JOHOR BAHRU, 20 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia melalui Centre for Sustainable Nanomaterials (CSNano) dengan kerjasama Persatuan Zeolit Malaysia (MyZA) telah berkongsi kepakaran dan ilmu bagi menjayakan projek lestari Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini (SKTMR), Johor Bahru, Johor, pada 13 September 2022 yang lalu.

Program anjuran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ini selaras dengan pemilihan SKTMR sebagai penerima dana berprestij daripada pihak MBIP untuk membangunkan projek lestari di peringkat sekolah.

Menurut En. Rozaiherman bin Md Aros, selaku guru yang bertanggungjawab menyelaras projek lestari, SKTMR menyambut baik pemilihan ini dan memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak CSNano dan MyZA melalui pemindahan kepakaran daripada kedu-dua institusi kepada warga sekolah.

Justeru, bagi merealisasikan inisiatif ini, delegasi CSNano dan MyZA, yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam bin Nik Malek, telah mengadakan Bengkel Lestari Penggunan Zeolit Sebagai Bahan Tambah Baja yang melibatkan 5 orang wakil guru dan 20 orang pelajar. Dalam bengkel ini, pemindahan ilmu melalui taklimat dan aktiviti praktikal telah dijalankan bagi memberikan pengetahuan dan gambaran realistik mengenai penggunaan zeolit tersebut kepada komuniti.

Zeolit yang merupakan bahan mineral semula jadi daripada gunung berapi dilihat dapat mengurangkan pelepasan baja ke dalam tanah yang seterusnya dapat mengurangkan pencemaran bahan kimia pada tanah sekitaran.

Program khidmat masyarakat ini merupakan kolaborasi yang julung kalinya diadakan antara CSNano, MyZA dan SKTMR. Program ini dilaksanakan selari dengan misi utama MyZA, iaitu untuk memperkenalkan zeolit ke seluruh Malaysia dan menyebar luas potensi zeolit dalam pelbagai kegunaan.

Baca selanjutnya di newshub UTM