Adakah anda benar-benar faham kajian yang anda jalankan? Adakah anda faham asas-asas kepada kajian anda? Adakah anda faham objektif atau tujuan kajian yang dijalankan? Adakah anda faham eksperimen yang ingin atau sedang dilakukan? Pertanyaan-pertanyaan inilah yang perlu ditanya kepada diri sendiri sebagai seorang penyelidik. Sebagai seorang penyelidik, kita perlu betul-betul faham tentang kajian kita bermula daripada asas sesuatu perkara seperti asas fizik, kimia, biologi, matematik dan lain-lain.

Dalam menjalankan penyelidikan saintifik, banyak perkara yang perlu difahami dengan jelas dan betul. Pemahaman tentang penyelidikan kita sebenarnya membantu dalam menjayakan penyelidikan yang sedang dijalankan. Sikap penyelidik yang tidak ingin memahami kerja penyelidikan dengan betul akan membantutkan kerja-kerja penyelidikan. Pemahaman yang jelas dalam sesuatu perkara akan membantu kita merancang kerja yang ingin dijalankan dengan baik dan juga, dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik.

Pemahaman yang dimaksudkan disini bergantung kepada bidang penyelidikan saintifik yang anda jalankan. Anda tidak perlu faham semua asas-asas dengan mendalam tapi anda perlu faham perkara yang betul-betul berkaitan dengan kerja penyelidikan anda. Sebagai contoh, apabila kajian anda melibatkan bahan tak organik untuk kegunaan baja, anda perlu faham asas bahan tak organik tersebut seperti asas pencirian, sifat-sifat bahan tersebut secara kimia dan fizikal, asas pembajaan, asas pokok dan sebagainya. Sekiranya anda ingin melihat faktor elemen yang terkandung dalam baja tersebut keatas pokok, anda perlu faham elemen-elemen yang terkandung dalam baja yang dibuat dan kesannya keatas pokok tersebut. Memahami elemen-elemen yang ada dalam baja terkandung dalam asas kimia dan kesan terhadap pokok terdapat dalam asas biologi. Pemahaman ini bergantung kepada kerja penyelidikan anda.

Banyak cara yang yang boleh dilakukan bagi memahami perkara yang ingin dilakukan. Dengan dunia tanpa sempadan sekarang ini iaitu dunia internet dimana semua maklumat boleh diperolehi dihujung jari kita, banyak maklumat boleh diperolehi dengan cepat. Kita hanya perlu membuat pencarian menggunakan enjin pencarian seperti Google, dan banyak maklumat yang akan kita perolehi. Adakah maklumat-maklumat ini sesuai dengan bidang kita? Adakah maklumat ini mencukupi untuk difahami? Adakah maklumat-maklumat ini relevan dengan bidang penyelidikan kita? Memahami sesuatu perkara tidak cukup dengan hanya melayari internet, akan tetapi kita perlu melakukan pencarian maklumat secara konvensional iaitu dengan membaca buku dan juga bertanya kepada yang pakar. Ini kerana, banyak maklumat yang ada dalam internet tidak diterima dalam bidang akademik kerana ianyan dianggap “tidak diterbitkan” secara formal kecuali bahan-bahan bacaan yang telah diakui kesahihannya.

Apabila menjalankan kajian secara saintifik, kita tidak boleh lari daripada memahami asas-asas sains iaitu asas fizik, kimia, matematik dan biologi. Dalam pembacaan buku, pemilihan buku-buku asas seperti buku asas sains perlu dibaca bagi memahami asas sesuatu perkara. Terdapat dua bidang penyelidikan saintifik yang biasa dijalankan iaitu kajian sains tulen dan kajian sains penggunaan. Kajian sains tulen merangkumi kajian asas sesuatu perkara yang melibatkan pemahaman secara mendalam sesuatu bidang seperti kajian yang melibatkan teori matematik yang baru, kajian terhadap sifat-sifat kimia bahan yang baru disintesis dan sebagainya. Manakala bagi kajian sains penggunaan, kita menggunakan asas sains bagi mengembangkan kajian yang dijalankan seperti kajian yang melibatkan bahan baru untuk rawatan air atau aplikasi teori matematik menggunakan komputer. Walaupun terdapat perbezaan antara kedua-dua bidang kajian ini, semuanya memerlukan asas yang perlu difahami.

Membaca buku-buku asas yang berkaitan dengan penyelidikan kita lebih sesuai untuk memahami asas kajian kita berbanding dengan membaca jurnal-jurnal penyelidikan yang terlalu tinggi bahasa saintifiknya. Pemilihan buku-buku yang ingin dibaca juga sangat penting. Kita tidak mampu untuk membaca kesemua isi kandungan buku-buku yang menerangkan mengenai asas-asas sains tapi kita boleh memilih buku-buku tersebut dan membaca subtopik yang relevan dengan penyelidikan kita. Perkara utama yang boleh dilakukan bagi pemilihan buku yang relevan ialah dengan memahami secara mendalam kajian yang ingin atau sedang dilakukan. Kita perlu memastikan kemanakah halatuju kajian yang ingin dijalankan, adakah kita ingin lebihkan kepada bidang kimia atau biologi ataupun bidang kejuruteraan.

Saya adalah seorang ahli kimia sejak daripada ijazah pertama dan ijazah sarjana. Semasa sedang melakukan pengajian diperingkat doktor falsasah (PhD), saya telah mendapat pekerjaan sebagai pensyarah di Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan. Jadi, saya perlu memastikan hala tuju PhD saya kearah kimia dan biosains dan saya memilih untuk mengkaji bahan baru tak organik sebagai bahan yang boleh membunuh bakteria (ejen antibakteria); campuran bidang kimia dan biologi. Dalam menjayakan kajian ini, saya perlu memahami lebih mendalam mengenai asas bakteria dan saya hanya faham serba sedikit mengenai bakteria semasa di sekolah menengah. Oleh yang demikian, saya telah berusaha untuk memahami asas bakteria melalui buku “Microbiology: An Introduction”. Buku ini adalah buku rujukan bagi mereka yang ingin mempelajari subjek mikrobiologi.

Dengan mendapatkan maklumat daripada buku ini, saya lebih memahami asas bakteria seperti sifat-sifatnya, pertumbuhan, jenis-jenis bakteria dan berbagai lagi maklumat asas berkenaan dengan bakteria. Maklumat-maklumat inilah yang banyak membantu saya dalam kajian pembangunan bahan ejen-antibakteria.

 

 

 

Jadi, sekiranya anda ingin berjaya dalam kerja penyelidikan, pastikan anda memahami kajian dan perkara yang anda lakukan secara terperinci. Carilah maklumat dengan betul dan relevan dengan kajian anda supaya anda lebih faham perkara asas dalam penyelidikan anda.