Yakin pada diri sendiri sangat penting apabila kita melakukan kerja-kerja penyelidikan bersama dengan rakan-rakan lain dan juga rakan-rakan penyelidikan. Biasanya, rakan-rakan tersebut kebanyakannya bukan dalam bidang yang sama. Apabila menjalankan kajian atau penyelidikan dalam bidang yang berbeza, cara penyelidikan dan kerja eksperimen juga turut berbeza. Kita tidak boleh mengikut atau dipengaruhi oleh rakan-rakan yang menjalankan penyelidikan yang lain daripada kita. Kita perlu mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri bahawa perkara yang ingin dilakukan atau dirancang adalah datang daripada ilmu kita sendiri melalui hasil pembacaan kita dan hasil pemahaman kita. Yakin pada diri sendiri sangat penting apabila kita ingin membuat keputusan terhadap sesuatu eksperimen.

Walaubagaimanapun, yakin pada diri sendiri juga ada hadnya dimana kita tidak boleh terlalu yakin sehinggakan nasihat daripada pakar-pakar pun tidak diambil kira. Kita perlu yakin pada diri sendiri setelah kita memahami perkara yang ingin dibuat dengan jelas. Kita perlu mendapatkan maklumat dengan jelas dan terperinci berhubung dengan perkara yang ingin dilakukan dan akhirnya, kita perlu yakin dengan diri sendiri semasa menjalankan perkara tersebut. Perkara ini biasanya berlaku apabila kita ingin merancang untuk eksperimen yang akan dijalankan. Rakan-rakan atau penyelia kita biasanya tidak mengetahui kaedah eksperimen secara lebih terperinci. Oleh yang demikian, kita perlu mencari sendiri kaedah tersebut dan mendapatkan maklumat secara terperinci bagaimana eksperimen dijalankan dan kemudiannya merangka eksperimen melalui pemahaman sendiri. Kemudian, barulah bertanya kepada orang lain bagi meminta pandangan dan pendapat daripada pakar-pakar penyelidikan. Akan tetapi, kita perlu yakin terlebih dahulu sebelum bertanya kepada orang lain.

Yakin kepada diri sendiri juga bermaksud mempunyai keyakinan yang tinggi dalam diri dalam menjayakan eksperimen-eksperimen dan penyelidikan yang dibuat. Boleh dikatakan semua orang yang berjaya dalam kehidupan mereka sentiasa berkeyakinan tinggi pada setiap masa dan waktu. Mereka akan mempercayai diri sendiri bahawa dengan cara yang dibuat melalui pemahaman mereka sendiri, mereka dapat berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Begitu juga dengan seorang penyelidik yang inginkan kejayaan dalam penyelidikan, berkeyakinan tinggi dan yakin pada diri sendiri akan membantu menghasilkan penyelidikan yang baik.

Cara yang paling baik dalam meningkatkan keyakinan diri sendiri ialah dengan sentiasa bercakap kepada diri sendiri bahawa kita percaya yang kita boleh dan mampu untuk berjaya. Kita perlu memberitahu kepada diri sendiri pada setiap masa dan ketika. Kita perlu sentiasa sedar bahawa tiada siapapun dapat menghalang kita daripada berjaya melainkan diri sendiri. Dengan menanamkan sifat berkeyakinan tinggi, kita akan lebih proaktif dan sentiasa maju kehadapan. Cara lain yang boleh meningkatkan keyakinan diri adalah dengan mencabar diri sendiri dengan melakukan perkara yang berisiko tinggi dan mempunyai tahap kebarangkalian untuk gagal yang tinggi. Dengan melakukan perkara-perkara yang berisiko tinggi, kita melatih diri untuk sentiasa menghadiri cabaran dan melatih untuk sentiasa bersedia. Apabila kita sentiasa berani mengambil risiko dan kita yakin pada diri sendiri untuk berjaya, kita akan lebih biasa dengan perkara-perkara atau masalah-masalah yang kecil. Yakinlah pada diri sendiri kerana hanya diri sendiri yang dapat diubah, bukan orang lain.