Kegagalan ialah sesuatu yang pahit untuk dihadapi dan diterima. Jadi kenapa perlu gagal dan berani untuk menghadapinya? Sebenarnya, apabila seseorang itu mengalami kegagalan bermakna dia telah melakukan sesuatu dan dia berani menerima risiko. Seseorang yang tak pernah gagal bermakna dia tidak melakukan sesuatu atau melakukan perkara yang berisiko rendah. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya dan tidak pernah gagal tidak semestinya akan berjaya. Billy Lim, pengarang buku “Berani Gagal” telah memberikan motivasi dalam bentuk keberanian untuk menerima risiko dengan melakukan sesuatu tanpa mengetahui perkara yang diperoleh akan mencapai kegagalan atau sebaliknya.
Dalam menjalankan kerja-kerja penyelidikan, kita tidak boleh lari daripada mencuba sesuatu yang baru sehingga dipenuhi dengan kegagalan. Dalam penyelidikan, kita perlu menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara tersendiri dan secara saintifik. Kita perlu memahami topik yang berkaitan, menghasilkan hipotesis melalui teori yang difahami, seterusnya merancang eksperimen atau prosedur daripada hipotesis tersebut dan akhir sekali melaksanakan apa yang telah dirancang. Kadangkala, eksperimen yang dijalankan tidak memenuhi kehendak hipotesis dan menyebabkan gagal untuk membuktikan hipotesis tersebut. Proses yang sama perlu diulang-ulang supaya kita perlu mendapatkan penjelasan yang jelas tentang hipotesis yang dirancang dan juga mendapat hasil penyelidikan yang memuaskan untuk membuktikan kebenaran hipotesis tersebut. Disinilah situasi dimana kita akan sering menemui kegagalan. Pada masa inilah kita perlu berani untuk gagal; berani untuk menjalankan eksperimen tanpa rasa risau atau takut gagal dalam hasil eksperimen tersebut, berani untuk membuktikan hipotesis secara saintifik dan berani untuk mengambil risiko yang tinggi. Kita pasti akan mencapai kejayaan sekiranya kita melakukan sesuatu perkara berulang-kali kerana kita akan bertambah mahir menjalankan sesuatu eksperimen. Tambahan pula, gagal sekali tak bermakna gagal selamanya. Apabila eksperimen diulang, seorang penyelidik akan dapat mengetahui kekurangan atau masalah yang timbul sewaktu menjalankan eksperimen yang menyebabkan kegagalan.
Konsep “berani gagal” ialah konsep yang berkesan dilaksanakan sekiranya seseorang penyelidik mengetahui dengan lebih mendalam asas sesuatu kerja penyelidikan dan teorinya. Sebagai contoh, teori mengatakan bahawa karbon teraktif (activated carbon) boleh menjerap ion-ion logam berat melalui penjerapan secara fizikal manakala tanah liat (clay) boleh menjerap ion-ion logam berat melalui penukaran kation dimana kation-kation akan tertukar ganti dengan kation yang berada dalam kerangka tanah liat tersebut. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang penyelidik ingin membuat perbandingan antara kapasiti penjerapan oleh tanah liat, ia boleh dibuat dengan bahan penukar ion yang lain seperti resin dan zeolit bukannya dengan karbon. Jadi, apabila perbandingan ini dibuat, ralat perbandingan akan dapat dikurangkan dan diminimumkan. Sekiranya seorang penyelidik merancang sesuatu eksperimen tanpa mengetahui dengan lebih mendalam teori atau asas sesuatu perkara, ia akan merugikan banyak perkara seperti masa, bahan-bahan kimia, tenaga dan sebagainya yang berkaitan dengan eksperimen.
Sewaktu menjalankan penyelidikan terutamanya semasa ingin membuktikan hipotesis yang dibuat, saya akan merancang eksperimen yang akan dilaksanakan berdasarkan asas-asas daripada hasil pembacaan jurnal-jurnal penyelidikan. Saya akan merancang eksperimen tersebut menggunakan SMART kriteria kerana saya perlu memastikan eksperimen yang dijalankan tidak merugikan banyak perkara dan memudahkan. Kemudian, saya tidak berlengah dalam melakukan eksperimen tersebut. Sekiranya hasil eksperimen tersebut gagal membuktikan hipotesis yang dirancang, saya akan mencuba sekali lagi dan sekiranya gagal, saya akan menumpukan kepada pembacaan semula dan mulakan dengan perancangan yang baru. Kemudian, saya akan mencuba lagi. Saya cuba untuk mengawal minda supaya dapat menerima kegagalan dengan hati yang terbuka dan dengan minda yang positif. Sebenarnya, saya telah mengalami banyak kegagalan dalam kerja penyelidikan, tapi saya cuba untuk tidak mengingati kegagalan tersebut. Saya akan jadikan kegagalan tersebut sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi serta untuk meningkatkan motivasi diri.
Ingatlah, gagal sekali tidak semestinya akan gagal selama-lamanya. Kadang-kala, kita perlu gagal banyak kali untuk mendapatkan kejayaan yang diinginkan. Dalam kerja penyelidikan, gagal dalam eksperimen, gagal mendapatkan hasil penyelidikan yang baik, gagal untuk mencapai objektif penyelidikan dan sebagainya adalah lumrah dalam alam penyelidikan. Jadi, jangan jadikan kegagalan sebagai halangan untuk mengkuburkan semangat menjalankan penyelidikan, akan tetapi belajarlah daripada kegagalan tersebut dan berani untuk gagal semasa menjalankan eksperimen bagi memastikan eksperimen yang diulangi bertambah baik dan berjaya dalam penyelidikan yang dijalankan.