Pada zaman sekarang, berbagai-bagai rintangan yang terpaksa kita tempuhi untuk berjaya dalam kehidupan. Dalam pada mengharungi rintangan dan halangan tersebut, ada juga peluang yang tersembunyi yang memberikan kebaikan kepada kehidupan kita. Bagi mencari peluang yang baik untuk maju kehadapan, kita perlulah bersifat terbuka dan fleksibel terhadap sesuatu perkara. Begitu juga dalam menjayakan penyelidikan, bersikap terbuka terhadap sesuatu perkara dan membuat keputusan secara fleksibel dapat membantu menyelesaikan banyak masalah dan seterusnya dapat mengharungi rintangan yang dihadapi.

 

Lawan kepada terbuka ialah tertutup iaitu tidak membenarkan sesuatu perkara masuk dalam diri. Bersifat terbuka beerti mudah untuk menerima perkara-perkara lain kedalam diri dan kehidupan kita. Bersifat dan bersikap terbuka terhadap sesuatu yang baru dan berlainan daripada perkara rutin adalah salah satu daripada amalan menghasilkan sesuatu perkara melalui kreativiti dan inovasi. Kita akan lebih kreatif apabila kita bersifat terbuka kerana kreativiti memerlukan kita bertindak menggunakan kaedah lain tetapi hasil yang sama akan diperolehi. Kebanyakannya akan mengatakan hasil daripada kreativiti ialah sesuatu perkara yang pelik dan sesetengahnya tidak masuk akal. Sebenarnya, kreativitilah yang mendorong manusia untuk mengharungi kehidupan di alam ini. Kita sendiri yang menentukan samaada kita ingin berfikiran terbuka atau tidak dan orang lain tidak mampu mengubah diri kita.

 

Daripada eksperimen yang dijalankan, kadang-kala kita tidak dapat membuktikan hasil daripada teori yang kita bangunkan. Teori yang dibangunkan adalah berdasarkan pembacaan dan pemahaman kita terhadap asas-asas sains sesuatu perkara dan juga hasil daripada penyelidikan-penyelidikan terdahulu. Dalam penyelidikan, biasanya kita akan banyak membaca jurnal-jurnal penyelidikan (artikel mengenai hasil penyelidikan yang lepas) yang relevan dengan penyelidikan. Hasil daripada pembacaan inilah yang akan membantu penyelidik menghasilkan teori seterusnya merancang untuk membuktikan teori tersebut melalui kaedah eksperimen. Kebanyakan teori saintifik yang dihasilkan tidak sama dengan keadaan sebenar sesuatu perkara. Contohnya, semasa menjalankan PhD, saya menghasilkan teori bahawa molekul yang terjerap diatas permukaan bahan tak organik yang saya kaji akan dilepaskan keluar apabila berada dalam keadaan akues (air). Akan tetapi, apabila saya menjalankan eksperimen, hasil yang diberikan berbalik dengan teori iaitu molekul yang terjerap tersebut tidak terkeluar daripada bahan tak organik tersebut dan masih lagi berada pada permukaan bahan tersebut. Teori yang dihasilkan kurang tepat kerana ia tidak menepati hasil kajian yang diberikan. Oleh kerana saya bersifat terbuka dan suka mencuba sesuatu yang baru secara kreatif, saya mencuba beberapa eksperimen lain yang dapat menyokong hasil kajian yang diperolehi. Hasil daripada beberapa eksperimen yang dijalankan juga turut membuktikan ketidaktepatan teori yang diberikan. Jadi, teori baru muncul berdasarkan hasil daripada eksperimen lain yang dijalankan.

 

Bersifat fleksibel atau kata berlawanannya tetap dan teguh mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan sifat terbuka. Apabila kita ingin mempunyai sifat terbuka kita mestilah bersifat fleksibel iaitu mudah untuk berubah dan tidak tetap atau teguh perlaksanaannya. Jadilah seperti plastik yang mudah untuk dilenturkan dan elakkan menjadi kayu yang sukar dibengkokkan dan akan mereput. Apabila kita bersifat terbuka dan seterusnya fleksibel dalam apa jua perkara yang kita lakukan, kita sebenarnya memudahkan perkara tersebut. Dalam penyelidikan saintifik terutamanya semasa ingin menjalankan eksperimen bagi mendapatkan data dan seterusnya membuktikan teori atau hipotesis yang dihasilkan, kita akan sentiasa cuba untuk mengikut dengan tepat apa yang kita rancangkan dalam perancangan penyelidikan sehinggakan banyak masa dan kos yang kita bazirkan untuk menyiapkan eksperimen tersebut. Ingat, perancangan penyelidikan hanyalah perkara yang kita rancang dan ianya tidak tetap. Apa yang kita rancang tidak semestinya sama dalam situasi sebenar. Secara realitinya, banyak faktor yang perlu diambilkira semasa menjalankan sesuatu eksperimen. Kita boleh mengubah apa yang kita rancang melalui sikap terbuka dan fleksibel dengan perancangan tersebut. Apa yang penting ialah perubahan yang dilakukan terhadap sesuatu eksperimen atau pengubahsuaian eksperimen dapat mencapai objektif yang telah dirancang.

Seperti yang ditunjukkan dalam rajah diatas, sebenarnya terdapat berbagai cara untuk mencapai sesuatu objektif. Mengikut kaedah A, seseorang akan bertemu dengan 2 simpang sebelum mencapai objektif manakala bagi kaedah B, kaedahnya adalah secara terus. Bagi kaedah C, kelihatan seperti kaedah yang kompleks dan adakalanya terpaksa berpatah balik dan akhirnya mencapai objektif yang dicadangkan sama seperti kaedah A dan B. Sebagai contoh, jika seorang penyelidik ingin membuat penentuan sesuatu bahan yang terkandung dalam air seperti ion kromium (Cr), banyak cara yang boleh dijalankan antaranya menggunakan kaedah secara gravimetri, spektroskopi penyerapan atom atau penggunaan spektroskopi ultralembayung-nampak selepas pengekstrakan dengan larutan berwarna. Akan tetapi, kaedah yang digunakan mestilah sesuai dengan keadaan sampel yang dikaji. Akhirnya, objektif yang sama akan tercapai.

 

Cubalah untuk mengikuti perancangan penyelidikan yang dicadangkan secara baik, tetapi sekiranya berhadapan dengan masalah, cubalah bersifat terbuka dan fleksibel supaya penyelidikan yang dijalankan akan berakhir dengan kesudahan yang baik pada masa yang telah ditetapkan dan tidak menyusahkan diri.