Stephen Covey dalam bukunya yang popular iaitu “7 sikap orang yang efektif” mengatakan bahawa apabila kita ingin membuat sesuatu kerja, kita perlu meletakkan dalam minda kita: “Begin with the end in mind”. Ini bermaksud apabila kita ingin memulakan sesuatu kerja, kita perlu letakkan dalam pemikiran kita perkara terakhir yang ingin dicapai. Kita bukan hanya perlu memikirkan perkara yang ingin dicapai tapi ditambah pula dengan berimaginasi mengenai situasi yang ingin dicapai. Perkara yang ingin dicapai perlu dimaginasikan dengan teliti dan terperinci. Contohnya apabila anda inginkan kereta mewah seperti Mercedes menjadi kepunyaan anda, anda perlu berimaginasi yang anda membawa kereta Mercedes model baru yang anda sukai dengan warna yang anda sukai, bayangkan anda berada di tempat duduk kereta tersebut dan memandunya dengan tenang dan gembira. Sekiranya anda silap berimaginasi dan kabur dalam bayangan tersebut, ia akan memberikan kesan lain kepada perkara yang ingin dicapai. Anda mungkin dapat kereta Mercedes tapi model yang lama, murah dan terpakai yang bukannya kereta yang anda impikan.

Sama juga keadaannya apabila ingin mencapai kejayaan dalam kerja penyelidikan. Anda juga boleh mengamalkan teknik ini. Contohnya, apabila anda ingin membentangkan hasil penyelidikan yang dihasilkan, anda perlu berimaginasi situasi dimana anda membentangkan hasil penyelidikan tersebut di hadapan saintis-saintis dengan berkeyakinan tinggi, nota (Slide) pembentangan yang menarik dan tersusun dan semua yang datang melihat pembentangan tersebut memberikan perhatian sepenuhnya. Dalam berimaginasi, anda perlu memikirkan secara terperinci situasi tersebut. Dengan berimaginasi sedemikian setiap kali sewaktu memulakan dan sedang menjalankan eksperimen, anda sebenarnya memberitahu otak dan minda anda bahawa anda ingin menuju kepada perkara yang ingin dicapai dan minda anda seterusnya akan memprogramkan kehidupan anda kearah mencapai matlamat tersebut.

Saya suka menggunakan teknik ini bila saya hendak mencapai sesuatu objektif dalam kehidupan saya, tidak kira samaada objektif yang besar yang memerlukan jangka masa yang panjang atau objektif jangka masa pendek. Saya selalu memprogramkan minda saya untuk memulakan sesuatu perkara dengan memikirkan objektif yang ingin dicapai. Begitu juga semasa menjalankan penyelidikan, saya akan cuba membayangkan hasil terakhir yang saya dapat seperti penghasilan dokumen untuk dipatenkan, penghasilan kertas kerja saintifik yang diiktiraf diperingkat antarabangsa ataupun produk hasil penyelidikan yang mendapat pengiktirafan daripada badan-badan profesional dan seumpamanya. Dengan cara inilah sebenarnya saya melatih minda saya untuk berfikir secara menyeluruh dan mengabaikan perkara-perkara kecil yang berlaku sewaktu kerja penyelidikan dijalankan terutamanya halangan-halangan kecil seperti kekurangan alat radas ataupun bahan kimia. Dengan memikirkan “Begin with the end in mind”, kita sebenarnya melatih untuk menjadi lebih kreatif kerana kita akan cuba untuk menyelesaikan perkara-perkara yang menghalang diri mencapai objektif dengan cara apa sekalipun. Apabila sesuatu bahan yang diperlukan tiada, saya akan cuba mencari penyelesaian dengan cara kreatif untuk menggantikan bahan tersebut dengan bahan lain contohnya saya akan menggunakan kotak tisu untuk meletakkan sampel sekiranya bekas khas untuk menyimpan sampel tiada. Halangan kecil ini akan dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya kita dapat mengamalkan “Begin with the end in mind”. Berfikirlah dengan cara ini untuk mencapai objektif penyelidikan yang diimpikan.