Salah satu faktor untuk seseorang mendapatkan kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi ialah dengan mengenal dan memahami personaliti diri. Personaliti individu berbeza dengan individu yang lain. Perbezaan ini juga adalah satu sifat variasi yang ada pada manusia. Manusia bukan hanya berbeza daripada segi fizikal seperti bentuk tubuh badan, perbezaan muka, warna kulit dan seumpamanya, akan tetapi personaliti juga berbeza. Perbezaan personaliti inilah yang menjadikan kehidupan ini menarik dan wujudnya kebergantungan antara satu sama lain. Contohnya, ada orang yang mempunyai personaliti yang suka menonjol (Extrovert) dan ada juga yang tak suka menonjol dan suka berdiam diri (intravert). Orang yang mempunyai personaliti extrovert biasanya akan dapat mengawal orang yang berpersonaliti introvert dan mereka saling bergantungan antara satu sama lain.
Apakah kaitan personaliti diri anda dengan kejayaan dalam penyelidikan? Banyak kaitan yang boleh dirungkai sekiranya seseorang itu faham berkenaan dengan dirinya terutamanya bagi penyelidik-penyelidik yang baru menceburkan diri dalam alam penyelidikan. Apabila seseorang itu memahami personaliti diri, mereka akan dapat meningkatkan personaliti diri yang positif yang menjurus kepada kejayaan penyelidikan tersebut. Apabila mereka mengetahui personaliti diri dan mendapati mereka mempunyai personaliti yang dapat menghalang daripada menjalankan penyelidikan, mereka perlu mengubah gaya hidup dan personaliti diri supaya personaliti yang ada dalam diri dapat diubah sesuai dengan kehendak atau keperluan semasa menjalankan penyelidikan.
Jadi, bagaimanakah seseorang itu dapat mengenal diri sendiri dan tahu personaliti diri sendiri? Adakah anda hanya mengenal diri dengan hanya membuat tanggapan dan persepsi terhadap diri sendiri? Atau adakah anda hanya kenal diri sendiri melalui pengalaman dan juga perbezaan diri anda dengan orang lain disekitar anda? Sebenarnya dalam bidang psikologi, ada cara yang tertentu yang dapat membantu seseorang mengenal diri sendiri. Anda sebenarnya tidak mampu mengenal diri sendiri secara mendalam disebabkan oleh banyak faktor luaran tapi hanya andalah yang dapat memahami diri sendiri dan seterusnya mengubah diri sendiri kepada yang lebih baik. Anda tidak mampu mengubah orang lain, tapi anda mampu mengubah diri sendiri. Dalam bidang psikologi, ada banyak cara untuk mengenal personaliti diri anda. Satu cara yang terbaik untuk mengenal personaliti ialah dengan berjumpa dan berurusan dengan kaunselor yang bertauliah dan meminta kaunselor tersebut untuk mengkaji diri anda.
Akan tetapi, ada juga kaedah lain yang dapat dijalankan sendiri, contohnya dengan menjawab soalan daripada soal selidik yang dibuat berdasarkan kajian yang dibuat oleh William Edward “Ned” Hermann (http://en.wikipedia.org/wiki/Ned_Herrmann) seorang penyelidik yang menjalankan kajian mengenai personaliti berdasarkan penggunaan otak atau Model Kesuluruhan Otak (The Whole Brain Method). Daripada analisis jawapan soal-selidik yang anda jawab, anda dapat mengenalpasti personaliti diri anda berdasarkan penggunaan otak anda yang paling dominan samaada sebelah kiri atau sebelah kanan. (Bagi mengetahui dengan lebih lanjut kaedah ini, anda boleh melayari laman sesawang di alamat http://www.hbdi.com/ dan cuba untuk menjawab soalan dan dapatkan hasil analisis yang diberikan). Dalam kaedah ini, ia menekankan penggunaan otak yang lebih dominan. Rajah 1 menunjukkan pembahagian penggunaan otak berdasarkan kaedah tersebut. Cara pemikiran dan tindakan kita dapat dibahagikan berdasarkan kepada 4 bahagian dimana setiap bahagian mempunyai sifat-sifat yang tertentu.
Saya dapat mengetahui personaliti diri saya daripada hasil kajian atau soalselidik yang telah saya jalankan sendiri. Tambahan lagi, saya juga dibantu oleh kaunselor yang bertauliah bagi mengenali diri saya sendiri. Saya juga pernah menjawab soal selidik berdasarkan Model Keseluruhan Otak bagi mengetahui cara pemikiran dan tindakan saya yang dominan yang boleh dikaitkan dengan personaliti diri dan juga bagi membantu dalam membuahkan kejayaan dalam kerja-kerja penyelidikan saya. Saya mendapati bahawa cara pemikiran dan tindakan saya dominan pada bahagian B dimana saya adalah orang yang menjalankan kera-kerja berkaitan penyelidikan secara berturutan, tersusun, terperinci dan terancang. Dengan sebab personaliti inilah saya dapat menghabiskan pengajian dalam bidang PhD pada masa yang singkat kerana saya dapati saya mampu untuk menyiapkan laporan kerja setiap minggu, saya mampu untuk hasilkan tesis PhD pada masa yang singkat kerana saya mempunyai kekuatan dalam menyusun data dan hasil eksperimen. Tambahan lagi, saya juga perancang yang baik yang dapat membuat perancangan kerja dengan teratur dan seumpamanya. Dengan kekuatan inilah saya mampu menjalankan penyelidikan dengan baik.
Selain itu, seorang saintis atau jurutera biasanya mempunyai pemikiran dan tindakan yang dominan pada bahagian A dan B. Ini kerana, saintis dan jurutera banyak terlibat dengan fakta secara saintifik, perlu membuat kajian secara kuantitatif, perlu menyusun data-data yang dihasilkan, perlu membuktikan hasil yang baik dengan memberikan fakta yang sesuai, perlu merancang eksperimen yang ingin dijalankan dan berbagai-bagai lagi perkara yang melibatkan penggunaan otak dibahagian kanan. Jika anda seorang penyelidik yang dominan pada bahagian A dan B, anda perlu meningkatkan kekuatan keupayaan pemikiran dan tindakan anda seperti anda boleh merancang dengan baik, anda tahu menggunakan aplikasi komputer untuk menyusun dan menyimpan data, anda perlu banyak membaca supaya anda mempunyai fakta yang kukuh dalam menerangkan hasil penyelidikan dan sebagainya.
Bagi seseorang penyelidik yang mempunyai pemikiran yang dominan di bahagian D dan C, anda berkemungkinan sukar untuk menerima fakta, anda mungkin memikirkan sesuatu secara saintifik berdasarkan intuisi (anggapan), bedasarkan pemikiran anda sahaja, anda juga mungkin sukar untuk menyusun data dan sukar untuk menghasilkan laporan secara terperinci. Akan tetapi, ini bukannya bermakna anda akan gagal dalam penyelidikan. Dalam bidang penyelidikan saintifik seperti dalam bidang kimia, biologi dan fizik, segala teori dan hipotesis perlu disertakan dengan fakta atau hasil penyelidikan yang dibuktikan daripada teori-teori tertentu. Oleh yang demikian, anda perlu berusaha dengan lebih kuat dan bersungguh-sungguh bagi membuat perancangan kerja penyelidikan dengan baik, menyusun hasil eksperimen anda dengan baik, anda perlu banyak membaca dan memahami artikel penyelidikan yang relevan dengan penyelidikan anda dan anda perlu memahami teori atau hipotesis yang dibuat. Dengan sebab itulah mengenali personaliti diri anda adalah penting bagi seseorang penyelidik supaya personaliti yang kurang menyumbang kepada kejayaan penyelidikan dapat diatasi dan perbaiki.
Kelebihan kepada mereka yang dominan pada bahagian C dan D ialah mereka mampu untuk befikir secara menyeluruh, mempunyai daya imaginasi yang tinggi, mempunyai pemikiran intuisi yang tinggi dan seumpamanya. Manakala kelebihan mereka yang dominan pada bahagian A dan B ialah mereka dapat merancang sesuatu kerja dengan terperinci, memahami teori daripada fakta, dapat menyusun maklumat dan data dengan berkesan dan dapat menguruskan kerja-kerja penyelidikan dengan baik. Oleh yang demikian, apabila seorang penyelidik yang mempunyai keseimbangan dalam cara pemikiran ini iaitu mereka yang mempunyai markah hasil analisis soal-selidik yang agak sama pada keempat-empat bahagian tersebut, penyelidik tersebut mempunyai banyak kelebihan terutamanya dalam menghasilkan hasil penyelidikan yang kreatif dan inovatif. Bagi menghasilkan sesuatu yang kreatif dan inovatif, seseorang itu pada mulanya perlu berimaginasi dan perlu memikirkan secara keseluruhan hasil yang ingin dicapai. Seterusnya, mereka perlu merancang kerja-kerja yang perlu dilakukan dan menguruskan kerja-kerja yang telah dirancang dengan tersusun dan terperinci. Keseimbangan pemikiran pada keempat-empat bahagian ini dapat dilihat bagi seseorang yang mempunyai kebolehan dalam pelbagai aspek seperti seorang saintis atau jurutera yang dapat bermain alat muzik.
Walaupun saya mempunyai pemikiran yang dominan ditempat yang sesuai dengan kedudukan saya iaitu sebagai saintis dan juga pensyarah, saya juga ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diatasi. Saya mempunyai kelemahan untuk berfikir secara keseluruhan dan secara intuitif. Sekiranya saya ingin menghasilkan hasil penyelidikan yang kreatif dan juga inovatif, saya perlu belajar cara yang sesuai untuk berimaginasi dan perlu sentiasa mempraktikkannya. Anda juga perlu berbuat demikian, anda perlu tahu personaliti diri anda dan seterusnya tingkatkan kelemahan yang ada sesuai dengan kehendak persekitaran yang membolehkan anda berjaya dalam penyelidikan anda.
Ada satu cara yang sesuai digunakan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan atau kekurangan-kekurangan yang ada pada cara pemikiran kita. Apabila kita mempunyai kelemahan di Bahagian A (Rujuk Rajah 1) iaitu kita kurang berfikir secara analisis dan tidak bergantung kepada fakta, fikirlah seperti burung atau jadilah seperti mata burung. Kebiasaannya, burung akan melihat sesuatu tempat berdasarkan keadaan yang ada. Burung akan pergi ke satu tempat ke tempat yang lain dengan memerhatikan sesuatu tempat terlebih dulu. Bagi mereka yang mempunyai kelemahan di Bahagian B iaitu mereka yang tidak pandai menyusun sesuatu perkara, tidak tahu cara menguruskan sesuatu dan tidak terperinci dalam sesuatu perkara, fikirlah seperti semut, anai-anai atau kerengga. Serangga ini mempunyai daya pengurusan yang tinggi dan terperinci dalam sesuatu perkara. Semut hidup dalam keadaan yang tersusun dan pandai menguruskan kehidupan mereka. Berfikir seperti ikan didalam air sangat sesuai bagi mereka yang mempunyai kelemahan di Bahagian C. Mereka yang lemah dibahagian C ini akan mempunyai kelemahan untuk merasai sesuatu perkara melalui rasa atau deria (sensory). Ikan didalam air mempunyai deria yang menyeluruh walaupun mata ikan biasanya berada di kedua-dua belah badan ikan tersebut. Ikan biasanya dapat merasai gelombang air dengan kuat. Jadi, apabila mereka yang lemah dalam Bahagian C berfikir cara ikan, ia akan dapat merasai sesuatu perkara melalui rasa atau deria. Yang terakhir iaitu kepada mereka yang mempunyai kelemahan dalam Bahagian D, adalah disarankan untuk menjadi seperti kelawar dimana kelawar ini mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Kelawar tidak perlukan mata untuk melihat dan boleh tinggal didalam gelap. Mereka yang berfikir seperti kelawar akan dapat meningkatkan daya imaginasi yang tinggi. Kesemua saranan ini boleh dilakukan secara berterusan bagi memastikan kelemahan anda dapat ditingkatkan.
Keadaan ini sangat diperlukan semasa menjalankan penyelidikan. Apabila anda tidak dapat berfikir bagaimana caranya untuk menghasilkan teori atau hipotesis yang bertepatan dengan kajian anda, berfikirlah seperti burung dimana ia dapat membantu anda melihat kajian tersebut secara analisis pemerhatian dan juga melalui fakta yang ada. Apabila anda ingin menyiapkan laporan penyelidikan, artikel penyelidikan ataupun tesis penyelidikan anda, berfikirlah seperti semut. Sekiranya anda berasa sukar untuk menggunakan deria anda sewaktu menjalankan eksperimen, jadilah seperti ikan didalam air. Dan, jika anda buntu dalam menghasilkan kajian atau penyelidikan yang kreatif dan inovatif, berimaginasilah seperti kelawar. Mengatasi kelemahan-kelemahan ini melalui cara ini akan dapat membantu anda untuk lebih berjaya dalam menjalankan penyelidikan kerana ianya membantu potensi yang ada dalam diri kita.
Selain daripada kaedah yang disarankan oleh Hermann, ada juga kaedah lain untuk mengenal personaliti diri anda. Antara kaedah yang paling popular ialah teknik yang diperkenalkan oleh Myer Briggs yang dipanggil MBTI (Myer Briggs Type Indicator). Dalam MBTI teknik juga, anda diminta untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan dan skor yang dikira daripada hasil pengiraan akan menunjukkan personaliti diri anda. Ia dibahagikan kepada 16 jenis personaliti berdasarkan kepada dichotomies yang berbeza. Rajah 2 menunjukkan 16 jenis personaliti manakala Jadual 3 menunjukkan dichotomies yang berbeza yang membentuk 16 jenis personaliti ini.
Bagi mengetahui dengan lebih terperinci cara MBTI dilakukan dan personaliti yang disarankan, anda disarankan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut daripada kaunselor atau ahli psikologi yang mahir. Penerangan disini hanyalah sekadar pengenalan sahaja dan ia bertujuan untuk membuka minda anda supaya kenal dengan lebih dekat personaliti diri anda melalui kaefah ini.
Sebagai contoh, saya mendapati diri saya mempunyai personaliti ESTJ dimana personaliti ini mempunyai kekuatan-kekuatan yang tertentu seperti suka bekerja keras (workaholic), mempunyai daya pengurusan yang tinggi, dikatakan mampu untuk membantu orang lain dan sebagainya. Jadi, saya menggunakan kekuatan yang ada seperti “workaholic” dalam menjalankan eksperimen dan menggunakan daya pengurusan yang tinggi untuk menguruskan penyelidikan saya. Dengan mengenali personaliti diri, saya telah pun meningkatkan personaliti yang positif yang dapat menyumbang kepada kejayaan penyelidikan saya. Anda pula bagaimana, sudah kenal personaliti anda?