Kebiasaannya, orang yang mempunyai kesabaran yang tinggi dianggap sebagai orang yang kuat dan menang kerana mereka berjaya mengawal tahap kesabaran diri. Jadi, untuk menjadi kuat dalam menjalankan penyelidikan dan menang atau berjaya dalam menjalankan penyelidikan, anda juga perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Tahap kesabaran yang tinggi dalam konsep semasa menjalankan penyelidikan ialah bermaksud seseorang yang tidak mudah putus asa, sabar dalam menghadapi halangan, sabar apabila menerima teguran dan tidak tergopoh-gapah dalam menjalankan sesuatu eksperimen. Kesabaran yang tinggi bukannya yang bermaksud bertangguh-tangguh dalam menjalankan kajian.
Banyak situasi yang memerlukan anda untuk bersabar semasa menjalankan penyelidikan; anda perlu bersabar apabila instrumen yang anda ingin gunakan rosak atau tidak berfungsi, tidak perlu tergopoh-gapah dalam menyiapkan sesuatu eksperimen sehinggakan melakukan pembaziran kepada bahan-bahan kajian, melakukan pembacaan yang lebih mendalam dan perancangan yang lebih teliti sebelum menjalankan sesuatu eksperimen, sabar apabila menghadapi dugaan dan rintangan secara sengaja atau tidak sengaja seperti sampel kajian yang rosak akibat daripada cuaca yang tidak menentu, sabar semasa menganalisis data dimana anda perlu meluangkan sedikit masa untuk memastikan data yang dianalisis tidak tersilap, bersabar dengan rakan sekerja yang mungkin mempunyai sikap buruk semasa menjalankan kajian dan berbagai-bagai lagi situasi yang berlaku terutamanya secara tidak dirancang.
Bersabarlah dan teruskan berusaha sekiranya bertemu dengan dugaan-dugaan yang tidak diduga. Kejayaan dalam penyelidikan akan dapat dicapai sekiranya usaha diteruskan dengan tahap kesabaran yang tinggi. Semaikan tahap kesabaran setiap kali bertemu dengan kebuntuan dan tekanan bagi memastikan tahap kesabaran yang tinggi dapat ditumbuhkan dengan baik.