Salah satu perkara yang membantu saya mencapai kejayaan dalam penyelidikan ialah dengan merekodkan semua perkara berkaitan eksperimen didalam buku log dengan cara yang teratur, tersusun dan juga saya sentiasa amalkan penggunaan buku log daripada mula kerja penyelidikan sehingga ke penulisan laporan penyelidikan. Contoh-contoh buku log boleh dilihat dirajah dibawah. Bentuk buku log yang saya gunakan adalah ringkas dan senang dibawa serta kulit buku diperbuat daripada plastik yang tidak mudah rosak apabila terkena air. Saya menggunakan buku yang berbentuk ini kerana ia memudahkan saya untuk dibawa kedalam makmal atau bilik instrumen. Tambahan lagi, eksperimen yang saya lakukan biasanya melibatkan cecair samaada air biasa atau cecair pelarut yang lain seperti asid, alkali dan minyak. Oleh yang demikian, penggunaan buku log yang tidak mudah rosak sangat penting bagi memastikan maklumat-maklumat yang direkodkan tidak hilang.
Kebiasaannya, saya akan merekodkan maklumat dalam buku yang berasingan bergantung kepada eksperimen yang ingin dijalankan bagi memudahkan perancangan dan juga perekodan maklumat berkaitan kerja-kerja eksperimen yang dijalankan.
Antara maklumat-maklumat yang boleh direkodkan didalam buku log adalah seperti berikut:
- Perancangan kerja yang ingin dilakukan dalam bentuk carta aliran.
- Kaedah eksperimen secara terperinci.
- Senarai bahan kimia dan peralatan yang ingin digunakan.
- Perekodan data-data ringkas.
- Senarai nama sampel dan deskripsi setiap sampel.
- Teori secara ringkas.
Berbagai-bagai lagi maklumat-maklumat yang boleh direkodkan dalam buku log ini bergantung kepada eksperimen yang ingin dilakukan.
Dalam buku log, maklumat yang paling penting ialah kaedah eksperimen yang terperinci menerusi carta aliran kerana ia memudahkan semasa penulisan laporan atau artikel penyelidikan. Semasa penulisan laporan penyelidikan, kita biasanya terlupa perkara-perkara yang kecil yang tidak diberi perhatian sebagai contoh tempoh pengeringan sampel atau sumber bahan kimia yang digunakan atau jenama instrumen yang digunakan. Tambahan lagi, maklumat yang direkodkan akan membantu sesuatu eksperimen yang tidak mendapat hasil yang diinginkan. Daripada buku log yang ditulis dengan terperinci, penyelidik dapat mengetahui dan mempelajari masalah yang timbul semasa menjalankan eksperimen. Buku log yang terperinci juga akan membantu penyelidik mengimbas kembali kerja-kerja penyelidikan yang telah dijalankan dan membantu dalam mencapai objektif penyelidikan. Terlalu banyak faedah yang akan diperolehi apabila melaksanakan sistem buku log ini. Pastikan catitan dalam buku log tersebut dibuat secara sistematik, tersusun, kemas, terperinci, ringkas dan padat serta dilakukan secara berterusan bermula daripada perancangan, semasa menjalankan eksperimen sehingga mendapat hasil eksperimen yang terakhir.