Salah satu faktor yang menyumbang kepada nilai CEC samaada tinggi atau rendah ialah nisbah Si/Al atau nisbah silika terhadap alumina (SiO2/Al2O3). Nisbah ini menerangkan mengenai kandungan Al yang ada dalam kerangka zeolit tersebut. Jika diperhatikan kepada asas zeolit, satu Al akan menyumbang kepada satu cas negatif kerana Al bertanggungjawab dalam menggantikan Si dalam kerangka Si-O-Si. Jadi, secara teorinya semakin banyak unsur Al dalam kerangka zeolit, semakin banyak cas negatif yang ada pada kerangka zeolit seterusnya meninggikan kapasiti penukaran kationnya (CEC). Akan tetapi, had bagi nisbah ini ialah 1 (Si/Al=1) iaitu satu Si berikatan dengan satu Al. Zeolite sintetik A daripada golongan LTA (Linde Type A) mempunyai nisbah Al yang paling rendah iaitu 1. Jadual dibawah menunjukkan nisbah Si/Al bagi zeolit sintetik dan zeolit semulajadi.

Nisbah Si/Al yang dikira daripada analisis elemen menggunakan EDX

Nisbah Si/Al yang dikira daripada analisis elemen menggunakan EDX

Nisbah Si/Al boleh diperolehi daripada data analisis elemen yang telah dibincangkan sebelum ini seperti dengan EDX, XRF ataupun analisis sampel selepas proses penguraian dilakukan.

          Penerangan mengenai pencirian-pencirian zeolit yang dibincangkan disini diberikan secara ringkas. Banyak lagi kaedah pencirian yang boleh dilakukan terhadap zeolit terutamanya bagi zeolit yang baru ditemui dan zeolit yang diubahsuai. Banyak cara pengubahsuaian dapat dilakukan terhadap zeolit seperti meninggikan luas permukaan zeolit, merawat zeolit dengan asid bagi meninggikan ketulenan dan kekristalan zeolit, mengubahsuai zeolit dengan bahan oganik bagi meningkatkan kapasiti penjerapan bahan organik dan bermacam-macam lagi kaedah pengubahsuaian yang boleh dijalankan. Pencirian terhadap zeolit yang diubahsuai ini perlu dilakukan bagi mendapatkan banyak maklumat selepas pengubahsuaian dilakukan seperti pencirian struktur zeolit samaada struktur zeolit diganggu atau tidak atau berubah kepada bentuk lain, analisis elemen yang terkandung dalam zeolit yang diubahsuai dan berbagai-bagai lagi maklumat yang diperlukan selepas zeolit diubahsuai.

          Selain daripada itu, pencirian zeolit juga penting selepas digunakan dalam pelbagai kegunaan seperti selepas digunakan sebagai bahan penjerap kotoran atau logam berat dalam air, selepas digunakan sebagai bahan penyerap bau di kawasan najis-najis haiwan, selepas digunakan sebagai bahan penyokong atau pembawa bahan lain dan seumpamanya. Pencirian terhadap zeolit selepas digunakan akan memberikan maklumat mengenai keadaan zeolit tersebut samaada boleh digunakan banyak kali atau perlu dilakukan pengubahsuaian sekiranya perlu. Pencirian yang ingin dilakukan perlulah relevan dengan penggunaannya.