulan dan juga organisasi telah banyak membantu saya samaada secara disedari atau tak disedari. Terima kasih semuanya terutamanya pensyarah-pensyarah dan staf pembantu makmal daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UTM yang telah banyak membantu dalam pengajian ijazah pertama dan juga dalam penyelidikan seterusnya. Ucapan terima kasih juga diberikan kepada staf-staf di Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan yang telah membantu saya daripada segi khidmat makmal dan juga khidmat nasihat. Tidak dilupakan kepada ahli-ahli NAMBAR (Nanoporous Materials for Biological Application Research Group) yang juga membantu dalam penyelidikan yang dijalankan. Kepada organisasi lain contohnya Institut Ibnu Sina, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Sustainability Research Alliance, HCD dan lain-lain, terima kasih diucapkan.
Akhir sekali, ribuan terima kasih kepada individu-individu yang telah memberikan sumbangan dalam bentuk fizikal, khidmat nasihat, pengurusan, perkongsian masalah dan lain-lain. Segala sumbangan daripada individu-individu sekelian hanya dapat dibalas oleh Allah. Terima Kasih Semua.