Buku “Mudahkan, Jangan Susahkan” yang ditulis oleh Syed Alwi Alatas sangat bermakna dalam menjalani kehidupan sebagai seorang yang berjaya. Saya tidak akan mengupas apa yang diceritakan dalam buku ini, tapi saya akan menerangkan konsep kehidupan ini sebagai seorang penyelidik yang inginkan kejayaan. Penyelidik yang ingin berjaya juga perlu mengamalkan konsep kehidupan seperti ini. Walaupun kita sentiasa mengatakan bahawa kerja penyelidikan adalah susah tapi sebenarnya itu adalah tanggapan kita semata-mata. Konsep ini bukanlah meminta kita untuk mengambil mudah perkara yang ingin dilakukan, tetapi lebih daripada kawalan minda kita untuk mengatakan mudah kepada sesuatu perkara yang ingin dilakukan.
Kerja penyelidikan yang dilakukan samaada dalam persiapan cadangan penyelidikan, menjalankan eksperimen, menganalisis data, menulis tesis atau artikel penyelidikan dan berbagai-bagai lagi aktiviti kerja penyelidikan akan terasa mudah apabila kita mengatakan perkara tersebut mudah (walaupun secara realitinya agak sukar untuk dilakukan). Kita cuba untuk memaksa minda kita mengatakan perkara yang ingin dilakukan mudah dan akhirnya perkara tersebut akan jadi mudah dan akhir sekali berjaya dilakukan. Berfikir untuk mengatakan sesuatu perkara yang ingin dilaksanakan mudah sama seperti cara pengendalian masalah yang telah diceritakan sebelum ini. Apabila kita menerima sesuatu tugasan, kita sepatutnya mengatakan ianya mudah dilakukan pada pertama kali diberi tugasan tersebut. Sebagai contoh, apabila kita ingin menyediakan kertas kerja cadangan penyelidikan, kita harus mengatakan kepada minda kita bahawa ianya mudah dilakukan dan disiapkan. Kita perlu mengatakan bahawa penulisan kertas kerja tersebut mudah dan senang dilakukan, kerja pencarian maklumat mudah dilakukan dan sebagainya. Jika kita mengatakan kerja menyiapkan cadangan penyelidikan adalah sukar dan payah untuk dilakukan, kita akan merasai ianya sukar dilakukan pada mula kita mencari maklumat sehingga kepada penulisan kertas kerja tersebut.
Kawalan minda ini sangat penting bagi kita dalam menyiapkan kerja-kerja penyelidikan. Ia sebenarnya membantu kita untuk mengurangkan tekanan kerja atau stress. Biasanya kita akan stress tanpa kita menyedarinya dan simptom-simptom stress sering muncul tanpa kita sedari dan kita tidak bersedia untuk menerimanya. Ini mungkin berlaku kerana kita sering mengatakan kepada minda kita perkara yang ingin kita lakukan sukar dilakukan dan disiapkan. Satu lagi perkara yang menyebabkan stress ialah apabila kita mengatakan bahawa kita tidak tahu perkara yang akan dilakukan. Kita sebenarnya tahu perkara yang akan dilakukan apabila kita membaca dan memahami perkara tersebut. Jadi, sebelum perkara tersebut dilakukan, kita sebenarnya “belum” tahu perkara yang ingin dilakukan. “Belum” tahu tidak sama dengan “Tidak” tahu, belum tahu bererti kita masih ada banyak cara untuk tahu mengenai perkara tersebut. Jadi, semua perkara yang ingin dilakukan sebenarnya bergantung kepada kawalan minda kita sendiri dan ianya bergantung kepada diri-sendiri. Perkara yang sukar akan jadi mudah apabila kita memikirkan perkara tersebut mudah pada permulaan kita berhadapan dengan perkara yang ingin dilakukan.
Menjadikan sesuatu perkara yang sukar itu mudah berbeza dengan menjadikan sesuatu kerja itu mudah atau mengambil mudah terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, apabila diberi tugasan untuk menjalankan eksperimen bagi penentuan bahan logam dalam air, kita memudahkan cara dengan hanya menentukan bahan logam tersebut menggunakan instrumen analisis tanpa memikirkan analisis saintifik yang berkaitan seperti perbandingan dengan bahan rujukan atau kawalan, keadaan instrumen tersebut samaada dalam keadaan baik atau tidak atau ianya tidak dikalibrasi dan banyak lagi perkara asas yang kita tinggalkan. Dalam kaedah analisis secara saintifik, kita perlu memikirkan berbagai perkara sebelum analisis dapat dipersembahkan seperti kualiti bacaan yang diperolehi melalui bacaan kawalan kualiti, kalibrasi alat, perbandingan dengan bahan kawalan dan juga kaedah statistik yang berkaitan seperti nilai korelasi ko-efisien bagi graf linear, nilai purata, sisihan piawai, t-test dan berbagai-bagai lagi kaedah sokongan yang berkaitan dengan analisis. Jika kita memudahkan cara dengan hanya mengambil satu bacaan dan melaporkan bacaan tersebut, kita sebenarnya tidak melakukannya secara saintifik, kita sebenarnya memudahkan sesuatu cara. Keadaan ini akan mengakibatkan data saintifik yang diambil tidak tepat dan jitu dan sukar untuk diterima oleh ahli-ahli sains.
Bagi contoh yang lain, kita sebenarnya sentiasa mengambil mudah eksperimen-eksperimen yang dilakukan terutamanya berkaitan dengan penggunaan bahan dan instrumen yang berkos tinggi dan sukar diperolehi. Kita sentiasa melakukan sesuatu eksperimen tanpa merancang secara sistematik dan saintifik eksperimen yang ingin dilakukan. Dalam perancangan eksperimen tersebut, kita perlu fikirkan berbagai-bagai perkara seperti penggunaan alatan atau bahan yang ada atau perlu dibeli, kesesuaian alatan yang ingin digunakan, masa, relevansi perkara tersebut dengan tujuan asal kerja penyelidikan kita dan sebagainya. Kita perlu fikirkannya secara sistematik dan saintifik menggunakan kaedah “SMART” dan kita juga perlu fikirkan ianya mudah untuk dilakukan.
Dalam zaman teknologi yang serba canggih ini terutamanya dalam penggunaan komputer dan aplikasi-aplikasi serta kemudahan yang diberikan untuk mencari maklumat dalam laman sesawang dalam internet sebenarnya memudahkan kita untuk berjaya dengan lebih cemerlang berbanding penyelidik-penyelidik lama (20 tahun dahulu). Sebenarnya, bagi mereka yang membuka minda seluas-luasnya, teknologi ini banyak memberi kemudahan kepada kita. Tapi ramai dikalangan kita yang masih belum merasai kemudahan yang diberikan dan masih lagi terikut-ikut dengan kaedah tradisional atau tidak menggunakan kemudahan yang diberikan secara maksimum. Ada yang masih lagi ketinggalan zaman dengan tidak mahu berusaha menggunakan aplikasi-aplikasi dalam komputer untuk memudahkan kerja-kerja penyelidikan.
Komputer banyak membantu memudahkan kerja penyelidikan kita apabila kita berusaha untuk mencari dan memahami aplikasi-aplikasi yang sesuai. Sebagai contoh, aplikasi Microsoft Excel atau SPSS dapat membantu kita mendapatkan bacaan statistik atau mendapatkan graf kaitan antara parameter-parameter, ada juga aplikasi yang membolehkan kita melakukan simulasi sebelum eksperimen dimulakan, kita juga dapat menyimpan seberapa banyak data yang boleh dikumpulkan atau diambil termasuklah video atau gambar-gambar yang berkaitan dan berbagai-bagai aplikasi yang memudahkan kita. Tambahan lagi dengan adanya komputer riba dan juga alatan menyimpan maklumat secara bergerak, kita boleh melakukan kerja penyelidikan dimana sahaja kita berada. Jadi, berusahalah untuk memudahkan kerja-kerja penyelidikan dengan berusaha untuk menggunakan komputer dan aplikasinya secara maksimum dan bukan hanya difahami secara asas sahaja. Teknologi ini sekiranya digunakan dengan baik dan secara bijaksana, dapat memudahkan kerja penyelidikan kita.
Jadi, dalam kerja penyelidikan saintifik kita hanya memikirkan sesuatu perkara itu mudah dalam kotak minda kita tapi janganlah kita mengambil mudah perkara-perkara yang ingin dilaksanakan atau disiapkan. Hanya kita diri sendiri yang mampu memudahkan kerja penyelidikan, bukan orang lain atau bukannya persekitaran luaran. Ingat “Mudahkan, jangan susahkan!”.