Kadang-kadang, peluang muncul hanya sekali sahaja dan ianya muncul dengan tidak sengaja. Peluang untuk menjalankan penyelidikan atau peluang untuk belajar benda yang baru mungkin hanya sekali sahaja. Dalam memulakan penyelidikan, terdapat peluang yang tersurat dan tersirat yang muncul. Jika peluang untuk menjalankan penyelidikan muncul dalam diri kita, tanya kepada diri sendiri; “Adakah saya mahu terima peluang untuk menjalankan penyelidikan? Adakah saya bersedia menerima peluang tersebut? Apakah faedah yang saya perolehi jika menerima peluang tersebut? dan apakah akan terjadi sekiranya saya tidak menerima peluang tersebut?”. Persoalan-persoalan ini perlu dirungkai oleh diri sendiri. Jangan hanya menerima peluang yang ada disebabkan oleh faktor-faktor luaran seperti ingin mengikut rakan-rakan, ingin menjadi terkenal, ingin mendapat duit atau seumpamanya yang akan merugikan peluang tersebut sebaliknya, berfikirlah secara rasional persoalan-persoalan ini.
Soalan-soalan inilah yang saya pernah bertanya kepada diri sendiri semasa saya mendapat peluang untuk menjalankan penyelidikan sejurus selepas tamatnya pengajian dalam bidang sarjana muda dan dalam bidang sarjana bagi menyambung pelajaran dalam peringkat doktor falsafah. Saya mengambil peluang tersebut kerana saya fikirkan peluang untuk menjalankan penyelidikan secara penyelidikan mungkin tidak akan muncul pada masa lain. Saya fikirkan yang saya bersedia untuk mengambil peluang tersebut dan faedah yang saya perolehi sangatlah besar. Dan sekarang, apabila saya imbas kembali pada masa tersebut, keputusan yang saya buat adalah bertepatan dan akhirnya saya beroleh kejayaan. Apabila saya membuat perbandingan pada tahun-tahun berikutnya selepas saya memilih untuk menjalankan penyelidikan, saya dapati peluang untuk menjalankan penyelidikan adalah terhad disebabkan oleh faktor-faktor luaran seperti kekurangan dana penyelidikan yang diberikan oleh kerajaan, kekurangan fasiliti dan infrastruktur, instrumen yang rosak dan juga ketiadaan masa terutamanya selepas bekerja sepenuh masa dan juga selepas mendirikan rumah tangga. Saya memilih untuk menjalankan penyelidikan diperingkat tertinggi iaitu PhD sebelum saya mendapatkan pekerjaan. Saya merebut peluang ini supaya saya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada penyelidikan yang saya jalankan. Dalam Islam juga ada menyebut bahawa kita disarankan untuk melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaik yang mungkin dengan merebut lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain iaitu:
- Sihat sebelum sakit
- Muda sebelum tua
- Kaya sebelum miskin
- Masa senang sebelum masa sibuk
- Hidup sebelum mati
Jadi, anda bagaimana? Adakah anda sudah merebut peluang yang diberikan? Adakah anda sedang melakukan penyelidikan? Adakah anda sudah pun terfikir faedah merebut peluang ini? Rebutlah peluang yang ada supaya ia dapat memberikan hasil yang terbaik dan supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Selain itu, semasa menjalankan penyelidikan juga terdapat banyak peluang yang boleh direbut. Contohnya, peluang untuk menerokai perkara baru, peluang untuk belajar ilmu yang baru, peluang untuk menggunakan alatan atau instrumen yang baru, peluang untuk membentangkan hasil penyelidikan kepada orang lain, peluang untuk berinteraksi dengan pakar-pakar, peluang untuk menjalankan penyelidikan diluar negara dengan percuma, peluang berkhidmat kepada masyarakat, peluang untuk mengembangkan ilmu dan berbagai-bagai peluang yang akan muncul secara tiba-tiba tanpa diduga. Oleh yang demikian, rebutlah peluang yang muncul ini dan fikirkan untuk kebaikan diri sendiri, masyarakat dan negara pada masa akan datang.