Biasanya ungkapan “lebih banyak bagi, lebih banyak dapat” didengari daripada ungkapan bahasa Inggeris iaitu “The more you give, the more you get”. Ungkapan inilah yang membantu orang-orang yang telah berjaya dalam hidup mereka berjaya pada setiap masa dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Kebiasaannya orang yang berjaya dalam hidup akan berbeza dengan orang yang kurang berjaya atau gagal dalam hidup kerana orang yang berjaya bukanlah orang yang mempunyai sikap yang biasa, mereka sedikit luarbiasa dan sikap mereka juga berbeza daripada kebiasaan orang. Dengan sebab itulah, jika kita perhatikan, tidak ramai orang yang berjaya dalam hidup kerana orang yang berjaya mempunyai sifat atau sikap yang berlainan daripada biasa. Kebiasaannya kita akan menumpu kepada skop tugas atau skop kerja yang telah ditetapkan, akan tetapi orang yang berjaya dalam hidup akan melihat perkara lain dan melakukan tugas atau kerja melebihi daripada tugasan yang diberikan. Mereka akan menjalankan tugasan yang diberikan dengan baik dan sempurna dan ditambah lagi dengan tugasan-tugasan sampingan lain yang diluar skop tugasannya. Mereka biasanya tidak akan meminta balasan daripada sesiapa pun, apa yang mereka minta hanyalah ilmu dan pengalaman yang diperolehinya. Mereka percaya dengan menjalankan tugasan diluar skop tugas atau membantu pekerja lain, mereka tidak akan rugi malahan ianya lebih menguntungkan. Keuntungan yang diperolehi bukan hanya daripada segi fizikal seperti kenaikan pangkat, keuntungan perniagaan dan seumpamanya malahan keuntungan daripada segi bersifat bukan fizikal juga turut diperolehinya seperti mendapat lebih ilmu pengetahuan, ilmu yang tidak disangka yang berguna kepada diri diperolehi dengan cara tidak sengaja, pengalaman menjalankan tugasan dalam bidang lain dan berbagai-bagai lagi kelebihan atau keuntungan yang diperolehi apabila menngamalkan sikap “lebih banyak bagi, lebih banyak yang dapat” atau “the more you give, the more you get”.
Begitu juga dengan kerja-kerja penyelidikan, setiap penyelidik yang ingin berjaya perlu melakukan tugasan atau kerja yang lebih daripada skop kajian tersebut atau perkara-perkara sampingan yang juga membantu dalam kajian tersebut samaada secara langsung atau tak langsung. Perlu dipastikan juga bahawa tugasan tersedia dalam skop penyelidikan perlu dilakukan dengan sempurna. Kita juga perlu bersedia apabila diberikan tugasan diluar skop kajian oleh penyelia kita. Apabila kita mendapat tugasan tersebut, kita perlu memikirkan secara positif perkara yang akan diperolehi dan dapat apabila menjalankan tugasan tersebut dengan baik. Secara realitinya, kita mungkin kabur dengan perkara yang akan kita perolehi daripada tugasan diluar skop yang diberikan, tapi kita akan boleh nampak kesannya dalam jangka masa panjang. Perkara ini sebenarnya telah dibuktikan oleh kebanyakan orang-orang yang berjaya dan mereka biasanya akan berkongsi pengalaman yang diperolehinya pada masa lampau.
Sebagai contoh, apabila kita menjalankan penyelidikan dalam bidang pertanian, secara spesifiknya apabila kita menjalankan penyelidikan dalam pembangunan baja yang baru yang dapat menyuburkan tanaman, kita perlu keluar daripada makmal dan menjalankan tugasan diluar skop penyelidikan kita. Sekiranya skop penyelidikan kita hanya dalam pembangunan bahan baja yang hanya boleh dilakukan dalam makmal, kita perlu keluar daripada makmal dan pergi kekawasan pertanian seperti kawasan ladang, sawah padi, kawasan kampung atau kawasan-kawasan kajian pokok. Daripada aktiviti seperti inilah kita akan memperolehi banyak idea-idea berkenaan cara yang sesuai untuk pembangunan baja. Dengan cara inilah kita akan mendapat pengalaman sebagai petani dan mengetahui masalah-masalah yang berlaku disekitar kita. Seperti yang kita sedia maklum bahawa dalam penyelidikan, kita perlu menyelesaikan masalah yang berlaku, jadi sekiranya kita hanya membangunkan produk tanpa memikirkan masalah yang berlaku secara realiti, penyelidikan kita akan tersadai dan tidak akan dilakukan secara berterusan. Kita tidak boleh hanya memberikan tumpuan kepada kerja-kerja dimakmal sahaja kerana ia sebenarnya membantutkan cara pemikiran kita bagi menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku secara realitinya. Tambahan lagi, dengan aktiviti-aktiviti yang kita lakukan, kita akan memperoleh pengalaman dan pengalaman tersebut boleh digunakan dalam pembangunan produk yang ingin dihasilkan.
Ungkapan “lebih banyak bagi, lebih banyak dapat” juga sebenarnya membantu secara tidak sengaja dalam menjayakan kerja-kerja penyelidikan dengan baik. Sebagai seorang muslim, kita percaya bahawa apabila kita berusaha dengan lebih, membantu rakan-rakan kita, menjalankan tugasan secara ikhlas dan bekerja tanpa meminta balasan, Allah yang maha kuasa dan besar akan membantu kita. Kebiasaannya, kita tidak nampak bantuan yang diberikan tapi apabila kita perhatikan secara mendalam, Allah mungkin memberikan kita kesihatan yang baik sepanjang masa, masa yang berkat iaitu merasakan tugasan dapat dilakukan dengan sempurna dan banyak dalam masa yang singkat, kemudahan-kemudahan kerja penyelidikan dan berbagai-bagai lagi pemberian daripada Allah yang membantu dalam kerja penyelidikan kita.
Ungkapan “lebih banyak bagi, lebih banyak dapat” biasanya berkaitan dengan masa. Kita sering mengatakan kita sentiasa sibuk dan tidak dapat menjalankan tugasan diluar skop penyelidikan kerana banyak tugasan-tugasan dalam skop penyelidikan kita perlu disiapkan. Kita sering mengatakan alasan bahawa dalam sehari, masa yang ada iaitu 24 jam seolah-olah tidak mencukupi. Akan tetapi, sebenarnya orang yang berjaya dalam hidup mereka biasanya merasakan 24 jam yang diberikan cukup untuk melakukan berbagai-bagai perkara samaada tugasan yang didalam skop atau diluar skop. Apa yang penting ialah pengurusan masa itu sendiri. Apabila kita ingin berjaya dalam penyelidikan, kita perlu mengamalkan sikap memberi dengan lebih dan cara praktikal yang boleh dilakukan ialah dengan berdisiplin dan pengurusan masa yang betul.
Banyak sebenarnya yang boleh diperolehi dengan menghayati ungkapan ini. Saya berjaya dalam penyelidikan kerana mengamalkan sikap daripada ungkapan ini. Kebiasaannya saya akan datang awal ke makmal dan melakukan persediaan kerja-kerja eksperimen yang akan dilakukan. Kebanyakan daripada manusia yang normal akan berasa segar untuk bekerja pada waktu pagi, jadi pada waktu pagilah persediaan atau perancangan untuk hari tesebut dapat dilakukan dengan baik. Saya akan menjalankan kerja-kerja makmal lebih daripada skop kerja penyelidikan seperti dengan membasuh alat radas sendiri dan orang lain, menyapu makmal, menyusun peralatan didalam makmal dengan baik, membantu penyelia menguruskan projek penyelidikan, memberikan bantuan kepada pelajar lain sekiranya mereka perlukan bantuan dan berbagai-bagai lagi tugasan yang dapat menjadikan makmal berada dalam keadaan baik. Dengan cara inilah sebenarnya saya mendapat pengalaman dalam menguruskan projek penyelidikan, pengurusan makmal, pengembangan ilmu pengetahuan dan lain-lain. Saya memberikan lebih tenaga dan masa saya kepada kerja-kerja diluar skop penyelidikan berbanding orang lain, dan saya peroleh kejayaan dalam penyelidikan dan berjaya dalam hidup.
Ingat, ungkapan “lebih banyak bagi, lebih banyak dapat” bukan hanya perlu dilakukan tetapi perlu dihayati. Jangan melakukan kerja dengan lebih kerana inginkan duit lebihan, kenaikan pangkat, pujian atau balasan balik tapi lakukan kerja dengan lebih kerana ilmu dan pengalaman yang sukar dicari dan diperolehi. Balasan yang diperolehi hasil daripada sikap ini akan datang dalam hidup kita secara abstrak yang perlu difikirkan secara mendalam. Jadi, cuba untuk menjalani kehidupan penyelidik dengan mengamalkan sikap pemberian yang lebih, kelak banyak perkara yang akan diperolehi.