Seseorang yang berjaya dalam kehidupan adalah orang yang berjaya mengawal mindanya. Mereka tidak membiarkan mindanya dikawal oleh orang lain atau persekitaran luaran. Orang yang dapat mengawal minda bermakna seseorang yang mempunyai motivasi dalaman yang tinggi. Faktor luaran dan sekitaran luaran tidak dapat merendahkan tahap motivasi diri mereka. Mereka tidak akan mudah putus asa, sentiasa berusaha, rajin, berdisplin, berkeyakinan tinggi dan berbagai-bagai lagi sikap yang positif yang ditonjolkan dalam bentuk kelakuan yang baik. Bagi mereka yang inginkan kejayaan dalam penyelidikan, kawalan minda yang mantap amat perlu bagi seseorang penyelidik kerana banyak faktor-faktor luaran dan sekitaran yang akan mengganggu proses penyelidikan seperti kekurangan peruntukan kewangan, instrumen dan alat yang rosak, infrastruktur yang kurang memuaskan, tahap pengetahuan pekerja yang mengendalikan instrumen lemah dan berbagai lagi faktor luaran. Ada juga faktor luaran daripada diri yang sering mengganggu kerja-kerja penyelidikan, contohnya kekangan masa, faktor keluarga, kesihatan yang terjejas, kurang kemahiran dalam berbahasa Inggeris dan seumpamanya. Perkara-perkara seumpama inilah sebenarnya yang banyak mengganggu dalam menghasilkan kejayaan dalam diri dan dalam penyelidikan yang dijalankan. Sekiranya seseorang itu terlalu menyalahkan faktor luaran ini, mereka akan sentiasa berfikiran negatif dan gagal dalam penyelidikannya. Oleh sebab itulah, adalah sangat penting untuk mengawal minda anda supaya apa yang berlaku disekitaran anda dapat diatasi dengan bijak dan baik.

Bagaimana caranya untuk mengawal minda? Ia boleh dilakukan dengan cara melakukan secara sedar berulang-ulang kali sehingga ia menjadi kelakukan dibawah sedar (separa sedar). Caranya sama seperti anda belajar untuk mahir mengayuh basikal atau memandu kenderaan atau belajar menulis semasa kecil. Sekiranya anda ingin mahir untuk mengayuh basikal dan membawanya, anda akan cuba berusaha untuk membawanya sebanyak mana yang boleh. Semasa anda mula-mula naik basikal, anda akan mengawal basikal tersebut secara sedar (conscious). Anda cuba seimbangkan basikal tersebut sehingga tidak jatuh. Tetapi, lama kelamaan, apabila tiap-tiap hari anda membawa basikal tersebut, anda kemudiannya mahir membawa basikal tersebut dan akan membawa basikal tersebut secara automatik. Keadaan ini adalah tindakan dibawah sedar (Subconcious). Banyak lagi keadaan yang mula-mulanya kita akan melakukan secara sedar dan lama-kelamaan ianya akan berlaku secara automatik iaitu secara kita tak sedar. Oleh yang demikian, cara ini juga sesuai dipraktikkan apabila anda ingin mengawal minda anda. Sekiranya anda sukar untuk bangun pada awal pagi disebabkan sudah menjadi kebiasaan untuk bangun pada lewat pagi pada setiap hari, anda boleh memberitahu dan mengingatkan minda anda untuk bangun awal pagi sebelum daripada tidur. Pada pagi tersebut, anda perlu memaksa diri untuk bangun awal dan cuba berusaha untuk mengulangi perkara yang sama setiap hari sehingga ia menjadi keadaan yang biasa.

Begitu juga dengan kawalan minda bagi situasi yang lain terutamanya semasa menghadapi satu situasi yang genting dan tertekan. Sebagai contoh, instrumen yang ingin digunakan pada awalnya boleh digunakan dan berada dalam keadaan baik akan tetapi rosak dan tidak dapat digunakan semasa anda ingin menggunakannya dan akibat daripada ini, anda perlu menunggu masa yang lama untuk dibaiki. Anda mungkin merasa kecewa, sedih dan berputus asa. Tetapi, perasaan sebegini tidak akan membantu anda untuk berjaya dalam penyelidikan. Apa yang anda perlu buat ialah dengan mengawal minda anda untuk sentiasa bersabar dan tidak mudah berputus asa apabila mengalami situasi tertekan sebegini. Sekiranya anda dapat mengawal situasi ini secara sedar berulang kali, anda akan dapati situasi yang tertekan pada masa akan datang dapat diatasi dengan baik. Ini disebabkan anda sudah pun berjaya mengawal minda untuk tidak mudah putus asa, bersabar dan berkeyakinan tinggi apabila bertemu dengan keadaan yang genting dan tertekan.

Salah satu cara untuk mengawal minda untuk berjaya dalam penyelidikan ialah dengan selalu berkata kepada diri sendiri: “Saya Boleh”. Ungkapan “SAYA BOLEH” atau “I CAN” ialah satu ungkapan yang amat penting bagi orang yang ingin berjaya. Ungkapan ini memberitahu kepada diri sendiri bahawa kita boleh melakukan apa sahaja, kita mampu untuk menyiapkan perkara yang ingin disiapkan, kita dapat meneruskan apa yang ingin dicapai dan seumpamanya. Ungkapan ini sebenarnya memberitahu diri sendiri melalui minda sedar kita bahawa kita boleh berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Cuba perhatikan perkataan “American”, disitulah terletaknya ungkapan ini iaitu “I Can” dibelakang perkataan tersebut. Dengan sebab itulah kebanyakan daripada orang Amerika berjaya sebab mereka yakin dapat melakukan apa sahaja yang dikehendaki.

Penyelidik yang ingin berjaya dalam penyelidikan juga perlu mengatakan kepada diri sendiri bahawa “Saya Boleh”, saya boleh menyiapkan kerja penyelidikan dengan baik, saya boleh menemui hasil yang dikehendaki, saya boleh menulis artikel penyelidikan dengan baik dan sebagainya. Kawalan minda ini sebenarnya senang dilakukan; anda hanya perlu belajar mengawal diri, selalu berkomunikasi dengan diri sendiri, perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan perlu melakukannya secara sedar berulang-ulang kali. Kawalan minda ini senang dilakukan sebab ianya melibatkan diri anda sendiri, hanya diri anda sendiri yang berhak menentukan minda anda dan hanya andalah yang boleh berubah. Diri sendiri adalah faktor utama kawalan minda ini berjaya. Kita tidak mampu mengubah atau mengawal orang lain tapi kita mampu untuk mengubah dan mengawal diri sendiri. Dengan mengawal minda anda, semua perkara yang melemahkan kerja-kerja penyelidikan dapat dikawal dengan baik.