Kebanyakan daripada orang-orang yang telah pun berjaya dalam hidup mereka mempunyai sifat-sifat yang sama. Antara sifat utama yang sama yang menjadikan mereka berjaya ialah sifat keteguhan iaitu sifat yang tidak mudah mengalah. Sukar untuk saya menterjemahkan maksud keteguhan ini, akan tetapi keteguhan dalam bahasa Inggerisnya, “Perseverance” adalah satu sifat yang bersangkutan dengan peribahasa melayu yang sering kita dengar iaitu:

Berakit-rakit ke hulu,

Berenang-renang ke tepian,

Bersakit-sakit dahulu,

Bersenang-senang kemudian.

Bagi memahami dengan lebih mendalam makna keteguhan ini, diberikan sinonim bagi perkataan “Perseverance” iaitu:

  • Insistence – Desakan
  • Firmness – Keteguhan, ketetapan, kekukuhan
  • Resolve – Azam
  • Determination – ketabahan

Kebanyakan daripada mereka yang berjaya pada hari ini pernah bersakit-sakit sebelum mendapatkan kejayaan. Mereka pernah menempuh pelbagai kesusahan, rintangan dan kepayahan bagi merealisasikan matlamat yang ingin dicapai. Ada yang terpaksa mengurangkan masa tidur, mengurangkan masa terluang bersama keluarga, menghabiskan duit poket, dan berbagai-bagai lagi perkara yang dibuat bagi memastikan matlamat yang dituju akhirnya tercapai. Ada yang bertahun-tahun tidak mengecapi nikmat kesenangan bagi memastikan matlamat utamanya tercapai. Begitu juga dalam menjalankan penyelidikan dan sekiranya ingin berjaya dengan cemerlang dalam penyelidikan yang dijalankan, sifat dan sikap ini perlu difahami dan dilaksanakan.

Apabila diperkatakan mengenai keteguhan ini (perseverance) ini, saya teringat semasa saya menjalankan penyelidikan dahulu. Semasa menjalankan penyelidikan terutamanya dalam melaksanakan eksperimen yang memerlukan data hasil yang boleh digunakan dan tepat dan berguna untuk penghasilan tesis dan juga diterima dalam kertas kerja diperingkat antarabangsa, saya perlu mempunyai keteguhan diri yang tinggi. Dalam bidang kimia, bagi mendapatkan hasil yang tepat, eksperimen perlu dijalankan secara berhati-hati. Pada masa tersebut, saya kurang mempunyai masa untuk berehat dan bersenang-lenang dan saya kurang tidur. Saya juga memaksa diri sendiri untuk belajar apa yang baru dan diperlukan untuk penyelidikan. Saya memaksa diri untuk sentiasa berfikir tentang penyelidikan saya sehinggakan setiap masa dalam kehidupan saya hanya terfikirkan mengenai penyelidikan kerana saya pasti jika saya mahukan kejayaan dalam penyelidikan, saya perlukan keteguhan diri sama seperti mereka yang sudah pun berjaya. Dan akhirnya, apabila saya berjaya dalam penyelidikan yang dijalankan, saya rasa amat berbaloi dengan usaha yang diberikan.

Setiap penyelidik perlu mempunyai sifat keteguhan dalam diri sendiri. Ia dapat dipupuk dalam diri sendiri dengan cara mengawal emosi, mengawal minda dan sentiasa berfikiran positif. Setiap penyelidik yang melakukan penyelidikan sepenuh masa perlu sentiasa memikirkan cara untuk menjadikan diri sentiasa sibuk dengan aktiviti-aktiviti ke arah mencapai objektif penyelidikan. Contohnya, apabila mahukan hasil penyelidikan yang baik yang dapat digunakan dalam tesis atau kertas kerja penyelidikan yang dapat diterima diperingkat antarabangsa, seseorang itu perlulah sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa bagi memastikan hasil yang diperoleh diterima. Bagi merealisasikan objektif ini, seseorang itu perlu mengorbankan masa dan tenaganya bagi menghasilkan eksperimen yang berkualiti. Keteguhan ini ada dalam diri masing-masing, cuma ianya perlu ditonjolkan dan dikeluarkan.