Sekiranya semua sumber-sumber untuk menjalankan kerja penyelidikan mencukupi, berfikirlah secara positif yang hasil penyelidikan akan diperolehi dengan jayanya dan seterusnya berjaya dalam penyelidikan tersebut. Situasi ini merujuk kepada keadaan sumber-sumber dalam menjalankan penyelidikan yang mencukupi yang membolehkan kita menjalankan eksperimen dengan baik seperti keadaan infrastruktur yang berada dalam keadaan baik, sumber kewangan yang mencukupi, bahan kimia yang mencukupi dan lain-lain yang dapat membantu melicinkan kerja penyelidikan. Dalam situasi ini, semua perkara dapat dilakukan dan dihasilkan, kita hanya perlu berusaha untuk mencapai hasil penyelidikan yang diperolehi dan perlu berfikiran positif terhadap perkara-perkara yang ingin dicapai.

Kebanyakan daripada orang-orang yang berjaya dalam kehidupannya mempunyai daya pemikiran yang positif dan kurang berfikiran negatif. Mereka sentiasa berfikir sesuatu perkara dengan cara positif. Sebagai contoh, orang yang positif akan mengatakan gelas yang mengandungi isipadu air separuh daripada gelas tersebut: “Gelas ini mengandungi separuh penuh air didalamnya” manakala orang yang negatif mengatakan: “Gelas ini mengandungi separuh kosong air didalamnya”. Beberapa sifat orang yang positif ialah; merasakan semua perkara yang sukar dilakukan dapat dilaksanakan dengan baik, tidak membuat andaian atau persepsi yang negatif terhadap sesuatu perkara, sentiasa dalam keadaan sihat dan ceria kerana sentiasa melepaskan tenaga (berfikiran negatif akan menggunakan tenaga untuk berfikir manakala berfikiran positif akan melepaskan tenaga atau menggunakan tenaga yang terlalu sedikit daripada badan), berani untuk gagal, tidak mudah putus asa dan lain-lain. Banyak perkara yang dapat dihasilkan dengan jayanya sekiranya kita sentiasa berfikiran positif. Berfikiran positif sebenarnya membantu memberitahu kepada diri sendiri bahawa apa yang kita inginkan mudah untuk diperolehi dan mudah untuk dilakukan.

Contoh seorang tokoh penyelidik yang terkenal yang sentiasa berfikiran positif ialah Thomas Edison. Beliau terkenal dengan sikap yang tidak mudah putus asa dalam penyelidikannya dan sentiasa berfikiran positif. Beliau telah mencuba menghasilkan mentol sebanyak 999 kali dan hanya yang kali ke 1000, percubaan beliau terhasil.

“Saya bercakap tanpa keterlaluan apabila saya mengatakan saya telah menghasilkan 3000 teori yang berbeza berkaitan dengan cahaya elektrik, namun hanya dalam dua kes eksperimen saya membuktikan kebenaran teori saya”. – Thomas Edison –

Thomas Edison adalah seorang contoh penyelidik dan perekacipta yang boleh diteladani. Walaupun banyak rintangan yang beliau hadapi, beliau tetap berusaha untuk mendapatkan hasil yang baik dan beliau berjaya dalam penghasilan rekacipta yang memberikan kesan yang sangat mendalam kepada dunia kerana beliau sentiasa positif terhadap hasil yang akan diperolehinya. Berfikiran positif membantu kita membuat berbagai-bagai hipotesis dan memastikan hipotesis tersebut dibuktikan melalui eksperimen. Sekiranya kita sentiasa berfikiran negatif dengan mengatakan tidak atau mustahil kepada perkara-perkara yang belum dibuktikan lagi, sebenarnya ia melemahkan kita. Berfikiran negatif sebenarnya memberikan kelemahan dan kepayahan kepada diri sendiri. Berfikiran negatif akan menggunakan tenaga dalam badan dan seterusnya memberikan kita keletihan untuk menjalankan eksperimen. Tambahan lagi, dengan berfikiran negatif sebenarnya kita membuat andaian yang salah dan tidak tetap. Berkata tidak kepada perkara yang belum dibuktikan lahir daripada seorang yang berfikiran negatif. Elakkan berfikir negatif, kerana ia akan merugikan diri sendiri.

 

Jika anda dibesarkan dengan persekitaran manusia yang sentiasa berfikiran negatif, anda perlukan masa untuk mengubah dan memupuk sifat berfikiran positif dalam diri sendiri. Anda boleh melatih diri untuk sentiasa berfikiran positif dengan cara sentiasa bercakap dan memberitahu kepada diri sendiri. Sentiasa memberitahu kepada diri sendiri yang anda boleh melakukan sesuatu perkara dan jangan membuat anggapan yang negatif terhadap perkara yang belum dibuktikan atau dilaksanakan lagi. Amalkan dalam diri sendiri sikap yang sentiasa berfikiran positif dalam kehidupan seharian, daripada mula bangun pagi, bersiap untuk ke tempat kerja, semasa menjalankan kerja penyelidikan, semasa bersukan dan semasa menjalankan aktiviti-aktiviti luaran. Amalan berfikiran positif dalam kehidupan seharian akan membantu kita memberikan tenaga dalam diri dan kita akan sentiasa bertenaga sepanjang hari. Contoh yang paling mudah dalam kehidupan seharian ialah apabila ingin bangun tidur pada awal pagi, anda boleh mengamalkan berkata kepada diri sendiri yang anda boleh bangun awal pagi pada malam sebelum anda melelapkan mata. Sebelum melelapkan mata, berkata kepada diri sendiri yang anda boleh bangun pagi tanpa perlu dikejutkan berulangkali. Dengan mengamalkan sikap ini berulangkali, ia akan memberikan tenaga kepada diri sendiri untuk bangun pada awal pagi. Dengan cara melatih diri berfikiran positif dalam kehidupan seharian anda, anda sebenarnya juga melatih diri untuk bersifat positif terhadap kerja-kerja penyelidikan anda.

Begitu juga semasa menjalankan eksperimen, sesudah eksperimen dirancang, tanamkan kata-kata yang positif dalam diri anda bahawa anda boleh melakukannya, anda dapat menyiapkan eksperimen dengan baik, anda akan berusaha membuat eksperimen tersebut dengan baik dan sempurna, anda akan menghadapi rintangan dengan cara yang baik dan lain-lain lagi kata-kata positif yang dapat membantu eksperimen tersebut. Dengan cara ini sebenarnya anda berkomunikasi dengan diri sendiri dan seterusnya memberikan tenaga kepada diri untuk menjalankan eksperimen.

Amalan berfikiran negatif juga sebenarnya banyak dipengaruhi oleh kenalan sekeliling kita seperti kawan satu makmal, orang atasan, kawan rapat, saudara-mara, ibubapa dan mereka-mereka yang berdekatan dengan kita. Apabila dikelilingi dengan orang yang berfikiran negatif, kita akan mendapat tempiasnya, tetapi sekiranya kita melawan diri untuk lebih mempercayai diri dan cuba bersifat positif, kita sebenarnya bersifat lebih neutral. Mempercayai diri sendiri dalam hal-hal tertentu juga akan melatih kita berfikiran positif. Kita sering mendengar rungutan daripada kenalan kita mengatakan perkara yang akan dilaksanakan akan menemui kegagalan atau sukar dilakukan. “Payah betul nak siapkan kerja ini”, “Saya rasa kita tak boleh berjaya dalam eksperimen ini”, “Rasanya eksperimen yang dirancang tak berkesan sebab…”. Rungutan seumpama inilah yang sering kita dengar daripada mereka yang berfikiran negatif. Kita sebagai kenalan hanya boleh tersenyum dan tidak terus mempercayai kata-kata kenalan ini. Apa yang perlu kita lakukan ialah kita perlu berfikir sebaliknya, kita perlu mempercayai diri sendiri dan mengatakan boleh kepada perkara yang akan dibuat dan dilaksanakan. Dengan cara ini, kita melatih diri untuk bersifat positif.

Dalam amalan saya sebagai seorang penyelidik, saya sering bercakap kepada diri sendiri perkara-perkara yang positif kerana saya yakin kita tidak boleh mengubah orang lain atau mengubah persekitaran, tetapi kita boleh mengubah diri sendiri. Tambahan lagi, saya suka berfikiran positif kerana ia sebenarnya memberikan tenaga kepada diri sendiri dan menjadikan saya lebih tenang. Berfikir positif dalam semua perkara juga akan membolehkan saya mendapat ramai kawan kerana saya yakin, apabila saya berfikiran positif dan menyampaikannya kepada orang lain, saya sebenarnya memberikan tenaga kepada mereka dan mereka juga menyukainya. Anda pula bagaimana? Berfikiranlah positif dalam semua perkara dan elakkan berfikiran negatif. Jadilah seorang yang sentiasa bertenaga pada setiap masa dengan berfikiran positif dan hasilnya mendapat kejayaan diatas kerja penyelidikan yang dijalankan.