Sikap suka menangguh adalah sikap yang perlu dielakkan apabila kita ingin berjaya. Menangguh beerti membiarkan sesuatu perkara yang sepatutnya dilakukan dengan segera tetapi tidak dilakukan terlebih dahulu. Orang yang suka menangguh ialah orang yang suka melakukan sesuatu kerja tanpa memikirkan keutamaan dalam kerja tersebut. Orang yang suka menangguh biasanya dipenuhi dengan kerja-kerja yang tidak kehabisan dan sentiasa mempunyai kerja yang yang disiapkan. Kebiasaannya, orang yang suka menangguh dikaitkan dengan sikap membuat sesuatu perkara dengan sambil lewa dan membuat sesuatu kerja disaat-saat akhir menyebabkan kerja yang dilakukan kebanyakannya tidak sempurna. Orang yang menangguh juga biasanya banyak memberikan alasan untuk tidak menyiapkan sesuatu kerja dengan baik. Untuk berjaya dalam penyelidikan saintifik dan berjaya dalam kehidupan, elakkanlah daripada sikap suka menangguh kerana ia akan merugikan diri-sendiri dan masa seseorang.

 

Bagi mengelakkan daripada sikap suka menangguh, gunakanlah konsep “Utamakan yang utama”. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai konsep “Utamakan yang utama”, buku yang bertajuk “First Thing First” hasil nukilan Stephen Covey boleh dibaca dan difahami. Stephen Covey menerangkan konsep ini dalam bentuk pengurusan masa. 4-Quadran Metriks yang diperkenalkan oleh beliau menerangkan kaitan antara kepentingan sesuatu kerja dan keutamaan kerja tersebut samaada perlu disiapkan dengan segera atau tidak. Kaedah 4-Quadran Metriks akan membantu dalam pengurusan masa dan bagi mengelakkan daripada sikap suka menangguh semasa menjalankan kerja penyelidikan. Rajah 4-Quadran Metriks dengan contoh umum diberikan dalam Rajah disebelah. Dalam rajah ini terdapat 4 petak aktiviti yang perlu diisi bergantung kepada tahap kepentingan dan kesegeraan aktiviti tersebut. Penyelesaian secara umum bagi aktiviti-aktivi dalam quadran ini juga diberikan dalam rajah dibawah.

Contoh aktiviti-aktiviti umum dalam 4-Quadran Metriks

4-Quadran

Metriks

Segera Tak Segera
Penting Aktiviti:

–    Kerja-kerja (Laporan, mesyuarat, kertas kerja dll) yang perlu disiapkan untuk memenuhi tuntutan tarikh akhir yang semakin dekat.

–    Kerja-kerja yang perlu disiapkan kerana perubahan drastik yang berlaku.

–    Perancangan penyelidikan (Research proposal)

–    Menyelesaikan masalah.

Aktiviti:

–   Menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi.

–   Mencapai objektif utama dalam penyelidikan.

–   Latihan-latihan bagi peningkatan kemahiran.

–   Kajian literatur.

–   Mengenalpasti peluang-peluang baru.

–   Merancang idea-idea baru.

Kurang Penting Aktiviti:

–    Kerja-kerja yang tidak melibatkan keperluan tarikh akhir seperti laporan, slaid pembentangan dll.

–    Kerja-kerja pentadbiran.

–    Mesyuarat-mesyuarat.

–    Pembaikan kerosakan alat seperti kereta, komputer, telefon dll.

Aktiviti:

–  Kerja-kerja remeh.

–  Kerja-kerja yang tidak berkaitan dan tidak berfaedah.

–  Menonton TV atau video.

–  Melayari internet.

–  Membuat spekulasi sendiri atau bersembang.

 

Penyelesaian dalam kaedah 4-Quadran Metriks

  Segera Tak Segera
Penting Q1: URUSKAN Q3: FOKUS
Kurang Penting Q2: ELAKKAN Q4: KURANGKAN

Dalam contoh 4-quadran metriks yang diberikan, terdapat 4 jenis aktiviti-aktiviti yang berbeza mengikut kepentingan dan kesegeraan aktiviti yang ingin dilaksanakan. Dapat diperhatikan dalam quadran pertama (Q1), kebanyakan aktiviti melibatkan kerja yang perlu disiapkan sebelum masa atau tempoh tamat kerja tersebut. Ianya bergantung kepada situasi atau keadaan seseorang. Apabila anda perlu menyiapkan rancangan penyelidikan untuk dihantar secepat mungkin, anda perlu menguruskan dengan baik dan fokus dengan perkara ini. Elakkan daripada menangguh aktiviti-aktiviti atau kerja-kerja yang berada di quadran pertama. Cara penyelesaian yang baik bagi menyelesaikan aktiviti yang terdapat di quadran 1 ialah dengan menguruskannya dengan baik dan utamakan kerja di quadran 1 terlebih dahulu berbanding tugasan di quadran-quadran yang lain dan siapkan dengan kadar segera.

 

Contoh lain bagi aktiviti di quadran 1 ialah apabila situasi anda ingin menghantar tesis penyelidikan pada hujung semester. Penghantaran tesis penyelidikan yang telah lengkap ke pihak fakulti atau pusat penyelidikan biasanya melibatkan tarikh akhir dan selepas daripada tarikh akhir tersebut, anda tidak dibenarkan untuk menghantar tesis tersebut dan dianggap gagal. Jadi, semasa berada disituasi ini, aktiviti-aktiviti yang melibatkan proses penyediaan tesis yang lengkap perlu berada di quadran 1 dan perlu diberi tumpuan. Antara aktiviti-aktiviti dalam quadran 1 ialah penulisan kajian literatur yang baik dan tersusun, menyediakan gambarajah hasil eksperimen yang berkualiti tinggi, menyemak format tesis, memberikan kepada penyelia untuk disemak, melakukan pembetulan keatas komen yang diberikan oleh penyelia dan menyemak kembali hasil penulisan daripada awal hingga akhir tesis. Aktiviti-aktiviti ini perlu dilakukan dengan secepat mungkin dan jangan menangguh perkara yang perlu diberikan keutamaan. Penangguhan aktiviti-aktiviti ini akan merugikan masa anda dan akan memberikan kesan negatif terhadap tesis penyelidikan anda.

 

Dalam quadran 2, kebanyakan daripada aktiviti-aktiviti biasanya melibatkan perkara yang boleh dielakkan dan kurang memberi manfaat kepada diri seorang penyelidik. Banyakkan mengelak atau kurangkan aktiviti dalam quadran 2 ini kerana ia akan mengganggu aktiviti utama yang berada dalam quadran 1. Cara terbaik untuk mengatasi daripada banyak aktiviti berada dalam quadran 2 ialah dengan menyelesaikan kerja-kerja ini dengan baik, bijak dan berkesan. Laksanakanlah kerja-kerja yang dirancang dengan cepat dan pantas tetapi mengekalkan kualiti kerja yang baik. Sebagai contoh, laporan eksperimen yang ingin diberikan kepada ketua penyelidik perlu disediakan secara ringkas dan padat tanpa memperincikan setiap eksperimen yang dijalankan. Ini kerana laporan eksperimen berbeza dengan artikel atau kertas-kerja penyelidikan yang perlu diberikan tumpuan sekiranya artikel atau kertas kerja ini ingin diterbitkan oleh jurnal berimpak tinggi.

 

Aktiviti-aktiviti yang berada dalam quadran 3 iaitu aktiviti yang penting tetapi tidak perlu disegerakan perlu diberikan fokus sepenuhnya. Walaupun aktiviti-aktiviti ini akan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan atau dicapai, ianya perlu diberikan perhatian daripada mula ianya dirancang sehingga ke akhirnya. Sebagai contoh, kajian literatur berkaitan penyelidikan yang dilaksanakan perlu sentiasa dilakukan bermula daripada penyediaan kertas kerja perancangan penyelidikan kemudiannya semasa eksperimen dijalankan sehinggalah kepada laporan akhir penyelidikan tersebut. Tambahan lagi, kajian literatur perlu sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa kerana bahan literatur akan sentiasa bertambah dan berkembang dari semasa ke semasa.

 

Contoh aktiviti lain yang berada di quadran 3 ialah pencapaian objektif-objektif penyelidikan. Bagi mencapai objektif penyelidikan yang dirancang,  penyelidik perlu memfokuskan aktiviti-aktiviti atau eksperimen yang dijalankan supaya ianya berada dilandasan yang betul. Bagi mencapai objektif penyelidikan, ia memerlukan masa yang agak lama kerana banyak perkara yang perlu disiapkan secara bersistematik dan terdapat banyak halangan yang perlu ditempuhi dalam mencapai objektif berkenaan.  Halangan-halangan yang tidak diatasi dengan baik biasanya membantutkan pencapaian sesuatu objektif tetapi ianya dapat dicapai sekiranya kita memberikan fokus dan perhatian terhadap perkara–perkara yang boleh mencapai objektif kajian.

 

Kebiasaannya, seseorang yang mempunyai banyak aktiviti-aktiviti yang berada dalam quadran 4 dianggap kurang berjaya kerana mereka mengamalkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah kepada kehidupan contohnya banyak menonton televisyen, wayang, bersiar-siar dan melayari internet. Aktiviti-aktiviti ini bukan hanya tidak penting malahan tidak perlu disegerakan dan ianya perlu dikurangkan. Bagi ahli penyelidik yang ingin berjaya, disiplinkan diri untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti di quadran 4 ini. Apabila aktiviti-aktiviti diquadran 4 bertambah dari semasa-semasa, ianya akan membantutkan kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti yang berada diquadran lain terutamanya dalam quadran 1 dan 3 dimana ianya penting dalam menjayakan penyelidikan yang dirancang dan dilaksnakan.

 

Anda perlu bijak menyusun strategi menyenaraikan aktiviti-aktiviti dalam 4-quadran metriks ini. Susunan aktiviti bergantung kepada situasi atau keadaan anda pada sesuatu masa. Bagi anda yang sedang dalam proses penyediaan perancangan penyelidikan, anda tidak boleh samakan dengan aktiviti-aktiviti bagi penyelidik yang sedang menjalankan eksperimen atau yang sudahpun menyiapkan tesis atau laporan penyelidikan. Lihat situasi anda dan rancanglah tugas anda dengan baik.

Sekiranya anda stress atau tertekan dengan tugasan yang terlampau banyak, inilah masanya untuk anda berfikir sejenak menyusun strategi tugasan yang ingin disiapkan melalui kaedah 4-quadran metriks. Dengan adanya kaedah yang sistematik ini, anda akan melatih diri untuk mengutamakan tugasan, aktiviti dan kerja yang perlu diutamakan dan akhirnya mengelak daripada suka menangguhkan sesuatu kerja.