Saya pernah ditanya oleh orang atasan universiti semasa temubual berkaitan permohonan cuti belajar bagi mengikuti pengajian peringkat PhD mengenai faktor masalah kebanyakan staf yang tidak dapat menghabiskan masa belajar sarjana atau PhD secara penyelidikan dalam waktu yang ditetapkan, saya menjawab “Kebanyakan mereka tidak fokus sewaktu belajar”. Hanya perkataan “fokus” yang muncul dalam pemikiran saya sewaktu menjawab soalan tersebut. Ini kerana saya selalu memikirkan bahawa jika ingin berjaya dalam penyelidikan terutamanya kepada penyelidik yang mempunyai banyak tanggungjawab seperti tanggungjawab sebagai seorang pekerja atau staf, seorang suami/isteri, bapa/ibu atau tanggungjawab-tanggungjawab lain, penyelidik tersebut perlu fokus dalam kerja-kerja penyelidikan. Ini bermakna, tumpuan yang mendalam perlu diberikan terhadap kerja-kerja atau cara-cara untuk mencapai hasil dalam penyelidikan seterusnya berjaya dalam penyelidikan yang dijalankan.

Apakah maksud fokus? Fokus adalah memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap sesuatu perkara. Seseorang yang fokus dalam sesuatu pekerjaan biasanya komited dalam kerjanya dan berjaya mencapai sesuatu matlamat. Adakah kita perlu memberikan tumpuan sepenuh tenaga, masa dan semuanya kepada kerja penyelidikan yang dijalankan? Ya, kita sepatutnya memberikan sepenuh tumpuan dan fokus kepada kerja penyelidikan kerana dalam penyelidikan, sub-bidang dalam penyelidikan yang dijalankan adalah berkaitan antara satu sama lain; kajian literatur berkaitan dengan pembentukan sesuatu hipotesis, hipotesis yang dibuat berkaitan dengan objektif kajian dan bagi mencapai objektif kajian, eksperimen perlu dirancang berdasarkan objektif kajian tersebut dan berbagai-bagai lagi adalah berkaitan antara satu sama lain. Semua perkara dalam penyelidikan adalah berkaitan dan perlu diberi perhatian. Sekiranya seseorang penyelidik kehilangan fokus terhadap sesuatu sub-bidang, ia akan memberikan impak negatif kepada keseluruhan proses penyelidikan. Sebagai contoh, jika kita tidak fokus dan tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada penulisan laporan penyelidikan seperti artikel penyelidikan, laporan saintifik, disertasi atau tesis, akibatnya penyelidik lain tidak akan faham perkara yang ingin disampaikan dan gagal untuk menterjemahkan hasil penyelidikan dalam bentuk penulisan walaupun hasil kerja penyelidikan adalah hebat dan mantap. Dengan sebab itulah, fokus kepada penyelidikan adalah satu perkara yang penting bagi memastikan penyelidikan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Banyak perkara yang boleh dilakukan bagi memastikan tumpuan atau fokus boleh diberikan kepada kerja penyelidikan. Perkara utama ialah dengan meletakkan kepentingan penyelidikan didalam pemikiran dan minda secara sedar dimana anda boleh sentiasa memikirkan objektif penyelidikan yang ingin dicapai. Selain itu, perancangan yang teliti dan terperinci juga dapat membantu fokus anda terhadap kerja yang dijalankan. Dengan memperincikan tugasan-tugasan dan eksperimen-eksperimen yang perlu dibuat, anda sebenarnya memberikan fokus terhadap kerja yang ingin dijalankan. Perkara yang penting dalam kerja penyelidikan juga ialah dengan memahami objektif dan skop penyelidikan supaya tumpuan anda tidak tersasar kepada perkara lain yang diluar skop tugas yang dirancang.

Fokus kepada sesuatu perkara sama seperti kanta pembesar yang memfokuskan kepada sesuatu imej sehingga memberikan imej yang sangat jelas kepada perkara yang ingin dilihat dan diperhatikan. Begitulah juga dengan fokus dalam kerja penyelidikan, anda akan nampak, faham bersemangat dan jelas dengan hasil penyelidikan yang ingin dicapai. Dengan fokus yang diberikan, anda tidak akan melaksanakan sesuatu perkara secara sambil lewa dan membuatnya bersungguh-sungguh. Anda perlu memberikan tumpuan yang mendalam kepada kerja penyelidik, akhirnya anda akan beroleh kejayaan.