Motivasi? Apakah sebenarnya motivasi? Adakah anda faham mengenai motivasi? Saya mula faham mengenai motivasi semasa dalam kelas Prinsip Pengurusan sewaktu mengambil Ijazah Sarjana Muda dahulu. Pensyarah subjek tersebut bertanyakan mengenai motivasi dan saya menjawab “Motivasi ialah sesuatu yang ada dalam diri kita yang membantu kita menjadi orang yang lebih baik daripada sebelumnya. Jika semalam kita seorang yang baik, hari ini kita cuba berusaha menjadi yang lebih baik dan keesokannya akan menjadi hebat dan seterusnya. Motivasi akan mendorong kita untuk menjadi seorang yang berjaya”. Pensyarah tersebut setuju dengan penerangan yang diberikan dan beliau menerangkan bahawa motivasilah memandu seseorang untuk mencapai kejayaan. Pada masa menjawab soalan ini, saya terfikirkan perubahan yang sudah pun berlaku dalam diri saya semenjak dari bangku sekolah lagi sehingga masuk ke universiti terutamanya dalam aspek “kurang belajar” kepada “belajar bersungguh-sungguh” dan daripada kurang mengingati tuhan kepada lebih mengingati tuhan dan seumpamanya. Motivasi inilah yang mendorong saya dalam menjalankan penyelidikan sehingga dapat mencapai pelajaran diperingkat tertinggi (Doktor Falsafah) pada usia yang agak muda.
Motivasi ada dalam setiap manusia, ianya perlu disemai, diusahakan dan direalisasikan. Seseorang yang inginkan motivasinya meningkat perlu berusaha untuk memahami cara yang betul dan praktikal dalam mengendalikan kehidupan. Terlalu banyak cara yang terbaik untuk meningkatkan motivasi, contohnya, berdisiplin, berfikir sebelum bertindak, bekerja bersungguh-sungguh, selalu berdoa dan bermacam-macam lagi tindakan yang boleh diambil. Apa yang penting ialah cuba untuk berubah daripada yang biasa kepada yang lebih baik daripada sehari kesehari dengan cuba berusaha untuk melaksanakan saranan-saranan yang diberikan dalam buku ini. Usaha adalah dalam diri seseorang. Kita tidak mampu mengubah orang, tapi kita mampu untuk mengubah diri sendiri.
Apa kaitannya motivasi dengan penyelidikan? Saya nampak kaitannya apabila saya beroleh kejayaan dalam pelajaran diperingkat sarjana dan doktor falsafah berbekalkan motivasi. Pengajian dalam sarjana dan doktor falsafah adalah berkenaan dengan penyelidikan sepenuhnya. Boleh dikatakan saya telah membaca buku motivasi setiap hari sewaktu pengajian ini. Saya telah menetapkan dalam diri saya yang saya perlu baca buku motivasi sekurang-kurangnya satu helai pada satu hari. Sehingga selesai pengajian saya, sudah lebih daripada 30 buah buku motivasi yang telah saya baca. Bukan hanya membacanya, saya cuba berusaha untuk melaksanakan dan merealisasikan saranan yang diberikan dalam buku tersebut. Contohnya, buku daripada Stephen Covey yang menerangkan mengenai cara menjadi seorang yang efektif. Salah satunya ialah memulakan sesuatu perkara dengan “Begin with the end in mind”. Maksudnya, saya perlu fikirkan hasil terakhir daripada apa yang saya buat. Saya fikirkan untuk mendapatkan ijazah PhD saya daripada Canselor UTM semasa konvokesyen sewaktu saya mula-mula menjalankan penyelidikan. Dan, hasilnya, saya telah mendapat ijazah tersebut. Ini adalah hanya contoh biasa yang dilakukan oleh orang yang berjaya, banyak lagi contoh-contoh lain yang perlu dibuat.
Menjalankan penyelidikan terutamanya yang melibatkan penyelidikan saintifik memerlukan motivasi yang tinggi kerana kebanyakan daripada penyelidikan tersebut adalah kaedah “cuba” dan “jaya”. Kebanyakan daripada situasi penyelidikan ialah cuba dan terus mencuba sehingga berjaya. Jadi, tingkatkan motivasi dalam diri anda dengan melaksanakan perkara-perkara yang sepatutnya yang disarankan oleh pakar-pakar motivasi atau daripada mereka yang telah berjaya. Semoga dengan peningkatan motivasi tersebut akan membuahkan hasil penyelidikan yang mantap dan juga berjaya dalam kehidupan anda.