Bagi seorang muslim, doa adalah senjata yang paling kuat dalam kehidupan kita. Setiap muslim mesti mempercayai bahawa perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita ialah qada’ dan qadar yang datang daripada Allah SWT. Begitu jugalah dengan kerja-kerja penyelidikan kita, kita wajib mempercayai bahawa hasil daripada eksperimen yang dijalankan, teori atau hipotesis yang difikirkan, idea-idea, hasil daripada eksperimen dan juga kejayaan dalam menghasilkan kerja penyelidikan datangnya daripada Allah SWT. Jadi, sebagai muslim, kejayaan kita dalam penyelidikan juga ditentukan oleh Allah SWT. Kita sebagai insan yang lemah hanya perlu meminta daripada yang maha kuasa. Doa; itulah cara kita meminta kepadaNya.

Kejayaan saya dalam menjalankan penyelidikan bukanlah seratus-peratus datang daripada diri saya sendiri, semuanya sebenarnya datang daripada kuasa Allah. Saya hanya mampu berdoa dan doa yang saya selalu ucapkan selepas sembahyang wajib lima waktu ialah:

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, berikanlah petunjuk, hidayah, keberkatan, kerahmatan, keredhaan dan kejayaan dalam projek penyelidikan yang saya jalankan”

Saya meminta kepada Allah SWT untuk memberikan petunjuk kepada saya dalam menjalankan penyelidikan supaya petunjuk yang diberikan sebelum, semasa dan selepas menjalankan sesuatu eksperimen akan dapat membantu menghasilkan hasil yang terbaik. Petunjuk sebelum eksperimen: supaya Allah SWT memberikan idea-idea yang bernas atau petunjuk dalam merancang sesuatu eksperimen. Petunjuk semasa eksperimen: supaya Allah SWT memudahkan perlaksanaan eksperimen dan membuka pintu hati sehingga dapat melihat perkara-perkara yang tersirat. Petunjuk selepas eksperimen: supaya Allah SWT memudahkan proses menganalisis data. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua.

Dalam kehidupan seharian kita, apabila hidup kita diberi hidayah, rahmat dan keberkatan, hidup kita akan sentiasa diredhai oleh Allah SWT, semua perkara akan berjalan dengan lancar malah ia akan memberikan pulangan yang berlipat kali ganda. Saya meminta semoga Allah memberikan semua ini kepada penyelidikan saya kerana saya yakin apabila kita mendapat semua ini, perjalanan penyelidikan akan jadi bertambah lancar, halangan dapat diatasi dengan mudah, idea atau hasil yang tidak dijangka akan dapat diperolehi, memudahkan kerja-kerja penyelidikan dan berbagai-bagai lagi nikmat yang Allah berikan. Malah hasil penyelidikan yang diperolehi dapat dikembangkan sehingga ke masa akan datang, seperti yang saya perolehi sehingga sekarang.

Akhir sekali, saya juga meminta kepada Allah SWT supaya diberikan kejayaan dalam kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan. Kejayaan yang diperolehi merangkumi kejayaan dalam menghasilkan data-data yang relevan dan boleh diterima dalam eksperimen, kejayaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah, kejayaan dalam menghadapi halangan dalam menjalankan kajian dan yang paling penting kejayaan dalam menjalankan penyelidikan secara keseluruhannya. Semua ini perlu diminta daripada Allah SWT yang maha Kuasa keatas semua perkara. Doalah secara berterusan tanpa berputus asa dan yakinlah dengan sepenuh hati bantuan daripadaNya.