Dalam Al-Quran, kurma disebut sebanyak dua puluh kali yang mana lapan kali disebut secara berasingan dan dua belas kali disebut bersama dengan buah-buahan lain seperti delima, anggur dan minyak zaitun.
Rasulullah SAW sangat suka makan kurma. Saidina A’ishah RA berkata pada suatu ketika rumah mereka tidak memasak makanan selama dua bulan, tetapi mereka hanya makan kurma dan minum air sehingga pada suatu hari Rasulullah SAW mengatakan pentingnya mempunyai kurma dalam rumah. Saiyidina A’ishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis, Sahih Muslim, 5078).
Antara hadis yang menyebut tentang sahur dan berbuka puasa dengan kurma adalah “Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma”. (Hadis, Sunan Abu Daud 2338).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Apabila diantara kalian berpuasa, maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka berbukalah dengan air, sebab air itu suci”. (Hadis, Imam Abu Daud, Al-Baihaqi dan Al-Hakim).
Seterusnya, Anas bin Malik meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW biasa berbuka puasa sebelum sembahyang maghrib dengan ruthob (kurma basah), jika tidak ada ruthob, maka beliau berbuka dengan tamar (kurma kering), dan jika tidak ada tamar, beliau meminum seteguk air”. (Hadis, Imam Abu Daud, 2356).
KURMA DAN MENTEGA?
Bagi yang belum cuba, boleh buat untuk berbuka puasa.
Dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata:
دخل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم
)فَقَدَّمْنَا زُبَدًا وَتَمْرَا وكان يُحِبُّ الزُبَدً والتمر(
“Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar.”
(Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
• Kurma mempunyai kandungan serat dan gula ringkas yang tinggi berbanding buah lain.
• Kurma baik untuk orang yang hendak menahan lapar (Dimakan sewaktu sahur):
o Serat menahan nutrisi daripada dicernakan
o Serat menahan makanan dalam perut dalam jangka masa yang lama.
o Serat dapat menjerap lemak dan kolesterol menjadikan saluran darah sihat dan seterusnya menyihatkan jantung.
• Kurma baik untuk orang yang lapar (Dimakan sewaktu berbuka)
o Gula ringkas seperti fruktosa dan glukosa akan ditukarkan kepada tenaga dalam masa yang cepat.
o Rasa manis kurma mengurangkan rasa ingin makan/minum bahan manis yang lain.
o Kandungan gula fruktosa yang tinggi dan GI rendah tidak menjejaskan kesihatan pesakit diabetes.
Sumber:
1. Nail, R. (2023). Are Dates Healthful? Medical News Today.
2. Falk, M. (2021). The Top Health Benefits of Dates, Explained. finance.yahoo.com.
3. Elliot, B. (2022). 8 Proven Health Benefits of Dates. Nutrition, Healthline.
Dr Aminudin Hehsan (Pengarah CFirst, ISI-SIR, UTM)
Prof Madya Ts ChM Dr Nik Ahmad Nizam (Pengarah CSNano, ISI-SIR, UTM)