CROSS-CULTURAL KNOWLEDGE ACQUISITION

AND STUDY TOUR  TO NEW ZEALAND (NZ-TOUR ‘11)

TARIKH:14 APRIL 2011 HINGGA 19 APRIL 2011

TEMPAT:CHRISTCHURCH, QUEESNTOWN DAN DUNEDINE, NEW ZEALAND

Perjalanan Program

“Global Outreach Program” yang bertajuk “Cross Cultural Knowledge Acquisition and Study Tour to New Zealand (NZ-Tour 2011)” telah berjaya dilangsungkan dengan jayanya. Saya adalah pegawai pengiring dengan mahasiswa seramai 18 orang yang semuanya terdiri daripada mahasiswa tahun akhir di Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan. Agensi pelancongan yang bertanggungjawab diatas perjalanan ini ialah TM Tours and Travel Sdn Bhd.

Kami bertolak ke LCCT KLIA, KL dengan menaiki bas UTM pada pukul 2.30 petang pada hari rabu (13 April 2011). Pada pukul 1200 tengah malam, kami berlepas ke Christchurch, New Zealand menaiki kapal terbang Air Asia X (D7 2756). Perjalanan ke sana adalah selama 9 jam dan kami sampai disana lebih kurang pukul 2.00 petang (14 April 2011) waktu New Zealand. Pada mulanya. En Mohd Ridzwan Abdullah iaitu ketua rombongan ikut serta dalam rombongon kami ini tetapi apabila samapi disana, beliau ditahan oleh kastam dan dihantar pulang. Masalah sedemikian amat menyusahkan ahli rombongan kerana kerja-kerja ketua rombongan telah diganti oleh pemandu bas yang berasal dari New Zealand. Di Christchurch, kami menginap di Riccarton Village Inn.

Sampai di lapangan terbang di Christchurch, New Zealand

Pada hari kedua (15 April 2011), kami telah mengadakan lawatan ke Lincoln University. Kami telah disambut oleh Puan Jenny Wilson iaitu Pengurus Hubungan Antarabangsa. Beliau telah membawa kami melawat sekitar kampus Lincoln University terutamanya bangunan pentadbiran utama, perpustakaan, gimnasium, bangunan persatuan pelajar dan juga kafetaria. Mahasiswa didedahkan dengan budaya kehidupan pelajar disana. Kami telah dibawa melawat sekitar kampus Lincoln University selama satu jam. Setelah itu, kami terus bertolak ke Queenstown menaiki bas yang disediakan. Sepanjang perjalanan tersebut, pemandu bas memberikan maklumat berhubung perkara yang ada dan pemandangan disepanjang perjalanan seperti ladang-ladang pertanian untuk kuda, kambing biri-biri dan juga lembu-lembu dan juga berkaitan dengan alam semulajadi seperti tasik dan juga gunung-ganang. Banyak pengetahuan yang kami perolehi sepanjang perjalanan tersebut.

Gambar bersama dengan Puan Jenny Wilson di Lincoln Universiy, Christchurch, New Zealand

Perjalanan ke Queenstown mengambil masa selama 5 jam. Di Queenstown, kami menginap di Heartland Hotel. Pada hari berikutnya (16 April 2011), kami telah dibawa untuk menikmati keindahan alam semulajadi di sekitar Queenstown seperti tempat untuk “Bungy Jumping”, kedai di Arrowton dan juga menaiki kereta kabel Gondola untuk ke puncak Bob di Queenstown.

Pemandangan dari atas Mountain Bob, Queenstown

Pada keesokan harinya (17 April 2011), kami telah bertolak ke Dunedin untuk melawat University of Otago. Perjalanan kesana mengambil masa selama 5 jam. Apabila sampai disana, kami telah disambut oleh dua orang tutor daripada FBB yang melanjutkan pengajian diperingkat PhD iaitu Cik Saleha Shahar dan juga Cik Khairunadwa Jemon. Mereka telah memberikan tugasan kepada pelajar-pelajar ini iaitu dengan membeli barangan masakan untuk dimasak untuk makan malam. Mereka telah menempah satu bilik khas dibangunan persatuan pelajar untuk menempatkan kami dan juga untuk aktivti memasak. Pada petang hari tersebut, setelah selesai memasak, kami telah mengadakan sesi dialog tak formal bersama dengan beberapa orang daripada persatuan pelajar Malaysia di University of Otago. Berbagai-bagai perkara yang telah kami bincangkan dan bertukar pendapat. Di Dunedin, kami telah menginap di Scenic Hotel.

Sesi dialog tak formal bersama dengan sebahagian pelajar daripada Persatuan Pelajar Malaysia University of Otago

Pada 18 April 2011, kami telah disambut oleh Puan Victoria McEniery (Koordinator Pemasaran Antarabangsa), Simon Chu (Dekan Akademik Tahun Asas), Murray Whitworth (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Sandra McAndrew (Koordinator Hubungan Antarabangsa) di University of Otago. Kami telah diberi penerangan berkenaan Universiti ini terutamanya berkaitan dengan Jabatan Sains Gunaan (Department of Applied Science) yang baru ditubuhkan dan juga berkaitan dengan pelajar antarabangsa yang belajar di University of Otago. Selesai sesi penerangan oleh pihak University of Otago, kami telah dibawa melawat sekitar kampus terutamanya di bangunan utama pentadbiran, perpustakaan dan juga kafeteria.

Penerangan oleh Victoria McEneiry, Koordinator Pemasaran Antarabangsa University of Otago berkenaan perpustakaan.

Gambar bersama dengan tutor FBB di University of Otago, Dunedin, New Zealand

Selepas itu, kami bertolak ke Christchurch dan perjalanan adalah selama 5 jam. Kami menginap di Hotel yang sama di Christchruch. Pada hari terakhir (19 April 2011), kami telah dibawa ke pusat membeli-belah sebelum dihantar ke lapangan terbang. Kami bertolak pulang pada pukul 3.00 petang dengan menaiki kapal terbang Air Asia X dan perjalanan adalah selama 10 jam. Kami selamat sampai di LCCT KLIA, KL pada pukul 10.00 malam dan seterusnya bertolak pulang ke UTM dengan menaiki bas UTM.

Hasil Lawatan kepada Mahasiswa

Sebagai pegawai pengiring dan juga pensyarah kepada mahasiswa-mahasiswa peserta program GOP ini, saya mendapati kesemua objektif dan matlamat asal program ini telah dicapai. Matlamat dan objektif program ialah:

  • Mewujudkan usahasama antarabangsa antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku institusi teknologi terunggul dengan institusi-institusi teknologi di negara lain dalam bidang pembangunan
  • Menjana mahasiswa yang lebih beridealisma, proaktif, dan kreatif melalui pendedahan kepada pembangunan global dan interaksi sosial
  • Mendokong misi UTM dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran global
  • Meletakkan universiti pada kelas inovasi yang mantap melalui interaksi dengan dunia luar dalam hasratnya mencapai status universiti bertaraf dunia ( world class university )
  • Mewujudkan peluang mahasiswa menghadapi situasi pertembungan budaya (cross-culture)

Bukan hanya matlamat dan objektif ini shaja yang tercapai tetapi juga kelebihan-kelebihan yang tersurat dan tersirat juga telah pun tercapai secara sedar ataupun tak sedar. Pada mulanya, mahasiswa ini perlu membentuk satu organisasi yang mantap bertujuan untuk melancarkan program ini.. Carta organisasi untuk program ini diberikan dalam Lampiran 3. Oleh itu, program ini sebenarnya telah melahirkan ramai pemimpin (Leadership) dan penggerak yang baik. Tambahan lagi, beberapa program penjanaan dana telah dijalankan dan daripada program ini, mereka telah meningkatkan kemahiran bekerja secara berkumpulan (Teamworking). Dalam penjanaan dana juga, mereka telah mencari dengan sendiri penajaan luar dan hasilnya, mereka telah mendapat beberapa penaja luar terutamanya daripada Kumpulan Arkitek. Dengan secara tidak langsung, mereka telah meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara effektif (Communication skill). Selain itu, penjanaan dana telah dilakukan dengan hasil perniagaan dan mereka telah menggunakan hasil kemahiran kesuhawanan dalam mendapatkan dana yang secukupnya (Entrepreneurship). Pada saat-saat akhir untuk mereka pergi ke New Zealand, mereka berhadapan dengan masalah kekurangan duit dan akhirnya mereka telah menyelesaikan masalah dengan baik dengan cara berfikir secara kritis (Problem solving dan Critical thinking). Apabila dilihat daripada sudut tersirat, mahasiswa-mahasiswa peserta program ini sebenarnya telah pun mengalami proses pembelajaran secara tidak langsung sebelum pergi ke New Zealand.

Apabila berada di New Zealand selama lebih kurang 5 hari, banyak perkara dan pengalaman yang telah diperolehi oleh mahasiswa tersebut. Antara pengalaman baru yang ditempuhi oleh mereka ialah:

  • Belajar cara untuk menaiki kapal terbang terutamanya yang berkaitan dengan peraturan penerbangan antarabangsa contohnya seperti perkara yang dibenarkan dan dilarang dibawa ke kapal terbang.
  • Cara berkomunikasi dengan orang luar terutamanya dalam percakapan bahasa Inggeris.
  • Bagi yang muslim, cara memilih makanan dengan betul dan cara bersembahyang dengan betul di negara bukan beragama Islam.
  • Cara kehidupan penduduk yang mempunyai empat musim yang berbeza terutamanya pada waktu yang sangat sejuk.
  • Cara pelajar Malaysia hidup sebagai pelajar di negara asing..
  • Sistem universiti yang sangat berbeza dengan UTM.
  • Cara berbelanja dan berkomunikasi dengan penjual DLL.

Pengalaman baru ini sangat bermakna bagi mereka dan sangat berguna pada masa akan datang terutamanya pada waktu bekerja kelak.

Di Lincoln University, iaitu universiti pertama yang kami lawati, kami didedahkan dengan sistem pembelajaran disana. Lincoln University ialah universiti yang berasaskan pertanian dan perladangan. Oleh kerana majoriti penduduk disana terlibat dengan aktiviti perladangan dan pertanian dan eksport utama New Zealand ialah hasil pertanian dan perladangan, universiti ini sangat membantu dalam meningkatkan teknologi untuk menambahbaikkan hasil pertanian dan perladangan. Universiti ini adalah universiti yang terluas di New Zealand kerana ia merangkumi beribu-ribu hektar tanah yang digunakan untuk kajian perladanagan dan pertanian. Di Lincoln University, peserta-peserta rombongan buat pertama kalinya merasai kehidupan belajar dikampus luar terutamanya pada masa sejuk.

Banyak ilmu pengetahuan yang diperolehi semasa berada selama dua hari di Dunedin iaitu tempat yang menempatkan University of Otago. Ditambah lagi dengan kehadiran dua orang tutor daripada FBB yang belajar disana dan juga presiden persatuan pelajar Malaysia disana telah menjadikan lawatan ini sangat bermakna. Pada mulanya, peserta-peserta didedahkan dengan cara untuk membeli barang keperluan makanan di pasaraya disana. Tambahan lagi, pelajar juga didedahkan dengan cara berkomunikasi dengan penjual disana. Tugasan yang diberikan oleh tutor FBB ini sangat memberi kesan kepada mahasiswa untuk mengenali cara bagaimana pelajar malaysia terutamnya yang muslim hidup dan makan disana. Pada malamnya, kami telah disambut oleh presiden persatuan pelajar Malaysia di University of Otago, En Imran dan kami telah mengadakan sesi berdialog dengan ringkas. Antara isu yang dikemukakan ialah berkaitan dengan cara belajar terutamanya apabila berada di tempat yang mempunyai empat musim berbeza, sistem pembelajaran, kewangan, cara hidup dan lain-lain. Peserta-peserta mahasiswa UTM telah mendapat berbagai-bagai maklumat hasil perbincangan tersebut.

Pada hari berikutnya, mereka telah dibawa ke bangunan pentadbiran utama dan telah diberi penerangan berkaitan dengan sistem pembelajaran di universiti ini dan juga berkenaan dengan cara untuk memohon menjadi pelajar. University of Otago sangat terkenal dengan program sains hayat dimata dunia. Mahasiswa juga telah didedahkan dengan cara untuk menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi seperti sarjana dan Doktor Falsafah. Hasil lawatan ke Universiti ini sangat bermakna kepada peserta mahasiswa terutamanya dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Hasil Lawatan kepada Pensyarah Pengiring

Sebagai pensyarah pengiring, lawatan ini sangat bermakna buat saya dan ia memberikan hasil yang sangat baik dalam meningkatkan mutu kerja saya. Lawatan ini telah membuka minda saya bahawa amatlah penting bagi seseorang pelajar UTM untuk menjalankan program seumpama ini kerana ia dapat meningkatkan kemahiran sosial dan insaniah pelajar-pelajar tersebut.

Hasil yang saya perolehi ialah:

  • Meningkatkan mutu bahasa Inggeris dengan banyak berkomunikasi dengan ketua lawatan yang berbangsa Ingggeris.
  • Meningkatkan daya pemikiran yang kritis dan kreatif dalam membuat keputusan.
  • Merasakan diri penuh dengan kebertanggungjawaban terhadap tanggungjawab yang diberikan.

Selain itu, dengan lawatan yang telah dilakukan ini, nama Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan, khususnya dan UTM, amnya telah dikenali diperingkat antarabangsa terutamanya di Lincoln University, Christchurch dan juga University of Otago, Dunedin, New Zealand.

Penutup

Pengalaman dalam menjayakan program GOP ke New Zealand sangat memberikan hasil yang positif kepada mahasiswa-mahsiswa yang mengikutinya samaada secara sedar atau tak sedar. Dengan pengalaman yang diperolehi selama 7 hari ke New Zealanad, diharapkan agar mahasiswa ini dapat meningkatkan mutu kemahiran insaniah. Hasil lawatan ke New Zealand ini berjaya membentuk peribadi setiap mahasiswa yang mengikutinya dan juga kepada pensyarah pengiring. Tujuan utama program ini iaitu mengenali budaya pembelajaran dinegara asaing telah pun tercapai denga jayanya. Tambahan lagi, dengan adanya program ini, nama UTM dan FBB terus dikenali diperingkat antarabangsa.